"KITA bertemu
juga."
Suara orang itu bergema untuk kali yang
kedua. Tidak ada tindak balas dari datuk.
"Kamu mahu merebut milik Dang Intan
Mahani atau Ani Cantik," datang lagi suara dari orang berwajah putih
kapas. Perlahan-lahan kain hijau yang membalut sebahagian daripada wajahnya
dijatuhkan ke lantai. Semuanya dihadapi oleh datuk dengan tenang dan tabah.
Orang berwajah putih kapas, cuba melangkah
mendekati datuk. Dua tapak datuk undur ke belakang. Orang itu maju lagi, datuk
mengelak. Kali ini empat tapak ke belakang.
Dengan hati-hati datuk angkat tangan kiri
separas bahu, kemudian memusingkan tubuhnya dengan pantas sebanyak tiga kali
berturut-turut hingga tercipta sempadan pemisah yang ditandai dengan garisan
hitam di lantai.
Sebelum tangan kiri kembali kepada kedudukan
asal (lurus ke bawah) tangan kanan diangkat lalu didakapkan ke dada dengan tiga
jari menekan tulang selangka. Tiga kali nafas ditarik dan dilepaskan barulah
tangan kiri dibawa ke dada menindih tangan kanan yang tersedia di dada.
"Pulangkan segala-galanya kepada yang
berhak," datuk bersuara.
"Maksud kamu?" Tanya orang berwajah
kapas.
"Ani Cantik mengambil hak anaknya untuk
kepentingan dirinya."
"Humm " terdengar keluhan.
Suasana berikutnya, menjadi sepi. Orang
berwajah putih kapas masih berdiri di tempat. Datuk tetap berada dalam
lingkaran garisan. Saya Nonong dan Harun tetap macam tadi, masih bertindih dan
berhimpit dekat tiang.
"Kita jalinkan persahabatan."
Orang berwajah putih kapas, maju setapak sambil
menghulurkan telapak tangan untuk bersalam. Malangnya, tangan yang dihulurkan
tidak dapat melepasi garisan di lantai.
"Ertinya, kita tidak boleh
bersahabat," orang berwajah putih kapas bersuara penuh kesal. Terbayang
kekecewaan yang amat sangat di wajahnya.
"Begitulah kira-kiranya," balas
datuk.
Orang berwajah putih tunduk merenung lantai.
"Pulangkan hak anak Ani Cantik,"
rayu datuk.
"Iya, apa yang kamu lihat dan temui
dalam bilik ini, setelah aku pergi. Itulah haknya dan selanjutnya terpulanglah
kepada kamu mengendalikannya," suara itu bergema dan bergaung dalam bilik.
"Aku faham," kata datuk lantang.
Tanpa banyak cakap orang berwajah seputih
kapas itu, perlahan-lahan memusingkan tubuhnya. Setiap liku dan sudut bilik ada
dalam anak matanya. Saya jadi cemas semacam, lambat laun renungannya akan
tertacap ke wajah saya.
"Sial," kutuk saya dalam hati.
Bagaikan ada kuasa ghaib memusingkan tubuh
dan wajah orang seputih kapas ke arah saya. Renungannya cukup tajam, penuh
benci dan dendam. Berkali-kali giginya dilagakan, bergemeretap bunyinya.
"Hummmm " dengusnya.
Dan renungannya segera berubah kepada Nonong.
Kemarahan dan geram yang terpamer segera digantikan dengan rasa simpati dan
renungan yang penuh kesayuan.
Dia menundukkan muka, merenung lantai untuk
waktu yang agak lama. Kedua-dua belah bahunya bergegar lalu diikuti dengan
suara tangisan berserta sedu yang memanjang. Tanpa di duga dia menghentakkan
kaki kirinya ke lantai sambil meluahkan kata-kata yang kurang jelas maksudnya.
Dalam sekelip mata batang tubuhnya
menghilang, tempat manusia aneh itu berdiri kelihatan kepulan asap yang naik
memanjang menuju siling bilik.
GHAIB
SEBELUM kepulan asap itu ghaib, berlaku lagi
sekali ledakan yang amat kuat bersama pancaran kilat. Di luar deru ribut yang
amat hebat. Rumah teras bergegar, lantai bergerak dan kami terumbang-ambing.
Datuk yang tadi berada tidak jauh dari kami
bertiga, kini terpisah jauh nampak samar-samar. Saya cuba bersuara memanggil
namanya. Seperti tadi suara saya tidak keluar tersekat di kerongkong.
Dalam keadaan yang tidak menentu, semua yang
dibuat serba tidak kena. Kotak fikiran seperti kosong melopong. Tidak tahu
dengan suasana yang dihadapi, sama ada waktu siang atau malam. Malah di mana
berada pun tidak tahu.
"Huusss " saya menghembuskan nafas.
Dan hati saya bagaikan memberitahu, bahawa
kami berada di satu dunia yang terasing.
Aneh, gegendang telinga terus diasak dengan
bunyi deru air dari gunung. Badan bagaikan dilambung ombak ke sana ke mari.
Tiba-tiba, adan dipukul oleh gelombang besar setinggi pokok kelapa dara.
Sekujur tubuh diarak ombak lalu dihempaskan kepada objek yang keras.
Kulit dan tulang-temulang bagaikan bercerai
berai. Sakitnya bukan kepalang dan selanjutnya tidak tahu apa yang terjadi.
Segala-galanya menjadi fana.
KELOPAK
TIDAK tahu, berapa lama masa sudah berlalu.
Dan kelopak mata secara perlahan-lahan digerakkan berkali-kali. Terasa pedih
dan perit. Bahu sebelah kanan disentuh sesuatu secara lembut. Kemudian
digoyangkan dan ditumbuk bertalu-talu.
"Tamar."
Kelopak mata masih gagal di buka. Bulu mata
bawah dengan bulu mata atas masih bertaut erat. Deru air dari gunung beransur
kurang, tidak sekuat tadi dan usaha membuka kelopak mata tetap diteruskan.
"Tamar.."
Saya yakin, itu suara datuk. Kepala saya
gerakkan perlahan-lahan, sebagai tanda yang saya boleh mendengar tetapi, tidak
dapat bersuara. "Kamu tak boleh buka mata, Tamar.."
Macam tadi juga, saya tetap anggukkan kepala.
Tidak lama berselang, terasa ada jari-jemari lembut mengurut-urut kelopak mata
dengan mesra. "Buka kelopak mata kamu, Tamar!"
Arahan itu segera saya patuhi. Kelopak mata
boleh dibuka dengan mudah. Wajah datuk terdampar dalam anak mata. Senyum yang
menari di kelopak bibirnya bagaikan menghantar sebuah kemesraan yang berbalut
sayang dari seorang datuk kepada seorang cucu yang baru berada di alam nyata.
Renungan segera beredar dari wajah datuk ke
wajah Nonong dan Harun. Mereka nampak tergamam. Tetapi, apa yang pasti mereka
lebih awal sedar dari saya. Malah sudahpun bangun, bersiap-siap untuk keluar
dari bilik.
"Memang aku tidak menduga berdepan
dengan hal-hal yang pelik begini. Tak apalah, setidak-tidaknya kamu bertiga
dapat pengalaman baru," tutur datuk seperti berbisik.
"Iya, memanda, menakutkan dan tidak
masuk di akal," Nonong menyampuk.
"Biarkan perkara tu berlalu, kamu berdua
bersiap sedia untuk ke masjid, bolehlah kita sama-sama orang lain
berjemaah," balas datuk. Saya masih dalam keadaan terpinga-pinga.
"Dah selesai?" saya bersuara.
Datuk ketawa kecil sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
"Kamu masih mamai lagi Tamar. Aku harap
perkara ganjil yang menakutkan ini, Insya Allah tidak berulang lagi," nada
suara datuk agak lemah.
Walaupun Nonong dan Harun mendengar sindiran
dari datuk untuk saya. Tetapi, mereka tidak memberikan sebarang komentar.
Malah, wajah mereka nampak bersahaja. Memang tidak diduga sama sekali, Nonong
dan Harun yang sudah bersiap-siap mahu meninggalkan bilik, membatalkan hasrat.
Mereka kembali duduk bersila tidak jauh dari saya.
Rasa cemas, bimbang dan takut yang menguasai
diri dapat saya kawal hingga keadaan normal. Dan saya memberanikan diri
menanggungkan kepala, setiap sudut bilik saya sorot secara terperinci. Ternyata
tidak ada satu pun kesan aneh yang dapat dilihat. Tidak ada dinding yang
berlubang, tidak ada barang yang berserakkan.
"Pelik."
"Apa yang pelik Tamar," sambut
datuk.
"Mana dia seludang kepala, batu gunung,
tempat bakar kemenyan dan rambut. Ke mana barang-barang itu menghilang,"
saya minta sebuah kepastian dari datuk.
BESAR
NONONG dan Harun terkejut besar mendengar
pertanyaan yang saya kemukakan pada datuk, mereka seperti tersentak dari lamuan
yang panjang.
"Betul, cakap Tamar tu memang
betul," Harun memberi sokongan.
"Apa yang betul tu Harun, tiba-tiba main
sokong saja. Cakap pada aku apa yang betul tu?" Sepasang bola mata datuk
tertumpu ke arah batang hidung Harun yang nampak sedikit resah.
Bagaimana dia tidak resah, renungan datuk itu
tidak ubah macam kucing mahu menerkam tikus.
"Barang-barang yang Tamar sebutkan
memang tidak ada di sini, mana dia barang-barang tu memanda," Harun
memberanikan diri memberikan jawapan.
"Mata kau buta," sergah datuk.
Kami terkejutkan dan bersedia lari
bertempiaran keluar dari bilik andainya, datuk naik angin. Agaknya, pertanyaan
saya dan Harun dianggap datuk sebagai mencabar kewibawaanya.
"Jegilkan biji mata kamu semua, renung
sebelah kiri pintu."
Semua biji mata tertumpu ke arah yang datuk
katakan. Di situ ada bungkusan berbalut kain hitam, sebesar putik kelapa.
"Tapi
"Aku tahu apa yang kamu fikirkan? kamu
fikirkan seludang kelapa, batu gunung, rambut dan tempat kemenyan. Bukan begitu
Harun?" "Iya, memanda," suara Harun terketar-ketar.
"Semua barang-barang tu sudah di satukan
dan dibungkus. Apa lagi yang kamu semua mahu tahu?"
Kami terdiam, anak mata kami kembali menyorot
ke arah bungkusan yang berbalut dengan kain hitam.
Suasana dalam bilik kembali bungkam. Empat
insan melayani fikiran masing-masing.
"Tapi memanda, kami mengalami
bermacam-macam hal dan perkara pelik-pelik," Nonong dengan nada suara
penuh keyakinan memecahkan uasana bungkam. Datuk tidak memperlihatkan reaksi
yang tidak menyenangkan. Mungkin rasa marah sudah hilang dari kalbunya.
"Humm.. " datuk menarik dan
melepaskan nafas.
Saya dan Harun bertukar pandangan. Tentunya
dengan perasaan yang berdebar.
Datuk menggigit bibir sambil mengkerutkan
kening. Dia seperti keberatan untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh
Nonong.
"Kenapa perkara tu terjadi
memanda," ulang Nonong, kali ini nada suara Nonong terasa mengandungi rasa
bimbang. Lagi sekali datuk menarik nafas panjang. Keresahan di wajah segera
bertukar menjadi rasa simpati terhadap Nonong.
Dan buat kesekian kalinya, datuk merenung
lantai. Tindak-tanduk itu mengundang seribu amalan dalam diri. Apalah susah
sangat datuk mahu menjelaskannya? Masih adakah lagi bencana atau olah dari
makhluk ganjil untuk mengugat keluarga Nonong? Kalau perkara sebenar tidak
jelaskan, macam-macam perkara negatif muncul dalam kepala. Sesungguhnya, bila
berdepan dengan suasana begini, saya jadi kebal dan marahkan datuk.
"Begini."
ANGIN
DATUK yang tadi berdiri di tengah-tengah
ruang bilik, segera mencari tempat sesuai untuknya melabuhkan punggung. Tempat
yang jadi pilihan, tidak jauh dari sisi Harun. Mungkin untuk memberikan
kekuatan dan keyakinan, bahu kiri Harun ditepuk oleh datuk berkali-kali. Nonong
hanya menjeling saja.
Di luar, angin subuh yang bertiup lembut
terus merempuh dedaun pokok di halaman dan di kiri kanan rumah, melahirkan
bunyi yang tidak menentu, sekejap meninggi, sekejap merendah.
Bunyi ekor cicak memukul dinding jelas
kedengaran yang diselang seli dengan suaranya yang memanjang dan nyaring. Dari
air muka Nonong dan Harun dapat saya baca keresahan yang bergolak dalam batin
mereka.
"Masa untuk bercerita terhad,"
renungannya lembut dari datuk terdampar ke wajah Nonong.
"Huss ," Harun mendengus,
membayangkan rasa putus asa.
"Masa untuk bercerita terhad,"
ulang datuk waktu subuh dah dekat benar," sambungnya bersahaja sambil
menggerakkan lehernya ke kiri dan ke kanan. Perasaan saya tetap berdebar.
"Masih mahu beralih," runggut saya
dalam hati.
Mulut Harun terlopong.
TERBAKAR
DIA juga seperti saya dan Nonong, masih
menanti dengan seribu pertanyaan. Apakah yang bakal diluahkan oleh datuk.
"Sebenarnya, semasa batu gunung itu
terbakar, kamu bertiga berpisah dari kawalan aku secara batin. Kamu berada
dalam kawalan iblis yang menguasai batu gunung, kamu bertiga berada di antara
sedar dengan tidak. Antara alam nyata dengan ghaib. Pendek kata kamu bertiga
seperti terkhayal," tentu saja kata-kata datuk itu mengejutkan kami.
"Memanda tidak dikuasainya?" Nonong
ajukan pertanyaan.
"Aku sentiasa berada di alam nyata,
jawab datuk.
Nonong dan Harun segera meraba-raba cuping
telinga, begitu juga dengan saya. Tidak memadai dengan itu, kami mematahkan ibu
jari kaki kiri hingga terasa sakit. Secara serentak kami menumbuk lantai hingga
tulang di buku lima terasa pedih. Perbuatan kami disorot oleh datuk dengan ekor
mata.
"Sekarang kami bertiga berada di alam
nyata," datuk senyum sinis tetapi, temyata Harun masih kurang yakin.
"Buktinya memanda?"
"Kamu berdiri sebelah kiri."
Harun melakukan apa yang datuk suruh. Semasa
dia mahu mengimbangi tubuhnya, dia terlayah lalu jatuh ke arah saya, belum pun
sempat tubuhnya jatuh atas badan, saya mengelak. Harun jatuh atas lantai lalu
menjerit kesakitan.
"Itu buktinya," sambut datuk.
Saya dan Nonong ketawa, akibatnya kami
menerima teguran dari datuk.
"Sekarang bagaimana Harun, kamu yakin
dengan apa yang aku cakapkan."
"Saya yakin memanda," Harun kembali
duduk seperti posisi asal.
"Amalan ilmu hitam yang dimiliki dukun
tempat arwah emak kamu minta tangkai susuk tu, memang dukun yang hebat "
datuk tidak meneruskan kata-kata. Nonong kerutkan dahi, macam ada sesuatu yang
difikirkannya.
"Macamana memanda kata dia hebat?"
"Lain kali saja kita ceritakan tentang
kehebatannya, walaupun sebanyak sedikit kebolehannya sudah dapat kamu bertiga
rasakan."
Nonong anggukkan kepala, aku dengan
penjelasan datuk. Muka Harun saya jeling. Dia masih resah semacam, masih
bimbang dan takut-takut.
KULIT
DINGIN subuh kian terasa menggigit kulit
tubuh dan untuk menghangatkan badan terpaksa berpeluk tubuh. Bunyi deru angin
kian kerap mengusik gegendang telinga.
Sesekali terdengar bunyi tagar sayup-sayup
memanjang. Selalunya, suasana seperti itu menandakan hari mahu hujan. Kata
orang tua-tua, hujan subuh membawa rahmat tetapi, bagi pengamal ilmu hitam
hujan subuh mengundang kecelakaan.
"Eh Tamar, Harun, kita tak boleh
berlengah-lengah lagi," datuk segera bangun, mundar-mandir di depan kami
sambil jari kelingking kirinya menggaru-garu hujung dagu.
"Pergi bersihkan tubuh," sambungnya
dengan tekanan suara separuh
keras.
"Tapi...."
"Apa lagi yang mahu kamu tanyakan
Nonong?"
"Barang-barang dalam bungkusan dekat
pintu tu, mahu dibiarkan saja di situ memanda."
"Terima kasih atas ingatan tu, kalau
kamu tidak mengingatkannya, memang aku dah lupa, Nonong," Datuk pun
merenung ke arah bungkusan yang tersadai di bucu pantai.
Saya dan Harun berpandangan, dalam hati
muncul doa: Semoga saya dan Harun tidak akan diberikan tugas untuk
menyelesaikan masalah bungkusan yang saya anggap berpuaka. Memadailah dengan
apa yang telah dilalui, cukup terseksa rasanya.
"Begini Nonong."
Apa yang bergolak dalam kotak fikiran segera
tumpas. Sepasang anak mata ditujukan kembali ke muka datuk.
"Lepas balik dari masjid kita
selesaikan. Kamu tak usah takut-takut, buat kerja macam biasa Nonong,"
suara datuk bersahaja. Nonong menggigit bibir, keresahan tetap terpamer di
mukanya.
"Baiklah memanda."
Nonong bangun dan bersedia untuk melangkah
keluar dari bilik.
"Nanti dulu Nonong," tahan datuk.
Langkah Nonong terhenti. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah datuk yang
menjentik papan lantai dengan ibu jarinya berkali-kali.
"Masa ketiadaan kami, kamu jangan masuk
atau melintas di depan bilik ni,"
"Kenapa memanda?" Nonong ingin
tahu.
"Jangan banyak tanya, ikut saja cakap
aku."
"Baiklah memanda, maafkan saya."
"Hummmm.." balas datuk.
No comments:
Post a Comment