LAGI sekali saya direndam
rasa kecewa. Melihat pada situasi, tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyambung
ungkapan yang terputus.
Dia bagaikan tidak berselera mahu mencungkil
kisah silam datuk dan nenek Nonong. Mungkin datuk terfikir begini: membuka
kisah cela dan keburukan orang yang sudah mati, bukanlah kerja terpuji.
Kenapa dalam saat begini, perkara seperti itu
harus muncul dalam benak datuk? Timbul pertanyaan dalam diri saya. Nonong
nampak resah semacam. Barangkali apa yang berlegar dalam kepala saya, itu
jugalah yang bermain dalam otak Nonong.
Soalnya, siapakah diantara kami yang berani
bersuara menyuruh datuk menyambung kembali cerita yang tergantung.? Tentulah
saya bukan orangnya. Nonong memang berhak kerana apa yang diperkatakan adalah
masalah keluarganya yang berpaut erat dengan masalah dirinya.
"'Memanda," lembut sekali suara
Nonong.
"Aku tahu, kamu mahu tahu
ceritanya," ekor mata datuk menjeling ke arah Nonong. Saya telan air liur,
diharap kelembutan suara Nonong akan menjentik keghairahan datuk menyambung
cerita.
"Memang itulah yang saya harapkan."
"Baiklah," datuk memperkemaskan silanya.
"Adakah rahsia yang lebih sulit dari apa
yang memanda sebutkan Nonong mendesak.?"
"Ada tapi ," datuk menarik dan
melepaskan nafas. "Kenapa memanda.?"
"Beri masa untuk aku berfikir, dan
mengingati nama nenek dan (datuk kamu yang sebenar. Mereka lebih terkenal
dengan nama gelaran Pawang Istana' atau Pawang raja' bagi datuk kamu. Nenek
kamu pula disebut "Andam diraja" atau tukang andam istana."
Tutur datuk dengan tenang.
"Saya ingat memanda," Nonong
separuh menjerit.
Datuk tersenyum sambil merenung ke arah saya.
"Siapa namanya?"
"Datuk saya namanya Alang Basitah,"
penuh yakin Nonong menjawab.
"Nenek kamu pula?"
"Raja Anum Dang sari."
"Bagus, kamu masih ingat akar umbi kamu
Nonong," Aduh, manisnya senyum gadis lanjut usia yang berat jodoh. Komen
saya, dalam hati bila melihat sepasang kelopak bibir Nonong mengukir senyum.
Setelah Nonong berhasil memujuk datuk, saya
merasakan ada perubahan yang terjadi secara sepontan dalam dirinya. Datuk
bagaikan memperolehi kekuatan untuk meneruskan cerita, tidak merasa cemas atau
diganggu sesuatu yang tidak dapat dilihat secara mata kasar.
Kata datuk selanjutnya, Pawang raja dan andam
istana terus memberikan perhatian kepada anak gadis mereka. Jika ada majlis
bertindik, berkhatan atau pernikahan. Gadis comel diminta memperagakan tarian
kepada tetamu undangan. Nama ibu Nonong terus menjadi sebutan di mana-mana.
"Sebagai penari istana yang sedang naik,
nama emak kamu jadi sebutan tutur datuk.
"Selain dari istana ke mana pula dia
pergi, memanda?" "Menyeberang selat Melaka."
"Ke mana?" Nonong minta kepastian.
"Di mana ada perayaan raja, ada masanya
ke Istana Deli, Riau, Serdang atau Batu Bara. Bila pawang Raja meninggal dunia,
kegiatan andam istana mula berkurangan."
"Kenapa macam tu, memanda?"
"Sebabnya, tugas pawang dan andam mesti
sama iring. Kematian suaminya menyebabkan andam istana mengambil keputusan
untuk tinggal di luar kawasan istana. Datang ke istana bila diperlukan."
Sedikit demi sedikit, datuk membuka sejarah
lalu pawang raja dan pawang andam istana. Nonong mendengar penuh khusyuk kerana
kedua-dua insan yang disebutkan oleh datuk adalah asal usul keturunan Nonong.
Walaupun begitu, Nonong tidak menampakkan
rasa bangga atau megah dengan tugas datuk dan neneknya di dalam istana.
"Nenek kamu datang ke istana bila
diperlukan. Kerana kebolehannya yang luar biasa sebagai tukang andam, kaya
dengan pantang larang, kaya dengan petua, dada penuh dengan jampi serapah serta
mentera nenek kamu dicari orang istana bila ada anak raja mahu bersanding atau
bertindik. Dia di bawa ke istana di Langkat, Indrapura, Batu Bara di
Sumatera."
"Saya minta maaf."
Biji mata datuk dan Nonong terpaku ke wajah
saya. Mereka kehairanan, mengapa saya yang tidak ada sangkut paut dengan
perkara yang diceritakan mesti masuk campur.
"Kenapa Tamar!" sergah datuk
"Saya musykil tuk."
"Apa yang kamu musykilkan?"
"Begini, setelah Indonesia mencapai
kemerdekaan dan mengistiharkan Negara Republik, semua sistem raja dihapuskan,
Sultan tidak wujud lagi. Kenapa mesti ada sultan itu, Sultan ini di
Sumatera?"
Nonong anggukkan kepala, setuju dengan
pertanyaan yang saya ajukan. Datuk tersenyum senang. Perlahan-lahan dia
membetulkan kedudukan kaki kirinya sambil merenung ke dada langit, melawan awan
putih yang berarak lembut. Datuk menggaru pangkal tumit kaki kirinya.
"Apa yang kamu katakan itu memang betul,
Sultan yang ada selepas kemerdekaan, hanya pada nama saja. Mereka tidak
mempunyai kuasa.Sekadar menjadi ketua adat, budaya masyarakat. Mereka boleh
meneruskan adat-adat istana di kawasan yang ditentukan, seperti mengadakan
upacara berkhatan, bertindik, nikah kahwin dan sebagainya," serius benar
datuk memberikan penjelasan. Kelopak matanya tidak berkedip merenung muka saya.
Kerana sering berulang alik ke Tanah Deli,
Raja Anum mengambil keputusan untuk menetap di Deli. Secara kebetulan pula dia
masih mempunyai pertalian darah dengan keluarga kesultanan Deli.
Dia pun membeli sekeping tanah tidak jauh
dari kawasan istana.
Kerana usianya semakin tua, Kegiatan Raja
Anum tidak serancak dulu.Tetapi, kalau ada yang memerlukan pertolongannya Raja
Anum tidak keberatan membantu. Tidak dinafikan, dalam usia senja dia masih
dicari orang terutama orang-orang Melayu yang masih berkampung di sekitar Medan
yang mahu mengekalkan adat tradisi nenek moyang. Raja Anum dicari bukan kerana
tuanya tetapi kerana pengalamannya.
"Hebat juga nenek saya memanda."
"Begitulah kira-kiranya," balas
datuk sambil ketawa kecil. Saya juga tersenyum.
"Dalam waktu yang sama, emak kamu terus
mengembangkan bakatnya dalam tarian. Kalau dulu nenek selalu dijemput ke Istana
Deli tetapi awal dua puluhan sebelum dijemput oleh kaum kerabat diraja
dibeberapa buah negeri di Malaysia," sungguh bersemangat datuk bercakap.
"Saya tahu memanda."
"Emak dipanggil untuk memperlihatkan
tarian tradisional pada hari jadi sultan, bertindik, berkhatan atau pesta
perkahwinan.
"Betul, itulah kelebihan yang Allah
berikan kepada ibu kamu. Nenek kamu berbangga dengan kebolehan yang dimiliki
oleh anak perempuan tunggalnya, nenek kamu yang memang tidak suka duduk diam
membuka kedai kain," datuk berhenti bercakap kerana tersedak.
KEMBALI
SEBELUM menyambung ceritanya kembali, datuk
kerutkan kening sambil merapatkan sepasang kelopak mata. Barangkali, cuba
mengingati di kawasan mana arwah nenek Nonong membuka kedai kain.
Saya lihat dua tiga kali datuk
menggeleng-gelengkan kepala. Barangkali, datuk tidak dapat mengingatinya.
Itulah andaian saya bila melihat gerak-geri datuk di depan mata.
"Aku tak dapat menunjukkan kawasan kedai
nenek kamu dulu Nonong. Apa yang aku tahu, nenek kamu juga membawa kain tenunan
orang Batu Bara, Songket Palembang, batik Medan barang-barang kerja tangan ke
Semenanjung. Kemudian barang-barang. Semenanjung pula di bawa ke sini.
Begitulah yang dibuat oleh nenek, setiap kali dia berpeluang berulang-alik dari
Deli ke Semenanjung. Kadangkadang emak kamu juga turut berbuat macam itu."
"Sambil menyelam, sambil minum
air," saya mencelah.
"Kamu dengar saja, usah masuk campur,"
datuk melarang dan saya terdiam.
Khabarnya, kedai kain Raja Anum jadi tumpuan
ramai terutama orang lelaki. Bukan kerana mahu membeli barang-barang yang
dijual tetapi, mahu melihat wajah anak gadis disebut-sebut sebagai penari dan
penyanyi tradisional golongan bangsawan Melayu sama ada di Tanah Semenanjung
atau Tanah Sumatera.
Raja Anum pun, sedikit demi sedikit
menurunkan segala ilmu dan petua menjaga badan dan kecantikan yang ada dalam
dada kepada anaknya. Begitu juga dengan petua menjaga suara.
Raja Anum berpendapat kebolehan arwah suami
dan dirinya harus diwarisi oleh anak gadisnya. Tradisi mendampingi golongan
istana dan bangsawan harus dikuasai oleh keturunannya.
Dan perkara itu sering dibisikkan ke cuping
telinga anaknya. Biar perkara itu menjadi simbol perjuangan yang mesti
dilaksanakan. Demi tujuan tersebut, apa juga rintangan, apa juga cabaran harus
ditempuhi, asalkan matlamat perjuangan menjadi sebuah kenyataan.
Hinggalah pada suatu hari, kedai kain milik
Raja Anum dikunjungi oleh sepasang suami isteri. Mereka membeli beberapa pasang
kain songket dan selendang. Setelah membayar semua barang yang dibeli, pasangan
suami isteri mohon mahu mengadakan pertemuan khas dengan Raja Anum.
Pada mulanya, Raja Anum agak keberatan mahu
memenuhi permintaan pasangan suami isteri tersebut. Dia bimbang kalau pertemuan
itu mempunyai tujuan yang kurang baik. Setelah didesak berkali-kali dengan
alasan yang menyakinkan oleh pasangan suami isteri tersebut, Raja Anum,
akhirnya mengalah. Dia pun menetapkan pertemuan pada sebelah malam selepas
waktu Isyak.
"Tidak boleh awal lagi," tanya si
isteri yang berbadan langsing dan cantik dengan kain batik jawa, baju kebaya
Bandung.
"Kalau dapat awal lagi baik," Celah
si suami.
"Minta maaflah, kalau setuju itulah masa
yang sesuai," Raja Anum memberi keputusan muktamad. Pasangan suami isteri
itu tiada pilihan dan terpaksa akur.
Waktu yang ditetapkan oleh Raja Anum itu
sesuai dengan petua orang tua-tua yang dipelajarinya. Kalau orang mengatakan
hasrat mahu bertandang ke rumah pada hari Rabu, selepas waktu zuhur. Suruh
orang itu datang selepas Isyak. Kalau pada hari yang sama, orang mengatakan
mahu berkunjung ke rumah pada sebelah pagi, suruh datang ke rumah selepas Asar.
Kalau tidak disesuaikan dengan keadaan dan
masa yang ditetapkan oleh petua, tuan rumah akan menerima kecelakaan. Lagi pun
bila diberi masa yang panjang, tuan rumah boleh membuat persediaan. kalau orang
yang datang mempunyai niat buruk boleh menyebabkan orang yang berniat jahat
membatalkan niatnya keran bosan nantikan masa yang ditetap oleh orang yang mahu
menunggu.
Ini sekadar petua, entah betul entahkan
tidak. Tetapi, Raja Anum tetap percaya. Baginya, setiap yang berlaku dan bakal
dilakukan harus bersandar pada petua dan pantang larang nenek moyang.
Sebagai tukang andam istana, pantang larang
dan petua tidak boleh ditolak begitu saja harus dipelihara serta dipraktikkan,
kalau tidak ilmu yang dimiliki menjadi tawar.
"Anak daranya mana?"
Tanya wanita yang wajahnya mirip wanita timur
tengah, sebaik saha.ja meletakkan punggungnya ke bangku rotan di ruang tamu
rumah Raja Anum.
"Di bilik berlangsir, merawat muka,
menjaga badan. Awak berdua ni siapa sebenarnya? Emak di depan mata tidak
ditanya. Anak dara orang yang disoal," dalam manis Raja Anum menyindir tetamu.
"Begini, saya berdua ni tuan punya bangsawan Indera Pura," Lelaki
tinggi lampai berkulit putih merenung ke arah isterinya yang bernama Sharifah
Marnis.
"Anak awak berbakat dan kami berminat
untuk menjadikan dia Seri panggung terkenal. Suami saya, Syed Ali AI-Idrus
memang sudah lama mencari seri panggung. Seri panggung kami yang lama sudah
berpindah ke bangsawan lain" Kata Sharifah Marnis sambil merenung ke arah
Syed Ali Al-Idrus yang secara sepontan menganggukkan kepala.
"Di mana awak berdua tahu tentang
kebolehan anak saya,"
"Sudah lama, bermula dari majlis
bertindik kerabat Raja Selangor, terus ke Johor, Perak dan Pahang. Sudah lebih
dari setahun kami mengikutinya," jelas Syed Ali Al-Idrus dengan senyum
berbunga.
GANTUNG
RAJA Anum termenung sejenak, dalam keadaan
sekarang bergantung dengan kerjaya sebagai penari istana, bukanlah masa dan
ketika yang baik. Tidak boleh menjamin masa depan yang baik. Lebih-lebih lagi
dengan berakhirnya kuasa pemerintah bersultan di Sumatera.
Menyandarkan harapan pada raja-raja di Tanah
Semenanjung, bagaikan menahan jerat di tanah lapang, kalau nasib baik mengena,
kalau tidak hampa selalu. Lagi pun sejak akhir-akhir ini setiap negeri di
Semenanjung sudah mempunyai badan kebudayaan sendiri. Jika ada perayaan atau temasya
di istana kumpulan budaya tersebut diundang untuk mempersembahkan sebarang
bentuk kebudayaan pada para tetamu. Kebanyakan ahli-ahli kumpulan itu adalah
bekas anak muridnya.
Setelah diperhitungkan buruk baik, untung
rugi yang mendalam, pada dasarnya tawaran itu tidak wajar ditolak.
Meskipun begitu ada beberapa hal yang harus
diambil berat. Memang, sekali lalu perkara yang harus dititik beratkan itu
nampak agak remeh. Tetapi, kalau terus diketepikan akan membawa padah yang
kurang baik pada anaknya, juga kaum keluarganya.
"Kenapa menung panjang? Cakap saja
boleh," Sharifah Marnis menguntum senyum. Raja Anum tersentak dari
lamunan. Semuanya yang bergerak dan bergolak dalam tempurung kepala lenyap
dengan serta merta.
"Boleh."
"Alhamdulillah, Syukur," Syed Ali
AI-Idrus segera bangun. "Dengan syarat?."
"Haaaaa ada syarat, apa syaratnya?"
Perlahan-lahan Syed Ali Al-idrus duduk di kerusi rotan. Wajahnya nampak kurang
ceria. Pasangan itu saling berpandangan dengan seribu kenyataan muncul di dada.
"Jamin keselamatan anak saya, jangan
dipersia-siakan kebolehannya, jangan jadikan dia batu loncatan untuk kekayaan
awak berdua."
"Kami tak berniat begitu, kami mahu
jadikan dia anak angkat kami, Secara kebetulan kami memang tidak ada anak,"
Sharifah. Marnis meluahkan apa yang dirancang di dalam hati.
"Terima kasih, ada syarat lain
lagi."
"Apa dia Raja Anum," tanya Syed Ali
Al-Idrus tanpa sabar.
"Bila bermain di Semenanjung, hubungi
pihak istana beritahu mereka anak saya ikut rombongan awak, bila pihak istana
minta khidmatnya, awak mesti melepaskannya. Saya berikan nama-nama orang istana
yang mesti awak berdua hubungan. Tidak semua orang semenanjung mesti awak
hubungi hanya beberapa negeri tertentu saja. Kalau awak berdua setuju dengan syarat
itu, baru boleh saya tunaikan permintaan awak berdua."
"Setuju," jawab pasangan suami
isteri itu serentak.
Seminggu kemudian anak gadis Raja Anum
menjadi keluarga `Bangsawan Indera Pura'. Pada peringkat awal disuruh menjadi
penari kemudian, sebagai penyanyi di samping menjadi pelakon pembantu. Dan
akhirnya menjadi seri panggung dengan panggilan "Rani Cantik"
kependekan dari nama sebenarnya Dang Intan Mahani.
UNTUNG
TERNYATA kehadiran `Rani Cantik' membawa
keuntungan yang besar kepada pemilik `Bangsawan Indera pura' di mana saja
rombongan itu mengadakan pertunjukan, sama ada di Sumatera, Kepulauan Borneo
Jawa, dan Tanah Melayu tetap mendapat sambutan yang sungguh hebat.
Nama Seri panggung `Rani Cantik' yang
kemudiannya bertukar menjadi Ani Cantik jadi sebutan di mana-mana. Jadi buah
mulut orang muda. Ramai anak muda yang tidak dapat tidur lena, mengigau malam,
mimpi siang mengingatkan `Rani Cantik'.
Sebagai Seri panggung, sudah tentu Ani Cantik
tidak bergantung semata-mata pada bentuk tubuh, kecantikan wajah dan kemerduan
suara. Atas nasihat ibunya, (Raja Anum) Ani Cantik berusaha sendiri mencari
ilmu yang boleh menguntungkan dirinya.
No comments:
Post a Comment