KEMATIAN yang ganjil dan
mengejutkan," Datuk mengeluh dalam nada suara yang lembut.
Dua tiga kali, hujung dagu saya raba. Entah
mengapa, secara mengejut hati terasa tidak aman, resah semacam.
Angin yang masuk menerusi jendela, merempuh
sebahagian tubuh. Rambut terjuntai di dahi turut bergerak lemah. Tidak
dinafikan, saya agak selesa dengan sentuhan angin yang sepoi-sepoi bahasa itu.
"Iya memanda, kematian yang ganjil dan
mengejutkan," Nonong mengulangi kata-kata yang diucapkan oleh datuk.
Renungannya, segera dialihkan dari halaman rumah ke wajah datuk.
Saya segera panggungkan kepala, menanti
ungkapan selanjutnya dari Nonong. Penuh debar.
"Sedih mengenangkan kematian,"
emak." Nonong seperti merunggut. Jejari kanannya yang lentik meraba-raba
hujung dagunya.
"Bersabarlah, Nonong." Saya
beranikan diri memujuk Nonong, agar kesedihannya tidak membawa kepada tangisan.
"Mengapa sebelum kematiannya, emak
mengalami perkara-perkara yang tidak boleh diterima oleh akal. Hal-hal yang
ganjil dan pelik, sampai sekazang saya masih memikirkan perkara tersebut,
memanda."
Saya lihat Nonong mengkedutkan dahi,
berlapis-lapis. Anak rambutnya terbuai-buai dimain angin. Rasa simpati kian
membengkak dalam jantung hati. Ekor mata terus menjeling ke arah Nonong.
"Jangan mengeluh dan bersedih Nonong,
terimalah semuanya dengan pasrah. Boleh jadi Allah mahu memperlihatkan sesuatu
kepada kita yang hidup. Dari situ kita boleh mengambil iktibar, boleh dijadikan
renungan," Datuk memujuk.
Nonong terus membisu, renungannya di arahkan
ke halaman rumah kembali. Otaknya berputar ke zaman manis bersama arwah ibu dan
ayah. Dia menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan kembali dengan lemah.
Pandangannya masih terpaku di halaman yang
disiram sinaran matahari yang kian meredup. Sepasang kelopak bibirnya bergerak
lemah, macam ada sesuatu yang diucapkan tetapi, tidak berapa jelas untuk
ditangkap oleh gegendang telinga saya.
"Setiap kali lepas sembahyang kau mohon
doa pada Allah, minta dosa kedua orang tua kamu diampuni, terutama dosa ibu
kamu. Mohon supaya ibu kamu aman di alam barzakh," tambah datuk.
Nonong mengangguk.
"Memang tidak diduga, emak yang teliti
dan berhati-hati. Tekun dan sabar dalam melakukan sebarang pekerjaan,
kadangkala kelakuannya itu menimbulkan tandatanya pada diri kami sekeluarga,
jadi begitu akhirnya."
Kata-kata yang diluahkan oleh Nonong itu
membuat datuk menggigit jari kanan. Terpegun merenung dinding ruang tamu, macam
ada sesuatu yang muncul dalam tempurung kepalanya. Saya juga berminat dengan
ungkapan tersebut.
"Sebagai wanita generasi lama, emak
cukup percaya dan taksub pada perkara-perkara tahyul dan kuasa ghaib,"
sambung Nonong. "Contohnya?" ulang Nonong kehairanan.
"lya, itu sebagai bukti yang kamu
melihat perbuatan emak kamu, Nonong!" sahut datuk.
SEJENAK
BUAT beberapa ketika Nonong termenung
sejenak. Dari riak air mukanya membayangkan keraguan, apakah wajar permintaan
datuk itu dipenuhi atau ditolak terus?
Perasaan saya terus berdebar menanti reaksi
dari Nonong.
"Contohnya, tidak perlu memanda,"
sanggah Nonong.
"Perlu untuk menolong mengatasi masalah
yang kamu hadapi Nonong. Ingat aku sekadar menunaikan permintaan arwah ayah
kamu. Kalau kamu menolak bukan salah aku tetapi, salah kamu."
"Ertinya, contoh itu amat
diperlukan?"
"Iya, sudah semestinya," datuk
terus bertegas.
Nonong dada pilihan dan terpaksa akur dengan
permintaan datuk, demi masa depan diri dan wasiat arwah ayahnya.
"Semasa nenek meninggal dunia,"
Nonong memulakan ceritanya," emak tidak membenarkan ayah dan Harun
mengiringi jenazah nenek ke tanah kubur. Malah melarang menziarahi kubur nenek
dalam masa tiga bulan. Pakaian, pinggan mangkuk peninggalan nenek tidak boleh digunakan,
kecuali barang kemas."
"Pakaian, pinggan mangkuk itu di bawa ke
mana Nonong?" Dihumbankan di kuala sungai tempat bertemunya air masin
dengan air tawar."
"Perbuatan yang ganjil, bertentangan
dengan hukum hidup manusia dan ajaran agama," itulah komen yang datuk
berikan, setelah mendengar penjelasan dari Nonong.
"Memang ganjil dan sukar diterima oleh
akal, memanda," susul Nonong. Perlahan-lahan saya anggukkan kepala. Setuju
dengan pendapat datuk dan Nonong.
Angin dari luar terus menyerbu ke ruang tamu.
Cuaca masih seperti tadi, masih redup. Deru kenderaan di jalanan terus memukul
gegendang telinga saya. Langit nampak cerah dan awan gemawan bergerak lembut.
Ada seperkara yang mahu memanda tanya kepada
kamu, Nonong."
"Silakan!"
"Badan kamu bersih, Nonong?"
Nonong nampak terkejut dan tersipu malu. Saya
kira pertanyaan itu tidak wajar diajukan kepada Nonong di depan saya. Boleh
memalukan dirinya. Aneh! kenapa pertanyaan sedemikian mesh datuk halakan pada
Nonong? Mungkin ada maksud tertentu, fikir saya dalam hati.
"Dulu, masa kamu kecil-kecil, ayah dan
emak kau "pulangkan" kamu pada aku. Sebabnya, kamu selalu menangis
malam sampai berbulan¬bulan. Bila dipulangkan kepada aku atau dijadikan anak
angkat, (pada namanya saja) tangan kanan kamu diikat dengan benang hitam, kamu
tidak menangis lagi. Ertinya, kamu serasi berayahkan aku, Nonong," Datuk
membuka kisah lampau.
Pelik, apa perlunya kisah lama itu dikenang.
Mungkin datuk mempunyai strategi tertentu.
KEPERCAYAAN
SEBENARNYA, apa yangg datuk sebutkan itu cuma
sebuah kepercayaan dalam adat tradisi orang Melayu. Kalau kanak-kanak sering
sakit lalu dipulangkan pada orang lain. Dicarikan ibu atau ayah ganti (ibu atau
ayah angkat) pada namanya saja. Kanak-kanak terbabit tetap terus dipelihara
oleh kedua-dua orang tua sebenarnya. lni sekadar petua yang menurut kebanyakan
orang tidak bercanggah dengan ajaran agama.
"Dalam erti kata lain, kau anak pulang
aku Nonong. Tidak salah yang selama ini, aku menganggap kau sebagai anak
sendiri. Jadi aku rasa tidak salah, bila aku bertanya tentang diri kamu, sama
ada bersih atau tidak. Tujuannya baik," penjelasan kilat dari datuk dapat
menghilangkan rasa malu pada diri Nonong.
"Bersih memanda."
"Kalau begitu pergi ambil air
sembahyang, kemudian datang ke sini. Duduk di tempat yang sama," arahan
yang datuk keluar itu membuat Nonong merenung ke arah saya. Dia seperti
keberatan mahu memenuhi permintaan datuk.
"Pergilah Nonong, demi menunaikan
permintaan arwah ayah kamu, sebenarnya secara diam-diam kamu resah dengan
masalah yang kamu hadapi. Kamu pernah berjumpa orang tertentu untuk mengubati
masalah diri kamu."
Untuk kesekian kalinya Nonong tergamam.
Kata-kata datuk sering mengejutkan dirinya.
Anehnya, apa yang datuk katakan hampir tepat.
Dengan lain perkataan, banyak rahsia dirinya dapat dibaca oleh datuk.
"Mana memanda tahu semuanya ini?"
"Aku cuma main agak-agak saja
Nonong."
"Memang betul tapi, semuanya
gagal," keluh Nonong, sinar matanya nampak redup sekali. Saya melagakan
gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Seronok juga melihat telatah datuk
mencungkil rahsia dari Nonong.
"Sekarang biar pula aku berusaha
menolongnya, kamu setuju?."
"Bagi diri saya tidak ada
halangan," sinar mata Nonong nampak cerah sekali.
"Semoga usaha murni aku diperkenankan
oleh Allah. Sedikit sebanyak cerita yang kamu sebutkan tadi dapat usaha aku ke
arah tersebut. Begitu juga dengan cerita yang aku dapat dari Harun."
"Sekarang apa yang mesti saya buat
memanda?"
Pertanyaan yang terpancut keluar dari kelopak
bibir Nonong membuat datuk senyum panjang.
"Jangan berdalih, jangan
berlengah-lengah, buat apa yang aku suruh," sepasang anak mata hitam datuk
tertumbuk ke arah anak mata hitam Nonong.
"Ambil air sembahyang?" Soal
Nonong.
"Iya seperti yang aku suruh sebentar
tadi!," suara datuk penuh keyakinan.
Tanpa basi-basi, Nonong pun bangun dan terus
melangkah ke bilik air. Sementara menanti kedatangan Nonong, datuk nampak resah
semacam. Wajah yang tadi ceria bertukar menjadi sedih.
Sepasang tangannya diluruskan ke atas sambil
memusingkan pinggangnya ke kiri dan ke kanan beberapa kali. Beberapa detik
kemudian terus bangun. Bergerak dari sudut ke sudut ruang tamu. Berhenti di
tepi jendela.
AWAN
DATUK dongakkan wajah ke langit, merenung
gumpalan awan¬gemawan. Melihat pepucuk pohon sekitar rumah. Dan ada ketikanya
datuk termenung panjang di muka jendela macam orang putus asa atau sedang
masalah besar. Semua gerak-gerinya, saya lihat agak luar biasa.
Bila sudah begitu keadaannya, saya tidak
berani mahu menegurnya. Saya kira lebih daripada sepuluh minit, datuk termenung
di jendela. Mungkin perasaannya sudah tenang, fikir saya, setelah melihat datuk
melangkah ke arah tempat duduknya lalu bersila di situ, bertindih kaki macam
pahlawan zaman silam.
"Tamar."
Saya arahkan wajah dan perhatian kepada
datuk. Dada mula berdebar. Apakah arahan yang bakal datuk keluarkan. Apakah dia
mahu mengusir saya dari ruang tamu ini? Semua persoalan itu bergolak dalam dada
tanpa nokhtah.
"Tamar," ulang datuk.
"Ada apa tuk?"
"Antara aku dengan ayah Nonong, sudah
berjanji dan mengaku saudara dunia akhirat. Susah senang tetap senang dalam
semua hal. Tidak tergamak aku melihat anaknya susah, kalau arwah tu tidak
meninggalkan pesan aku tetap menolongnya," datuk berhenti seketika,
memanjangkan lehernya merenung ke arah bilik air.
Nonong masih tidak kelihatan.
"Tetapi, kawan aku dunia akhirat itu
tidak dapat melepaskan dirinya dari kekuasaan..... " lagi sekali datuk
berhenti, dia seperti keberatan mahu menyambung kata.
Macam ada sesuatu yang mahu dirahsiakannya,
sudah pasti tindak tanduknya menimbulkan bermacam-macam andaian dalam hati
kecil saya.
"Kekuasaan siapa tuk?" Tunduk pada
kekuasan iblis syaitan?" Saya sudah tidak sabar mahu mengetahuinya. Macam
selalu, semakin saya berminat untuk mengetahui sesuatu, semakin lambat datuk
mahu menjelaskannya Dia seperti memaksa saya berperang dengan perasaan.
SELENDANG
TUNGGU sekejap lagi aku beritahu...... ha,
Nonong dah datang." sepasang bola mata datuk tertumpu ke wajah Nonong yang
masih ada kesan air sembahyang.
Semasa mahu mengambil air sembahyang Nonong
tidak berselendang tetapi, kini di bahu kanannya tersangkut selendang sutera
biru. Di tangan kanannya, ada senaskah Quran manakala di tangan kiri ada rehal.
Sebelum dduduk bersila, rehal dibuka dan senaskah Quran diletakkan. Selendang
sutera pun dibelitkan ke kepala.
Datuk terpaku melihat perbuatan Nonong di
depan matanya. Wajah datuk membayangkan perasaan gembira dan hiba berbaur dalam
kalbu. Tanpa disedari, kelopak matanya digenangi air jernih, mengalir lemah
dikulit pipi datuk yang sudah tua.
Menyedari dirinya jadi perhatian kami berdua
(Nonong dan saya) dengan pantas datuk memusingkan mukanya ke dinding
membelakangi kami. Pada saat itu juga datuk mengesat air mata dicerun pipi.
Bila dia dapat mengawal perasaan dengan baik, barulah datuk menghadapkan
wajahnya kepada kami semula.
"Kamu bagaikan tahu apa yang aku
inginkan, Nonong," suara datuk tersekat-sekat.
Saya terus sahaja memerhatikan gerak-geri
kedua-dua insan tersebut.
Bila memanda menyuruh saya mengambil air
sembahyang, saya teringat zaman lalu," tutur Nonong tenang sambil
membetulkan kedudukan selendangnya.
"Dulu, setiap kali memanda datang ke
sini, ayah suruh ambil sembahyang dan membaca Quran depan memanda. Kemudian
dengan lembut membetulkan bacaan taj'wid saya," sambung Nonong.
"Iya aku ingat," datuk anggukkan
kepala perlahan-lahan.
Nonong membuka al-Quran, juz sepuluh surah
At-Taubat dan terus membacanya hingga satu "ain" baru berhenti. Saya
terpesona dengan alunan suaranya tajwid yang betul.
"Mengapa surah ini kau pilih
Nonong?".
"Dapat mengingatkan saya kepada
perbuatan-perbuatan yang saya kira berdosa pada masa lalu. Memanda juga pernah
mengingatkan saya surah ini banyak mengandungi pengajaran dan nasihat serta
tunjuk ajar kepada kehidupan yang diredhai Allah, sudah bertahun saya tidak
mengingati surah ain tetapi bila terlihat muka memanda saya terus teringat pada
surah At-Taubat."
KELOPAK
MENDENGAR penjelasan Nonong, saya terasa sayu
dan hiba. Tanpa terasa air mata tergenang di kelopak. Nonong juga saya lihat
terharu, tunduk merenung kulit Quran yang sudah ditutup. Perlahan-lahan dia
menggosok kelopak mata dengan hujung selendang. Datuk membiarkan Nonong
tenggelam dalam kenangan pahit hidup sendirian di Pulau Pinang. Tanpa diduga
dan disangka Nonong menangis tersedu.
"Berat sungguh cubaan hidup kamu di
rantau orang, semuanya ini berpunca dari perbuatan arwah emak kamu yang terlalu
mengejar keduniaan, mengikut nafsu.
Mudah-mudahan roh emak kamu ditempatkan oleh
Allah di tempat yang sesuai," Cetus datuk. Saya menarik nafas.
Nonong angkat kepala dengan pandangan yang
berkaca di tatapnya muka datuk. Memang Nonong mengalami kejutan, bila datuk memengkaitkan
kematian ibunya dengan nasib yang dilaluinya kini.
Dari cara datuk bercakap yang diikuti dengan
gerak-gerinya, saya yakin, datuk cukup mengerti dan memahami perasaan yang
ditanggung oleh Nonong. Berkali-kali saya melihat datuk mengucap panjang.
''Tangisan Nonong beransur reda.
"Begini Nonong," datuk membetulkan
silanya."
Dan Nonong terus menghapuskan kesan air mata
di pipi dengan hujung Selendang seperti tadi.
"Begini Nonong," datuk mengulangi
kata-kata yang terputus, "semasa kamu berumur 55 hari, aku sudah
mengetahui perbuatan emak kamu yang kurang baik. Aku cuba menegur dan
melarangnya, emak kamu tak ambil peduli, malah dia marah-marah. Peliknya, ayah
kamu juga tidak setuju dengan cara aku itu."
"Apa dia perkara buruk yang emak buat?"
TERTARIK
'EMAK kamu pengamal ilmu susuk, supaya
dipandang cantik, sentiasa muda dan manis, badan nampak menarik, setiap lelaki
yang melihatnya jadi tertarik, tergila-gila. Sekali dua pandang tidak puas,
sedia ikut pulang ke rumah, bersedia mendengar kata emak kamu. Kerana ilmu itu
kamu jadi taruhan dan korban'
"Ohhh..” Nonong tidak terdaya meneruskan
percakapan. Dia terkejut besar, seluruh anggota badannya terasa sejuk.
"Benarkah semuanya ini, memanda,"
suara Nonong tersekat-sekat. Resah tidak menentu. Dan secara mendadak seluruh
badan Nonong menggeletar, macam orang diserang demam. Mulutnya bercakap tidak
tentu arah.
Sebelum kejadian buruk berlaku, datuk segera
bertindak. Tujuh kali datuk membaca ayat Al-Kursi penuh khusyuk dan tawaduk.
Muka Nonong dihembusnya. Dengan serta merta Nonong terkulai lemah.
Beberapa saat kemudian, Nonong pulih seperti
sediakala. Sebelum menyambung penerangan tentang Nonong. Datuk mengambil segelas
air putih (air sejuk) lalu diberikan kepada gadis lanjut usia untuk diminum.
"Bagaimana perasaan kamu sekarang
Nonong?" Tanya datuk
"Saya selesa, terangkan pada saya apakah
kesalahan emak saya yang menyebabkan saya menderita, tidak diminati lelaki"
"Datuk kamu dulu pawang di raja, nenek
kamu pula tukang andam istana. Mereka mempunyai seorang anak perempuan yang
comel iaita emak kamu. Kerana rupa paras emak kamu cantik dan berbakat dalam
bidang tarian lalu dilatih untuk dijadikan penari istana" cukup
berhati¬hati dan teratur datuk menyusun kata-kata.
Seluruh tumpuan dan perhatian Nonong dihalakan
kepada datuk. Begitu juga dengan diri saya.
No comments:
Post a Comment