Nasihat yang diluahkan oleh
ibunya, disambut dengan perasaan separuh hati. Nonong tahu, jawapan dari ibu
sekadar melepaskan batuk di tangga. Lebih-lebih lagi bila ibu menekankan
tentang ‘berdoa,’ terasa lucu sekali. Ibunya sendiri menyaksikan dia berdoa
siang malam.
Jadi kenapa perkara itu ditekankan, bila dia
bercakap tentang jodoh. Sebuah pertanyaan yang sukar dicari jawapan pasti.
Tetapi, menimbulkan tanda tanya dan misteri yang tidak berjawap.
Kalau dikutkan hati memang Nonong tidak mahu
berdoa lagi. Dia sudah bosan dan perbuatan itu kerja sia sia. Tuhan bagaikan
menolak permohonannya melalui doa.
Nonong juga sudah jemu berusaha, benci
melihat muka dukun, pawang dan bomoh yang bukan sedikit mengaut wangnya. Jodoh
yang diharapkan tidak juga menjelma.
Dalam suasana kehidupan yang serba tertekan
zahir batin, Nonong berazam mahu meluluskan dirinya dari kepompongan keluarga,
dan masyarakat sekitar yang selalu beranggapan gadis berusia lanjut, tidak menikah
merupakan tanda tidak baik untuk keluarga, hidup tidak beruntng.
Kerana Nonong bertugas dengan kerajaan di
bawah Kementerian Luar dia berpeluang untuk bertugas di seberang laut.
Kesempatan itu di manfaatnya dengan sebaik
mungkin untuk keluar dari suasana yang tidak menyenangkan itu. Nonong
mengemukakan permohonan untuk bertugas di luar tanah air. Harapannya
terlaksana. Nonong gembira bukan kepalang. Dia dihantar berkhidmat di Konsul
Republik Indonesia, di Pulau Pinang sebagai kerani.
Di Pulau Mutiara, Nonong bagaikan mengalami
kejutan budaya yang amat berbeza dengan di Medan. Dia turut melibatkan dirinya
dengan dunnia yang serba baru dan asing itu. Nonong yang selama ini merasakan
pergerakannya agak terbatas, kini mula mengubah cara hidupnya sesuai dengan
situasi yang dihadapinya.
Di Medan pulang sahaja dari pejabat, dia
tidak kemana-mana. Banyak menghabiskan masa bersama ibu. Menemani ibunya
mengajar tarian dan anak-anak gadis yang berminat dalam bidang tarian
tradisional dikelas menari. Bila ibu dan kumpulannya diundang menghiburkan
orang ternama dalam sebuah upacara penting seperti pembukaan gedung perniagaan,
ulangtahun kemerdekaan dan sebagainya. Nonong akan turut serta.
Kerana kecantikan semulajadi yang dimiliki
oleh Nonong, dia menjadi perhatian para tetamu undangan. Dan orang tertentu
segera menyiasat latar belakang diri dan keluarga. Tetapi, ibunya bagaikan
enggan memberi kerjasama. Dan perkara itu tidak berlanjutan, mati begitu saja.
Keadaan di Pulau Mutiara yang serba membangun
dan sibuk menyebabkan Nonong menyususun agenda hidup tersendiri yang berbeza
dengan di Medan.
Bagaikan bumi dengan langit. Dari seorang
gadis yang agak pemalu dan sering merasa rendah diri bertukar menjadi gadis
yang periang. Dia melibatkan diri dengan badan-badan sukarela. Menjalinkan
persahabatan dengan siapa saja. Mula berusaha untuk menguasai bahasa Inggeris
dengan baik.
DORONGAN
Kerana desakan dan dorongan kawan-kawan,
Nonong mula mengunjungi kelab-kelab malam.
Secara beransur ansur dia mula menghisap rokok
dan berjinak-jinak dengan alkohol. Dia makin jarang menghalakan wajahnya ke
arah kiblat.
Begitulah Nonong, amat cepat berubah. Apa
yang sedang dilaluinya membuat dia lupa dengan masalah yang menggayuti
kehidupan dan dirinya. Tidak timbul masaalah belum bertemu jodoh, tidak kisah
dengan usianya yang kian bertambah. Semuanya sudah dilemparkan jauh-jauh dari
dalam kotak hati dan fikirannya.
Seiring dengan itu , Nonong tidak suka
melihat wajahnya di cermin, tidak suka menghias diri untuk menarik perhatian lawan
jenis. Tidak ambil peduli dengan jiran kiri kanan rumah sewanya. Sesuatu yang
sungguh drastik bila Nonong tidak menulis surat atau menghubungi keluarganya di
Medan. Dia bagaikan mahu menjauhkan diri dari mereka.
Ternyata usaha itu tidak sepenuhnya berhasil.
Kedua-dua orang tuanya sering mengunjunginya, terutama ibunya yang boleh
dikatakan setiap bulan datang ke rumah sewanya. Dan secara sembunyi-sembunyi
(ketika Nonong tidur) mengusap tubuh anaknya dengan asap kemenyan.
Kisah yang diungkap Nonong memang
mengharukan. Saya bersimpati dengan nasib yang di alaminya. Mengapa gadis yang
lambat kahwin menjadi buah mulut masyarakat. Dan apakah perkara seperti ini,
hanya berlaku dikalangan masyarakat melayu sahaja. Fikir saya dalam hati.
“Ada lagi yang mahu ceritakan, Nonong?” Itu
yang terluah dari kelopak bibir datuk, sebaik sahaja Nonong berhenti bercakap
dan tidak mau menyambung lagi.
Saya resah sendirian melihat Nonong
menundukkan muka. Kedua-dua belah sayap bahunya bergerak lemah. Mengertilah
saya, bahawa gadis cantik tidak bahagia itu sedang tersedu hiba. Kalau sudah
begini kesudahannya, tidak mungkin Nonong mahu melanjutkan cerita. Saya membuat
andaian sendiri.
“Tak apalah memanda, cukup setakat ini saja.
Hiba benar rasanya hati.”
Saya arahkan sepasang mata ke arah Nonong.
Andaian saya hampir menjadi kenyataan.
“Maafkan saya,” lemah benar nada suara datuk.
Tiada jawapan dari Nonong. Cuma yang
kedengaran sedu dan sedannya sahaja.
Mungkin kerana hiba atau tidak mahu
terpengaruh dengan kesedihan yang melanda hati Nonong, datuk segera bangun
menuju ke jendela. Berdiri di situ, merenung keluar. Nonong masih juga tersedu.
Dan saya tidak bergerak ke mana-mana. Sedu-sedan Nonong beransur lemah dan
akhirnya mati begitu sahaja. Suasana di ruang makan terasa amat sepi sekali.
Perlahan-lahan datuk melangkah kembali ke
tempat asalnya. Sejak datuk berdiri di tepi jendela, saya tidak menumpukan
perhatian ke arah Nonong, saya lebih banyak merenung dinding rumah tamu sambil
mengelamun sendirian. Tiba-tiba datuk menyebut perkataan Allah hu Akbar yang
diikuti dengan batuk kecil. Pada hemat saya batuk itu sengaja dibuat-buat.
Barangkali untuk menarik perhatian saya atau Nonong.
Entah macam mana ketika saya menoleh ke arah
datuk secara tidak sengaja terpandang wajah Nonong. Pandangan kami bertembung.
Tidak percaya rasanya, Nonong menghadiahkan senyum. Nampak cukup menarik dan
manis sekali. Tidak berkedip kelopak mata saya memandang ke aranya. Alam
khayalan yang tidak bertepi itu, datuk batuk lagi. Saya tahu itu batuk nakal.
Memang, ekor mata datuk tetap menyorot setiap inci pergerakan diri saya.
“Kenapa Tamar?” Soal datuk, sepasang biji
matanya merenung tepat ke arah saya, “ kamu nampak resah semacam saja,”
tambahnya bersama senyum sinis.
“Ehhh……..” terkeluar dari kelopak bibir saya.
“Kenapa Tamar?”
Memang tidak saya duga pertanyaan itu datang
dari Nonong. Nadanya tidak lagi membayangkan keresahan. Saya jawap pertanyaan
itu dengan mengelengkan kepala. Senyuman pun berlari di kelopak bibir Nonong.
Aduh! Manis sekali senyuman gadis anak Deli
ini , bisik batin saya.
KESAN
Sebagai orang tua yang banyak pengalaman,
datuk dapat mengesan yang sesuana di ruang makan agak aman. Perasaan Nonong
tidak bercelaru lagi. Ketika yang baik untuk mencungkil kisah lampau gadis Deli
yang tertonggok di sisinya.
“Perasaan kamu dah tenang Nonong?”
Nonong anggukan kepala.
“Bolehlah kamu bercerita lagi.”
“Ehhhh……memanda,” Nonong seperti tersentak.
Anak mata hitamnya dihalakan ke arah saya untuk beberapa saat. Perlahan-lahan
saya anggukkan kepala sebagai tanda supaya Nonong memberikan kerjasama pada
datuk.
“Boleh Nonong,” ulang datuk lemah.
“Boleh,” sahut Nonong.
Datuk membetulkan duduknya supaya selesa.
Bila merasai cara duduknya serasi dengan kemahuan hatinya, datuk mengeliat
lemah. Saya menanti penuh debar. Apakah kisah silam yang bakal diungkapkan oleh
Nonong itu akan membuka jalan bagi menjejaki, kenapa dia tidak mahu didampingi
lelaki?.
Sepuluh minit masa berlalu, Nonong masih
belum membuka mulut, asyik merenung keluar saja. Resah mula terpamer di wajah
datuk. Dua tiga kali orang tua itu menarik dan melepaskan nafas. Nonong
kelihatan masih bersahaja, buat tidak kisah semacam.
“Keadaan kamu bertambah kelam kabut bila
mendapat tahu yang emak kamu meninggal dunia?” Datuk cuba memancing agar Nonong
memulakan kisah.
“Memang benar memanda,” sahut Nonong pantas.
Dari gerak geri dan gambaran di wajahnya
membayangkan kesungguhan Nonong untuk bercerita. Saya gembira dengan keputusan
yang dibuat oleh Nonong. Datuk juga barangkali sependapat dengan saya.
“Kematian emak membuat saya seperti orang
gila, berhari hari saya menangis. Emak tidak sakit apa-apa, mati cara mengejut.
Lemah seluruh sendi badan bila menerima berita kematiannya, saya balik ke Medan
dengan kapalterbang.”
“Kamu ikut menghantar jenazah emak kamu ke
tanah kubur?”
“Iya, memanda atas permintaan ayah, emak di
tanam betul-betul atas sempadan antara kawasan tanah kubur dengan tanah milik
orang perseorangan.”
“Orang persaorangan itu tak marah?” datuk
ajukan pertanyaan. Nonong termenung sebentar, macam ada sesuatu yang bermain
dalam tempurung kepalanya.
“Ayah minta izin dari orang tu, ” jawap
Nonong.
“Kenapa ayah kamu buat macam tu, kenapa tidak
dikuburkan dalam kawasan tanah kubur.”
“Itu permintaan emak saya, memanda.”
“Pelik,” keluh datuk lemah.
Perkataan “pelik” yang diucapkan oleh datuk
dapat didengar oleh Nonong. Tetapi, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi.
Wajahnya nampak selamba sahaja. Seterusnya, Nonong pula meluahkan apa yang ada
di dalam kalbunya pada saya dan datuk .
Kata Nonong kematian ibunya cara mendadak
tanpa sebab sungguh mengejutkan.
“Kematian emak cara mendadak tanpa sebab
sungguh mengejutkan kaum keluarga. Masing-masing tertanya-tanya puncanya dan
setiap keluarga membuat andaian yang tersendiri, tidak terlepas dari anggapan
yang emak jadi korban perbuatan orang yang sakit hati terhadapnya melalui ilmu
hitam,” kata Nonong.
“Kamu pula berpendapat macam mana dalam hal
ini, Nonong,” celah datuk sebaik sahaja Nonong berhenti bercerita. Nonong
renung kearah dinding sambil mengosok-gosok hujung hidungnya dengan jari
telunjuk.
“Saya memanda?” Nonong bertanya minta
kepastian.
“Iya,” angguk datuk tenang.
“Saya tak ada apa-apa. Ajal emak sudah tiba,”
jawap Nonong penuh yain.
“Apa kata adik beradik kamu yang lain.”
“Tidak pulak saya bertanya pada mereka
tentang hal itu. Harun nampak macam biasa. Tapi Khatijah………” Nonong tidak
meneruskan, air mukanya berubah.
TERBUKU
Perubahan wajah Nonong bagaikan memberi
gambaran ada sesuatu yang terbuku dalam batinnya. Dan datuk mahu memanfaatkan
peluang itu dengan sebaik mungkin. Datuk tahu, kalau dia terlalai atau
terlambat, Nanong akan mengalihan persoalan yang dibincangkan kepada persoalan
lain.
“Maksud kamu Khatijah, adik kamu yang di
Tanjung Pura.”
“Iyalah memanda Khatijah mana lagi,” Nonong
ketawa kecil.
Datuk senyum penuh yakin Nonong berada dalam
keriangan. Agar suasana menjadi lebih rancak, datuk turut berjenaka. Saya dan
Nonong ketawa kecil, tidak terasa berada dalam keadaan tertekan untuk
menyelesaikan sesuatu masaalah yang dikira agak serius juga.
“Apa yang Khatijah katakan kepada kamu
Nonong?”
“Ha……….” Nonong seperti tersentak.
Mungkin dia tidak menduga datuk mahu
menimbulkan tentang apa yang dikatakan oleh Khatijah kepadanya. Nonong seperti
tidak tentu arah. Sekejap garu pangkal leher, sekejap garu cuping telinga.
“Apa katanya Nonong?”
Dalam keadaan yang agak tertekan, datuk terus
bertanya dan mendesak. Terbukti, Nonong sudah terjerat dan dia tidak boleh
berdalih lagi.
“Cakaplah Nonong,” kata datuk terus memujuk.
“Kata Khatijah yang kebetulan berada dekat
emak pada malam kematian itu, ada sesuatu yang ganjil terjadi sebelum emak
meninggal dunia,” cukup hati-hati Nonong mengatur kata-kata.
“Teruskan….” Desak datuk lagi, dia tidak mahu
kisah itu terhenti begitu saja. Bila kerap berhenti, mungkin keghairahan Nonong
untuk bercerita menjadi tawar.
“Malam itu, sebelum nyawa terpisah dari
badan, matanya terbeliak merenung kemana saja. Emak mengoyak-ngoakkan baju dan
kain yang dipakai, dia bertelanjang bulat lari ke setiap sudut ruang rumah….”
Nonong behenti bercerita, tunduk merenung
lantai. Perlahan-lahan dia menarik dan melepaskan nafas. Barangkali dia
terfikir, menceritakan keburukan ibu pada saya dan datuk sama seperti
menceritakan keburukan dirinya.
“Khatijah tidak beritahu kamu, ketika itu
ayah kamu berada di mana Nonong?”
Nonong angkat kepala merenung wajah datuk
yang menghamburkan pertanyaan. Saya resah sendirian, mengaru pangkal leher yang
tidak gatal. Di luar cuaca masih macam tadi. Kicau burung di halaman bagaikan
bercampur baur dengan deru kenderaan.
“Masa kejadian itu, ayah ke masjid. Suami
Khatijah dan Harun segera mendapatkan ayah. Sebaik sampai di rumah ayah dengan
dibantu oleh suami Khatijah, Harun segera bertindak. Ayah menyelimutkan emak
dengan kain gebar tiga warna yang diambil dari bawah katil.” Lagi sekali Nonong
berhenti bercerita. Dia memicit-micit kepalanya.
“Kenapa Nonong?” Tanya saya.
“Aku pening Tamar, aku terasa macam ada orang
memukul pangkal leher aku dengan dahan jambu batu kering bercabang tiga.”
“Bertenang Nonong.”
Datuk mengambil secawan kopi yang tersedia di
situ. Sebelum diserahkan pada Nonong , saya melihat datuk menyapu punggung
cawan tiga kali dengan telapak tangan kiri. Bermula dari pangkal telapak tangan
membawa ke hujung jari. Mulutnya bergerak. Ada sesuatu yang datuk ‘tawarkan’
pada air kopi tersebut.
TEGUK
Seteguk air kopi dihirup, Nonong nampak aman.
Tidak lagi memicit-micit kepalanya.
“Ada lagi yang mengganggu kamu Nonong?”
“Tak ada memanda.”
Nonong menyerahkan cawan kopi itu kembali
kepada datuk. Sebaik sahaja tangkai cawan terkena ibu jari datuk, punggung
cawan terus bocor. Tembikar berselerakkan di lantai, air kopi tumpah hilang
meresap dalam papan lantai.
“Biarkan di situ, nanti aku sendiri yang
bersihkan.” Datuk memberi amaran.
Saya tidak jadi memegang badan cawan yang
tidak pecah dan mengumpulkan tembikar punggung cawan yang berserakan di lantai.
“Bila emak dibalut dengan selimut khas tiga
warna, dia tidak menjerit tetapi nampak lemah. Ayah membawa emak masuk ke bilik
khas, tempat dia selalu beramal. Emak tidak membantah malah dia membayangkan
memang itulah yang dihajatinya.”
“Dikunci?” Datuk renung batang hidung Nonong.
“Iya,” angguk Nonong.
“Lepas tu, tak ada kejadian lain?” Tekan datuk.
“Menurut kata adik (Khatijah) setelah
dikurung, emak memanggil-manggil nama saya serta nama orang lain yang dikenali
oleh adik saya,” ungkap Nonong sambil merenung lesu ke arah datuk dan saya.
Dari sinar matanya, dia memang mengharapkan sesuatu dari datuk.
Penceritaan selanjutnya makin lancar dan
rancak. Tidak tersangkut-sangkut seperti tadi. Nonong semakin yakin dengan
keikhlasan hati datuk. Dia semakin berani dan bersemangat.
Kematian emak sungguh pelik dan tidak wajar.
Setelah dikurung semalaman, pagi-pagi esoknya, adik (Khatijah) membuka pintu
bilik untuk melihat keadaan emak. Sebaik sahaja pintu dibuka, adik saya
terkejut besar, emak terlentang kaku di lantai, sudah menjadi mayat. Tangannya
terkedang macam mahu menjamah sesuatu.”
Nonong berhenti bercakap, sambil mengerut
dahi. Dia cuba mengingati sesuatu. Bila diingat muncul dalam benaknya, Nonong
tersenyum dan terus menyambung kisah yang tersangkut.
“Mata emak terbeliak macam takutkan sesuatu
atau terpandangkan benda yang mengerikan. Uban yang hampir, memenuhi kepalanya
bertaburan atas lantai. Adik saya yakin, uban itu dicabut sendiri oleh emak,”
Nonong menelan air liur. Renungan matanya redup kearah halaman rumah yang
berumput hijau.
No comments:
Post a Comment