SELURUH bilik dikuasai bau
rambut dan seludang kelapa yang terbakar. Hangit dan melemaskan lubang hidung.
Mata kami (saya, Nonong dan Harun) berair dan
terasa pedih, terbatuk-batuk. Datuk tidak mengalami sebarang gangguan. Tetap
tenang, tidak memperlihatkan sebarang reaksi.
Api terus membakar rambut yang melilit batu
gunung, begitu juga dengan seludang kelapa. Perasaan saya benar-benar
terganggu. Walupun begitu, ekor mata saya sempat menjeling ke arah Nonong dan
Harun. Mereka juga nampak resah semacam.
"Ah!!!...., kata saya terkejut.
Bagaimana saya tidak terkejut bila melihat
batu gunung menjadi bara merah menyala. Seludang kelapa terus menjadi abu.
Berterbangan dalam bilik, macam ada sesuatu yang menghembusnya.
"Pelik," suara saya meninggi.
Datuk segera memberi isyarat jari menyuruh
diam. Saya patuh dengan arahan itu tetapi, kalbu tetap berperang dengan
perasaan cemas dan takut. Betapa tidak, kepulan abu seludang yang berterbangan
terus berpusu-pusu ke satu sudut berkumpul di situ dalam bentuk memanjang
berukuran satu kaki. Dalam sekelip mata pula bertukar menjadi seperti puntung
kayu yang rentung. Hitam legam.
Puntung kayu yang rentung berpusing ligat di
situ, macam gasing serta mengeluarkan bunyi yang berdengung. Setelah berpusing
lebih kurang lima, putung kayu itu bergerak ke arah pintu lalu melanggar jenang
pintu. Pecah bertaburan menjadi seperti percikan bunga api yang halus lalu
hilang.
Apa yang berlaku kami ikuti dengan penuh
debar. Saya yakin, kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kami
bertiga, datuk tidak akan lepas tangan.
"Semuanya pelik dan menakutkan,"
ujar Harun kepada kakaknya dalam nada suara yang agak perlahan, tetapi dapat di
dengar oleh datuk. Seperti yang dilakukan kepada saya, datuk memberi isyarat
kepada Harun dan Nonong supaya jangan bercakap. Harun menarik nafas panjang.
Agaknya, kecewa dengan arahan datuk.
Dengan perlahan-lahan Harun mengisut ke arah
Nonong. Mereka duduk berdekatan, berpegangan tangan. Barangkali kalau terjadi
sesuatu yang buruk mereka tidak mahu berpisah, mahu mati bersama. Rela rentung,
jadi abu bersama rumah peninggalan orang tua andainya dimamah api.
Tetapi, bagaimana dengan diri ini, apakah
harus mati bersama? Saya cuma menemani datuk bagi mengatasi masalah yang
ditanggung oleh Nonong. Tentulah tidak wajar saya menanggung akibatnya, mati
katak kerana orang lain. Kerana itu, saya mesti bersedia untuk menyelamatkan
diri bila keadaan terdesak.
Diri datuk tidak perlu digusarkan. Dia banyak
pengalaman, kaya ilmu dunia akhirat. Tidak ada masalah baginya untuk menghadapi
apa juga kesulitan dalam situasi sekalipun.
Semuanya itu berkocak dalam kotak batin. Saya
mula menjeling ke arah pintu bilik. Kalau perlu saya harus merempuh apa saja
untuk keluar dari suasana yang tidak menyenangkan itu.
"Harun," gegendang telinga saya
didatangi suara Nonong. "Kenapa Kak?," Balas Harun
"Apakah kita akan jadi korban penunggu
bilik,"
"Tidak kak."
"Paaaaaaaaapppppppppppp „
Telapak tangan kiri datuk menampar lantai
dengan sekuat hati. Punggung saya terangkat kerana terkejut.
Wajah Nonong dan Harun pucat lesi, macam
mayat. Semua biji mata tertumbuk ke arah datuk. Dia memberi isyarat supaya
jangan berkata-kata. Dan kami pun menundukkan kepala, tanda bersedia mematuhi
larangannya.
NEGATIF
DI TENGAH-TENGAH situasi yang tidak menentu
itu, bermacam-macam yang timbul dalam kepala. Semuanya negatif. "Ah,"
saya bersuara dalam hati.
"Tik tik tik " datuk menjentik
lantai.
Saya faham, apa yang terdetik dalam hati
sampai ke akal fikiran datuk. Lagi sekali saya menundukkan kepala. Berjanji
tidak akan memikirkan sesuatu yang buruk.
Saya yakin datuk menerima ikrar saya,
buktinya dia tidak membukakan sepasang kelopak matanya.
Rasa tidak selesa kian menjadi-jadi. Badan
mula berpeluh dan ruang bilik terasa panas membahang seperti mahu terbakar,
panas dan pedih.
Setiap liang roma mengeluarkan peluh. Seluruh
sendi terasa bergetah dan peluh pun mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
Saya menoleh ke arah Nonong dan Harun. Mereka juga resah gelisah. Pakaian
mereka basah kuyup, macam orang terjatuh dalam sungai. Datuk macam tadi, tak
bergerak dan bertindak. Duduk bersila cara pahlawan dengan kedua-dua belah
tangan memeluk tubuh.
"Sekarang dah jauh malam, apa lagi yang
kamu nantikan. Keluarlah secara baik, sebelum kamu aku binasakan," suara
datuk menggeletar, macam menahan marah. Tidak tahu kepada siapa kata-kata itu
datuk tujukan.
Saya segera membuat andaian sendiri,
kata-kata itu dihalakan kepada makhluk halus penghuni bilik. Tidak ada tindak
balas atau reaksi dari makhluk halus sama adasecara nyata atau ghaib.
Malam kian larut. Sekali-sekala terdengar
suara burung hantu dan jampuk. Begitu juga dengan salakan anjing di hujung kota
mendayu-dayu bercampur aduk dengan bunyi deru kereta yang sesekali lalu di
jalan besar.
Kalau sudah sampai dinihari, di mana-mana
pasti terasa dingin tetapi, keadaan menjadi sebaliknya di bilik yang kami huni
ini. Panasnya menjadi-jadi.
Bara batu gunung terus marak, bertambah besar
sambil memercikkan bunga-bunga api yang halus menyala ke arah datuk.
Anehnya, bebunga api itu berpatah balik ke
arah bara api sebaik sahaja mendekati datuk dalam jarak satu hasta. Saya lihat
datuk tidak melakukan apa-apa supaya bebunga api itu berpatah balik ke tempat
asalnya.
Datuk tetap seperti tadi, duduk bersila
memeluk tubuh. Perbezaan yang ketara dapat dikesan pada bahagian mata. Tadi,
kelopak matanya rapat kini terbuka sedikit. Memandang kuyu ke arah kami
bertiga. Dan suara lolongan anjing makin galak dan diikuti dengan suara burung
hantu bagaikan berpesta di atas bumbung sambil sayapnya memukul atap rumah.
Semuanya ini menambahkan rasa takut dan cemas di hati.
Dalam ketakutan itu muncul persoalan dalam
hati, dari mana burung-burung hantu itu datang? Ternyata soalan itu sukar
dicari jawapannya.
"Ah.... ," datuk mengeluh.
Cepat-cepat saya arahkan sepasang mata
kepadanya.
Kedudukannya sudah berubah. Dari duduk
bersila kepada bertinggung. Kaki kirinya melepaskan beberapa tendangan kencang
ke arah dinding. Setelah melepaskan lebih daripada enam tendangan kencang ke
arah dinding, datuk kembali kepada posisi asal.
Sekali lagi kami mengalami kejutan. Bara batu
gunung yang marak dan merah menyala terus padam. Seluruh bilik gelap gelita.
Dari arah kanan (arah pintu masuk) muncul cahaya pelita minyak tanah. bergerak
di awang-awangan, berlegar-legar di atas kepala kami bertiga. Badan yang panas
serta merta terasa sejuk. Pelita bergerak pula mengelilingi tubuh datuk. Badan
kami kembali panas.
SAMAR
DALAM cahaya yang samar-samar itu, saya
melihat tangan kanan datuk bergerak dengan pantas untuk menangkap lampu minyak
tanah yang terbuai-buai mengelilinginya. Usaha datuk gagal.
Lampu minyak tanah bergerak arah kiri dan
naik ke arah siling bilik, tergantung di situ untuk beberapa saat sebelum
berada dipermukaan lantai.
Semasa lampu minyak tanah berada di lantai,
datuk segera melompat dan menerkam ke arah lampu tersebut. Pergelutan pun
berlaku antara datuk dengan makhluk (tidak kelihatan) yang menguasai pelita
minyak tanah. Datuk mahu merebutnya untuk dimusnahkan sedangkan makhluk yang
tidak dapat dilihat, mahu mempertahankannya.
Pergelutan berlaku dalan cahaya pelita minyak
tanah yang samar- samar itu, tidak dapat diikuti dengan jelas. Tetapi, setiap
kali datuk melepaskan buah silat yang jitu dan tepat mengenai sasarannya
terdengar suara orang mengeluh menahan rasa sakit.
Berdasarkan pada suara tersebut, saya kira
usia makhluk yang mempertahankan lampu minyak tanah itu, tidak jauh berbeza
dengan usia datuk. Dua kali datuk tercampak ke dinding akibat kena penendang
dari makhluk yang tidak dapat dilihat. Perlawanan bertambah sengit dan gamat.
Datuk sering sahaja jatuh dan bangun.
Melompat ke kiri, melompat ke kanan. Ada
ketikanya lompatan tadi hampir mencecah siling rumah.
Tanpa tidak disangka-sangka dua kali saya
kena libasan kain cindai makhluk ghaib di bahagian muka. Perit dan pedihnya
rasa tak tertanggung. Pipi yang kena terasa terus membengkak.
"Melayang," itu yang keluar dari
kelopak bibir.
Bagaimana tidak bersuara, saya terkejut
melihat kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi di hadapan mata.
"Dummmmmmmmmmmm.
Pelita minyak tanah meletup betul-betul di
atas bara batu gunung yang padam. Bilik terasa bergegar. Dua keping papan
dinding berlubang. Kami bertiga terangkat dari permukaan lantai lalu tercampak
ke arah tiang. Bertindih-tindih di situ. Harun menghempap tubuh saya. Tubuhnya
pula dihempap oleh Nonong.
Kami bertiga bagaikan berada di sebuah dunia
asing yang sunyi sepi. Otak kami terasa kosong kami melihat api melihat api
menjilat dinding dan lantai rumah. Mulut bagaikan terkunci untuk menjerit atau
memekik.
Datuk yang tadi nampak gagah dan hebat
melepaskan tendangan dan tumbukan ke arah musuh mula lemah. Secara
perlahan-lahan dia rebah di lantai, terbujur di situ menggeletik macam ikan
keli kena ketuk. Dan selanjutnya, secara bertahap-tahap badan datuk mengerekut
seakan-akan angka lima.
Api dilantai segera menjalar ke arahnya lalu
mengelilingi sekujur
tubuh datuk dalam jarak satu kaki. Saya tidak
terdaya menolongnya. Sepasang kaki serta tangan tidak boleh digerakkan melekat
pada tiang. Mujurlah, biji mata boleh digerakkan untuk melihat ke seluruh
bilik. Nonong dan Harun juga macam saya.
"Syukur," kata hati.
Perlahan-lahan datuk meluruskan tubuhnya yang
mengerikut, tidak ubah macam ular sawa membuka lingkaran. Sepasang kaki dan
tangan mula diluruskan. Kepalanya juga boleh digerakkan untuk merenung keadaan
sekitar.
Dan api yang mengelilingi datuk beransur
kurang, tidak semarak tadi. Sebahagian darinya sudah pun padam, terutama
dibahagian yang berdekatan dengan hujung kaki. Apa yang kelihatan di situ ialah
kepulan nipis.
Dari lubang dinding yang terpelehong saya
melihat keluar.
Semuanya nampak gelap gelita. Suara jampuk
dan kelawar masih kedengaran. Salakan anjing boleh dikatakan hilang terus.
Tetapi, suara katak dan cengkerik masih bergemam bagaikan nada dan irama.
Ada ketikanya, seperti suara orang menangis,
kadangkala terdengar suara orang mengilai dan bunyi orang makan daging. Semuanya
ini membuat saya bertambah cemas.
MAYA
NONONG dan Harun sudah tidak bermaya. Lembik
semacam, mata mereka nampak kuyu dengan sepasang bibir terjuih ke bawah.
Keadaan mereka macam orang kena pukau angin.
Berdasarkan apa yang mereka alami, saya yakin
kedua-duanya tidak sedar atau dapat melihat apa yang berlaku dalam bilik.
Kerana kepala masih boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan lalu saya manfaatkan
dengan sebaik mungkin.
Perkara yang saya utamakan ialah menumpukan
perhatian ke arah datuk.
"Syukur pada Allah."
Itulah yang terdetik dalam kalbu saya, bila
melihat datuk boleh bangun. Duduk bersila, bertindih paha seperti keadaan
sebelum kejadian. Api yang marak terus padam. Seluruh bilik dikuasai asap nipis.
Lubang hidung mula disumbat dengan bau kemenyan.
Peliknya, asap yang banyak itu tidak pula
memedihkan mata saya. Mungkin juga mata Nonong dan Harun Fadillah. Dalam gerak
asap nipis yang lembut itu ada kelibat lembaga yang tinggi junjung hampir
memecah siling bilik.
Bau kemenyan yang kurang menyenangkan itu
bertukar menjadi bau yang amat wangi. Imbasan yang tinggi melunjung, sedikit
demi sedikit menjadi rendah dan berhenti dalam ukuran tinggi seperti manusia
normal (ukuran tinggi orang Malaysia). Kalau tadi dapat dilihat dalam bentuk
imbasan, kini beransur jelas bentuk dan rupanya.
Sepasang anak mata diarahkan kepada sesusuk
tubuh yang berdiri di hadapan, merenung tajam ke muka datuk yang masih berusaha
mengumpulkan tenaga.
Secara automatik saya teringatkan sesuatu.
Rasa-rasanya pernah bertemu dan melihat wajah dan tubuh manusia tersebut.
Semasa berhempas pulas memutarkan jarum ingatan pada waktu yang berlalu.
Orang yang dijadikan fokus hilang dengan
serta-merta, kemudian timbul semula dan hilang kembali.
Begitulah silih berganti, hilang timbul,
hilang timbul. Membuat kepala terasa pening, pandangan jadi berpinar.
Tekak terasa loya, pertukaran gerakan lembaga
tersebut terlalu cepat serta mengeluarkan cahaya dalam bermacam-macam warna.
Secara tidak sengaja air liur meleleh dan berbuih di pinggir mulut. Ada sesuatu
yang menekan halkum saya.
Apakah perkara yang saya alami ini, turut
dirasai oleh Nonong dan Harun? Menjelma pertanyaan dalam hati. Datuk masih lagi
meneruskan usahanya memulihkan tenaga yang banyak terbuang akibat pertarungan
tidak diingini. Datuk menggeliat dan melakukan senaman harimau bangkit dari
tidur.
"Uuuuhh huk."
Nonong terbatuk dan saya cuba menoleh ke
arahnya. Tetapi, tidak berhasil, leher tidak boleh digegarkan. Dalam masa yang
sama terdengar suara Harun merintih, menahan rasa sakit. Saya tidak dapat
berbuat apa-apa melainkan berdoa pada Allah, semoga tidak akan berlaku perkara
yang tidak diingini pada mereka berdua.
kerana tidak boleh menoleh ke kiri dan ke
kanan, perhatian kembali kepada datuk dan lembaga aneh. Rasa silau dan pedih di
mata terpaksa ditanggung, Kepala semakin pening, denyutnya mula terasa.
"Weeeeekkkkkkkkkkk....
Isi perut bagaikan mahu keluar. Tidak terdaya
menahan rasa muntah dan terpaksa diluahkan. Malangnya, muntah yang diluahkan
tidak keluar kecuali angin dan bau yang tidak menyenangkan. Lebih dari lima
kali saya mengalami perkara yang sungguh membosankan, sungguh menyeksakan
membuat seluruh tubuh tidak berdaya.
MUNTAH
BILA keadaan sudah aman, perut tidak
bergelora, rasa mahu muntah sudah hilang begitu juga dengan rasa loya di tekak.
Barulah waktu yang berlalu dapat di sorot. Masih tergambar dan penuh yakin saya
memang pernah bertemu
dengan lembaga manusia yang berdiri memandang
datuk itu. Cuma yang berbeza dari segi berpakaian.
Dulu memakai baju melayu teluk belanga yang
koyak di bahagian bawah, bersongkok putih, berkain pelikat. Di bahu kanannya
tersangkut kain hitam serta berwajah garang. Keadaannya, sudah banyak berubah.
Wajah yang garang bertukar lembut, tidak
bermaya. Putih macam kapas. Misai tebal yang hitam bertukar kemerah-merahan.
Sebahagian dari wajahnya di balut dengan kain hijau (macam serban). Rambutnya
yang kemerah-merahan, panjang separas leher jelas kelihatan.
"Sudah sah, orang inilah yang saya temui
bersama datuk, sewaktu pulang solat jemaah subuh dari Masjid Raya," jerit
saya sekuat hati tanda kegembiraan. Malangnya, jeritan tidak di dengari oleh
sesiapa pun. Tidak keluar dari tekak.
Saya amat kecewa sekali. Perlahan-lahan,
lelaki tua berwajah seputih kapas alihkan perhatian kepada saya sambil
melemparkan senyum sinis. Seolah-olah tahu
apa yang saya lakukan. Datuk yang sudah berjaya mengumpulkan tenaga terus
bangun dan berdiri, bertentang wajah dengan orang tua berwajah seputih kapas.
Perlahan-lahan datuk menjarakkan kedudukan
kaki kiri dengan kaki kanan supaya ada ruang yang lebarnya kira-kira satu kaki
lebih di celah kangkangnya. Kemudian memperkemaskan kekuda kakinya dengan
membengkok sedikit bahagian lutut.
Semuanya dilakukan dengan tujuan untuk
berjaga-jaga. Mana tahu, kalau secara tiba-tiba orang di hadapannya melakukan
serangan kilat.
No comments:
Post a Comment