Dalam rasa
cemas yang tidak bertepi itu, saya hanya mampu melihat si jubah kuning mundar
mandir di depan sesuka hati. Adakalanya dia membongkok dengan kedua belah
tangannya menjamah bumi. Pergerakan ke depan dan ke belakang macam orang
merangkak. Bila penat dia terus berdiri lalu melepaskan nafas.Bunyinya macam
nafas kerbau jantan melihat punggung kerbau betina.
“Sekarang,”
pekiknya sekuat hati. Aneh dia tidak menyambung kata-kata tersebut. Si jubah
kuning renung kiri, renung kanan dan terus memetik ibu jarinya tiga kali
berturut. Tidak lama kemudian saya terdengar suara harimau jantan menguap yang
jumlahnya lebih dari lima ekor.
“Kenapa
tak sambung cakap,” tanya saya pura-pura berani. Si jubah kuning terus ketawa
dan melompat di paras ketinggian lebih dari lima kaki. Bila dia selesai
melakukan semuanya itu, suasana kembali sunyi dan sepi. Saya ambil kesempatan
dongakkan kepala untuk melihat bintang di langit.
“Sekarang
aku mahu menunaikan hajat kamu,” suara si jubah kuning terdengar amat lemah
sekali. Macam tadi juga, dia tidak meneruskan kata-katanya. Cuma yang
kedengaran bunyi nafasnya yang tercungap-cungap, seolah-olah macam memikul
benda yang amat berat sekali.
“Kamu
boleh tengok,” sambungnya, “dengan sepuas-puasnya apa yang ada pada aku,
tumpukan mata hati dan pancaindera kamu pada tubuh aku. Jika ada perkara lain
yang kamu fikirkan dalam otak kamu, buruk padahnya. Kamu akan binasa, “
suaranya parau dan garang. Dia terus bergerak di depan saya, macam harimau jantan
yang lapar. Dia berhenti, betul-betul di depan saya. Matanya renung muka saya
yang pucat.
“Hummmm…,
“ dia mendengus sambil telapak tangan kanannya memukul muka bumi. Sepasang biji
mata saya tidak berganjak dari menikam sekujur tubuhnya.
“Renung
dan kamu jangan terkejut, jangan menjerit,” si jubah kuning mengingatkan saya.
“Iyaa…”
sahut saya seraya anggukkan kepala.
Dengan
perlahan-lahan dia membuka jubah kuning, jubah kuning yang terpisah ari
tubuhnya itu dihumban ke sebelah kanan saya. Bau jubah itu. Macam bau bangkai
anjing yang sudah pecah perut. Bau busuk itu terpasa saya hidu.
Lagi
sekali saya mengalami kejutan, saya kira setelah jubah kuningnya dibuka saya
dapat melihat kulit tubuhnya. Harapan saya tidak menjadi kenyataan. Tubuhnya
masih dibalut dengan kain putih dari kaki hingga ke paras leher. Tidak ubah
seperti tubuh yang dibalut dengan kain kafan.
Kepala dan mukanya masih diselubungi dengan kain hitam tebal.
“Jangan
cemas tau,” dia mengingatkan saya lagi.
“Tidak,”
jawap saya dalam hati.
“Bagus,”
dia terus anggukkan kepala.
Si jubah
kuning mula memusingkan tubuhnya yang berbalut dengan kain putih. Mula mula
perlahan-lahan kemudian terus ligat. Saya jadi pening melihatnya dan dari arah
kiri kanan terdengar suara harimau menderam. Saya terus pejamkan mata.
Bila saya
bukakan mata, orang itu sudah berhenti dari berpusing. Malah suara harimau
menderam juga turut hilang.
“Gggggg…..
Hmmmmmmmm…, “ bergema suara itu dari mulut orang di depan saya. Serentak dengan itu cebisan
kain putih (yang membalut tubuhnya) jatuh satu persatu, tidak ubah macam gugurnya
kelopak jantung pisang dari induknya. Bila semua kain putih itu tanggal atau
lekang dari tubuhnya, saya tergamam tidak terkata. Keadaan dirinya (tubuh)
berubah rupa bentuk. Sungguh ganjil dan menakutkan.
Tubuhnya
terbahagi dua. Tubuh sebelah kiri, bermula dari kaki hinga ke paras bahu
berkeadaan seperti rangka. Tulang-temulang yang bersambung dengan setiap sendi
di tubuh jelas kelihatan. Bercahaya seperti kelip-kelip. Dari paras tengkuk ke
atas (bahagian kepala) tidak dapat dipastikan keadaannya kerana masih
diselubungi kain hitam.
BELANG
Keadaan
tubuh di sebelah kanan pula, tidak ubah macam badan harimau. Berbulu tebal
dengan belang yang terang, malah senjata sulitnya (separuh) seperti kemaluan
harimau. Manakala separuh lagi (sebelah kiri) kelihatan seperti sepotong kayu
yang sudah reput. Bersisik macam sisik buaya dan mengeluarkan bau hapak.
Tubuh
ganjil itu berpusing-pusing perlahan-lahan memperlihatkan bahagian tepi dan belakang tubuh. Di bahagian punggung
tumbuh ekor harimau (sebelah) bergerak dan mengibas-ngibas ke arah apmi jamung.
Akibatnya, api jamung padam hanya untuk beberapa saat saja. Kemudian api jamung
marak kembali.
Bila orang
bertubuh ganjil itu yakin yang saya sudah melihat bahagian tepi dan belakang
tubuhnya, dia kembali berdiri dengan keadaan asal menghadapi saya. Pelbagai
helah saya lakukan agar biji mata saya tidak tertumpu ke arah tubuh manusia
ganjil itu (sebelah berbadan harimau dan sebelah lagi berangka manusia) dan
ternyata usaha saya gagal.
Semasa
tulang-tulang telapak tangan bercantum dengan telapak kaki harimau, kedengaran
bunyi suara orang mengilai panjang. Sungguh menyeramkan. Api jamung tiba-tiba
terus padam. Keadaan sekitar terus gelap gelita. Telinga saya menangkap bunyi
telapak kaki orang bergerak ke arah kanan. Saya kira itu adalah telapak kaki si
jubah kuning.
Dari
sebelah kiri pula terdengar bunyi hembusan nafas yang dituruti dengan bunyi
telapak kaki harimau, bergerak dari hujung kaki hingga hujung kepala berulangkali.
Memang tiada daya saya untuk melawan
semuanya itu. Hanya pasrah pada Allah. Tanpa disangka-sangka, api jamung
menyala kembali. Mata kembali tertumbuk ke arah lembaga yang tertonggok di
depan. Tulang jari-jemari kirinya tidak lagi bercantum dengan kulit kaki
harimau belang.
“Husss… ,”
manusia aneh di depan bersuara.
Saya lihat
tangan (cuma tulang) kirinya bergerak ke arah kepalanya yang berselubung dengan
kain hitam. Dengan sekelip mata kain hitam itu direntap. Perbuatan yang sama
diulanginya, kain yang menutup kepala dan wajahnya di campakkan ke arah
saya. Nasib baik tidak menghempap muka,
kain itu jatuh betul-betul di depan saya dalam jarak dua kaki lebih.
Dengan pertolongan
cahaya api jamung, saya dapat melihat keping-keping daging manusia melekat pada
kain tersebut. Daging itu mengeluarkan ulat sebesar ulat nangka, melompat ke
mana saja dan baunya tidak terkata. Pada kain itu juga terdapat tompok-tompok
darah dan nanah.
“Hei
Tamar, jangan renung kain. Renung orang di depan kamu. Dia berusaha menunaikan
apa yang kami ingin.”
Ada suara
ghaib, halus gemersik menusuk lubang telinga kiri saya. Samaada mahu atau
tidak, arahan itu terpaksa saya patuhi. Apa yang saya lihat selanjutnya, cukup
mendebarkan. Dua tiga kali, saya pejam celikkan kelopak mata.
Pandangan
saya memang tidak silap lagi. Si jubah kuning wajahnya memang menakutkan.
Sebelah kiri, tidak berkulit dan tidak berisi. Cuma yang ada tulang-temulang
pipi yang putih menonjol ke depan. Manakala sebelah kanan pula seperti muka
harimau. Saya tidak sanggup merenung muka sebelah kiri yang sunggguh
menakutkan. Dari bahagian mata yang berlubang bermunculan cacing tanah hingga
kehujung tulang dagu. Darah bercampur nanah mengalir ditulang pipi dan dagu.
Bila
merenung muka sebelah kanan, rasa takut berkurangan tetapi, rasa cemas tetap
ada. Lidah harimau yang terjelir bergerak ke kiri dan ke kanan, sesekali lidah
merah itu menyentuh misai. Matanya (sebelah) tetap merenung garang ke arah
saya. Telinganya (sudah tentu sebelah)
bergerak lemah ke arah tengkuk. Bila si harimau itu menguap, gigi dan
taringnya jelas kelihatan. Saya kecut perut. Dengan telapak kaki, si harimau menyapu muka, macam kucing yang
berada di depan pintu.
TUBUH
Walaupun
mempunyai muka yang separuh tetapi, si harimau mampu mengeluarkan suara yang
kuat. Bergema seluruh kawasan hutan mengejutkan unggas yang sedang tidur malam
di dahan pokok.
Saya kira,
kalau si belang itu menerkam dan menampar muka saya dengan telapak kakinya, sudah
pasti daging pipi saya lekat di kukunya. Saya tidak dapat membayangkan
bagaimana kesakitan yang saya alami. Sebelum sesuatu yang buruk terjadi, ada
baiknya saya memikiirkan ke arah mana saya harus bergerak, mengelakkan tubuh
jadi sasaran harimau.
Di bawah
sianar api jamung itu, saya renung ke kiri dan ke kanan. Pandangan saya jatuh
sebelah kanan. Ada kawasan lapang yang tidak banyak ditumbuhi pepokok yang
berbatang keras. Dan saya memutuskan unuk mengolekkan batang tubuh saya ke
kawasan tersebut bila di terkam harimau yang berbadan sebelah itu. Sebagai
persiapan, saya cuba membetulkan kedudukan tubuh supaya senang saya bergerak.
“Jangan
takut, tidak ada apa yang boleh ganggu kamu,” terdengar suara halus gemersik
dibawa angin. Tidak pasti dari arah mana suara itu datang.
“Apa yang
kamu hajati sudah ditunaikan.”
Kerana
suara itu datang dari arah kiri, saya pun cuba menoleh ke kiri tetapi, tidak
berjaya. Saya renung lembaga yang terpacak di depan. Mulut harimau dan mulut
rangka nampak bergerak-gerak. Saya segera membuat kesimpulan, suara yang
didengar sebentar tadi datangnya dari lembaga (si jubah kuning) yang terpacak
kaki di depan.
“Kamu
sudah puas sekarang?”
Kali ini,
tidak perlu mencari dari arah mana suara itu datang. Apa yang perlu dilakukan
ialah menjawap pertanyaan tersebut. Saya anggukkan kepala lalu dituruti dengan
menutupkan kedua belah kelopak mata yang membawa maksud saya puas hati dan
bahagia. Selesai saja melakukan semuanya itu, terdengar orang ketawa
berdekah-dekah dari setiap sudut.
Mula-mula
suara ketawa itu lemah dan perlahan dalam tempoh beberap detik saja bertkaar
menjadi kuat dan keras hingga anak telinga terasa bingit membuat saraf dalam
otak saya bergegar. Kepala terasa berpusing pusing dan sakit. Tempurung kepala
bagaikan mahu pecah. Dan pada saat itu juga terasa ada sesuatu yang memukul
pangkal leher . Pandangan berpinar dan berbintang. Kemudian menjadi gelap dan
saya tidak tahu apa yang terjadi selanjutnya.
Berapa
lama saya berkeadaan demikian? Tidak dapat saya pastikan. Ap ayang nyata,
setelah pandangan yang gelap itu berakhir, suasana sekitar terasa sunyi.
Semuanya terasa kosong. Tubuh saya terasa mengecut dan terangkat dari permukaan
bumi secara perlahan-lahan. Makin lama makin tinggi dan terus terawang-awangan
di angkasa yang luas.
Saya pun
dibawa mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang asing serta dihadapkan
dengan sungai yang luas. Di tunjukkan kawasan yang terbakar dengan api yang
marak menjulang ke langit.
Dibawa ake
kawasan pergunungan dan bukit bukau. Saya hanya boleh melihat tetapi saya tidak
boleh bersuara untuk membantah. Saya seperti berada dalam dunia khayalan yang
tiada bertepi.
Tubuh saya
terus terbuai-buai tanpa tujuan dan arah tertentu di udara. Dan tubuh yang
terbuai bagaikan direntap oleh tenaga
ghaib dari bawah. Akibatnya tubuh jatuh atas benda yang keras.
Seluruh
badan terasa sakit. Kulit bagaikan terkoyak dan daging terasa seperti hancur.
Sakitnya bukan kepalang dan tubuh yang mengecut kembali normal.
Perlahan-lahan
kelopak mata dibuka.
“Di mana
aku berada sekarang?” Muncul pertanaan dalam hati. Setelah melihat keadaan sekitar barulah saya
mengerti yang diri saya berada di ruang sebuah rumah. Kelopak mata saya
rapatkan kembali. Saya pura-pura pengsan, terdengar bunyi suara orang bercakap
yang jumlahnya lebih dari seorang.
Sebenarnya
saya sudah berusaha untuk bangun, tetapi tidak berhasil. Tubuh seperti ditindih
benda berat. Suara orang bercakap itu makin lama makin perlahan dan akhirnya
terus lenyap dan diganti dengan bunyi tapak kaki orang sedang berjalan dalam
jumlah yang ramai. Kelopak mata segera saya buka, tidak ada manusia di depan saya. Apa yang
terbentang ialah ruang rumah yang besar dan boleh memuatkan lebih dari tiga
ratus tetamu.
Dalam
ruang yang luas itu terdapat sepulah buah lampu gasolin tergantung di siling
memancarkan cahaya yang cukup untuk menerangi seluruh sudut ruang. Kerana tidak
ada sesuatu yang ganjil dan aneh di situ, kelopak mata saya rapatkan kembali.
Entah
mengapa, sepasang kelopak mata ini terasa amat berat sekali. Terasa mahu pejam
saja. Lagi sekali saya mengalami kejutan. Dari sebelah kanan saya mula
terdengar suara orang berzikir yang di selang seli dengan suara orang
berkasidah dan marhaban.
Suara
lelaki dan perempuan terus berpadu merdu membuat saya seperti berkhayal.
Kelopak
mata sya koyakkan semula, suara orang berzikir, berkasidah dan marhaban terus
hilang. Semuanya membuat saya lemas.
MAYAT
Dalam keadaan
yang tertekan, saya menarik dan melepaskan nafas. Saya hanya pasrah pada pada keadaan.
Kalau takdirnya saya harus menjadi mayat, saya terima. Saya kehabisan daya dan
tenaga untuk lari dari cengkaman penyeksaan yang saya sendiri tidak tahu bilakah akan berakhir.
Macam tadi
juga, perbuatan yang sama saya ulangi iaitu memejamkan kedua belah kelopak
mata. Suara orang berzikir, berkasidah dan marhaban bergema kembali dalam
lubang telinga tetapi kali ini ada kelainan sedikit. Ada suara orang menangis
dan meraung sambil memukul-mukul dinding dan lantai rumah.
Bila suara
itu berhenti segera diganti dengan suara orang yang marah-marah. Dituruti
dengan bunyi langkah orang belajar bersilat. Mereka mengunakan senjata. Bunyi
keris dan pedang berlaga sesama sendiri jelas kedengaran. Semuanya membuat saya
hilang semangat. Sentiasa berada dalam ketakutan, kecemasan yang memanjang.
“Ada
orang?”
“Siapa
orangnya ?”
“Entah tak
kenal. Agaknya tetamu baru nak belajar ilmu.”
Dialog dua
orang lelaki dapat ditangkap oelh gegendang telinga saya. Seorang bersuara
parau dan satu lagi suaranya cukup lantang. Mata saya rapatkan kembali.
“Kamu
berdua banyak cakap. Dia bukan pelajar baru. Bawa dia ke tanah lapang.”
Terdengar perintah dari seorang perempuan.
“Bawa
sekarang?” Tanya dalah seorang dari orang yang menerima perintah.
“Tunggu
sampai embun jantan turun baru angkat tetapi, jangan sampai kokok ayam
pertama.” Terdengar lagi suara perempuan
mengeluarkan arahan.
“Baik
puan.” Jawap yang menerima perintah
penuh hormat.
Suasana
kembali sepi dan hening. Andainya ada sebatang jarum jatuh pasti boleh dapat
dikesan. Suasana sepi tidak lama. Saya kira dalam tempoh tidak sampai lima minit
terdengar bunyi orang berjalan perlahan-lahan dan teratur lalu di sisi saya.
Kali ini, saya tidak mahu membuka kelopak mata untuk melihat apa yang terjadi
kerana hasilnya sudah sedia maklum.
Rasa
dingin mula menguasai sekujur tubuh. Memang diharapkan kedinginan itu akan
membuatkan saya mengantuk dan seterusnya tidur. Saya kira bila dapat tidur
dengan nyenyak semua masalah yang dihadapi akan hilang untuk sementara waktu.
Begitulah,
di tengah harapan antara mahu tidur dengan tidak. Tubuh saya seperti di angkat
serta diusung ke satu arah tertentu. Dan kali ini, saya tidak rela kelopak mata
saya tertutup rapat. Saya buka dengan seluas-luasnya. Memang benar, saya
diusung oleh tiga lelaki berwajah lembut, bermisai tebal macam misai panglima
perang zaman dahulu.
“Saya mahu
dibawa ke mana?” Tanya saya pada lelaki yang memangku bahagian kepala.
“Tak
tahu,” jawapnya lembut.
“Kami
hanya menjalankan perintah mahaguru,’ jawap yang mengampu bahagian pinggang
saya.
“Huh..
awak tak usah bimbang. Awak tak akan di apa-apakan. Percayalah cakap saya,”
sahut yang berada di bahagian kaki. Dan saya tidak mahu mengemukakan sebarang
pertanyaan lagi. Malah merelakan diri saya dibawa ke mana-mana. Saya juga
memutuskan tidak mahu merapatkan kedua belah kelopak mata. Saya mahu
menyaksikan apa yang bakal mereka lakukan kepada saya.
Apa yang
pasti, keadaaan diri dan perasaan saya kini agak stabil. Tidak berasa seperti
berada dalam dunia khayalan. Saya boleh berfikir dan dapat mengingati ayat ayat
Quran yang selalu saya ucapkan.
Mungkin
kuasa sihir yang dikenakan kepada saya sudah hilang kuasanya. Tenaga yang
hilang terasa sudah kembali. Memang terasa tidak selesa bila diusung, pergerakan
tubuh badan bagaikan terhad. Tidak mengapa asalkan mata boleh memandang keadaan
sekitar.
Aya dibawa
melintasi sebuah ruang yang terdapat pengusung mayat, pencebak, cangkul dan
pungkis. Diruang itu juga terdapat tempat untuk mandi dan mengkafankan mayat.
Keranda mayat di selimutkan dengan kain hijau yang ditulis dengan ayat-ayat
Quran denga warna putih, tertegun di sudut ruang tersebut. Semuanya membuatkan
bulu tengkuk saya meremang.
Saya juga
terlihat longgokkan kain putih yang ada
kesan tompok darah. Tidak dapat dipastikan, samada darah manusia atau darah
binatang. Bau kemenyan terus menyumbang lubang hidung.
Setelah
melintasi ruang mayat, saya terus diusung melalui kawasan tanah lapang yang
gondol. Bahagian pinggir tanah lapang ditanam dengan pokok pandan dan bunga
sedap malam. Bau bunga yang harum semerbak itu sungguh mempersonakan. Saya
terus juga diusung memasuki ruang sebuah rumah yang dindingnya dari buluh
kuning tidak dibelah. Buluh kuning sebesar ibu jari kaki orang dewasa disusun
dengan begitu rapi sekali.
Lantainya
dibuat dari bukuh kuning dan tikarnya dari mengkuang hijau. Terdapat tidak
kurang dari dua orang lelaki dan perempuan memenuhi ruang. Mereka duduk
berselang seli. Semuanya diam membatu tetapi, semua biji mata tertumbuk ke arah
batang tubuh yang sedang diusung. Dari sebelah kanan terdengar bunyi orang
menepuk tangan tiga kali berturut-turut. Tidak lama kemudian orang yang duduk
membatu, mula berzikir dengan penuh khusyuk.
BERZIKIR
Tanpa
apa-apa isyarat atau pemberitahuan, saya terus diletakkan ditengah-tengah orang
yang sedang berzikir itu. Tiga lelaki
yang mengusung saya terus menghilangkan diri entah kemana. Dengan perlahan-lahan
saya duduk bersila. Wajah-wajah asing di sekeliling terus saya tatap satu persatu.
Semua
kelopak mata mereka berkeadaan separuh rapat. Mereka berzikirkan bagaikan orang
tidak sedarkan diri. Kerana kekuatan sudah ada, saya berhasrat mahu berdiri
melihat semua kawasan ruang. Mana tahu, saya mungkin berpeluang meluluskan
diri.
Saya terus
berdiri dan meghentakkan kaki kanan ke lantai dua tiga kali. Tujuan saya
berbuat demikian untuk menarik orang yang berzikir supaya berhenti
berzikir. Ternyata apa yang saya lakukan
tidak dapat mengugat kekusyukkan mereka.
Saya berlari (didepan mereka) di ruang dari kiri ke kanan dua tiga kali sambil
menjerit. Perbuatan itu juga tidak dihiraukan. Inilah peluang saya untuk
melarikan diri. Tanpa membuang masa saya menuju ke pintu yang terdedah. Sebelum
keluar daya renung orang yang berzikir dan cahaya lilin yang menerangi ruang.
Kira lebih tiga puluh batang lilin di pacakkan di tepi dinding ruang.
Selamat
tinggal ruang neraka. Itulah yang bergema dalam hati. Dan badan pun saya
pusingkan bersedia untuk keluar dari ruang yang dikuasai oleh orang berzikir.
“Mahu
kemana sahabat, kamu tetamu kami,” terdengar suara perempuan dari celah-celah
dinding bulu. Saya mengigit bibir, belum pun sempat saya berfikir sesuatu,
ruang yang terang bertukar menjadi gelap serta merta. Tetapi orang berzikir tetap
rancak. Kegelapan tidak mengugut mereka. Sebaliknya saya yang tergugat.
“Kamu
tetamu kami, datang dijemput dan pulang biarlah kami hantar.”
Serentak
dengan itu, ruang yang gelap jadi terang benderang. Semua lilin menyala
kembali. Saya gementar kembali. Seorang perempuan dalam lingkungan usia empat
puluhan berdiri di depan saya.
“Kerana
kamu tetamu kami, tidak elok rasanya membiarkan kamu balik sendirian,” kata
perempuan itu dengan senyum. Dia menutup mukanya dengan purdah, macam gadis
Iran.
“Kamu
mesti bertemu dengan mahaguru, kemudian kamu mesti menjadi anak muridnya.
Ujian-ujian yang dibuat secara tak langsung menunjukkan kamu, memang seorang
yang berani. Sebanyak sedikit dada kamu berisi dengan ilmu,” lanjut perempuan
itu.
Apa yang
menarik entang perempuan yang terpacak di depan saya ini? Walau pun dia memakai
purdah tetapi, baju dan kain yang dipakainya agak jarang. Susuk tubuhnya yang
berkulit putih jelas kelihatan. Dia memakai serba hitam. Suara orang berzikir
yang diselang-selang dengan tangisan terus menguasai ruang. Saya tersintak, bila
perempuan itu merentap purdah yang menutup wajahnya.
“Jumpa mahaguru,
kamu muda, kamu gagah,” tambahnya dengan senyum. Sepasang anak matanya
tertumbuk ke arah anak mata saya.
“Jumpa
Mahaguru ya,” ulangnya lagi.
Belum pun
sempat saya mengata tidak mahu, dia terus hembuskan angin dari mulut ke muka
saya tiga kali berturut-turut. Ibu jarinya kirinya sengaja ditekankan ke atas
kuku ibu jari kanan saya. Perbuatannya itu, membuat saya tidak dapat mengingati
hal-hal lain. Saya jadi simpati kepadanya dan bersedia mematuhi cakapnya.
“Untuknya
kamu,”
Perempuan
itu menghulurkan bungkusan kecil yang dibalut dengan kain hitam kepada saya.
Saya sambut dengan rasa ragu-ragu.
“Buka
bungkusan itu dan tukar pakaian kamu.” Saya pun akur dengan cakapnya. Tanpa
rasa malu saya buka baju dan seluar. Hanya secebis seluar dalam membungkus
tempat rahsia. Perempuan itu terus menelan air liur. Matanya bersinar
mengambarkan keresahan dan keghairahan yang mencakar-cakar nafsu berahinya, bila
melihat bulu dada dan pangkal paha saya yang ditumbuhi bulu roma yang hitam
tebal.
Cukup
pantas saya menukar pakaian. Kini saya memakai serba hitam. Malah tanjak yang
saya pakai juga hitam. Kasut getah yang dipakai juga warna hitam.
“Baju kamu
yang tu lipat baik-baik, bungkus dengan kain hitam dan ikat ke pingang sebelah
kiri kamu,” lembut sekali suara perempuan itu, penuh manja dan ada unsur-unsur
ghairah. Perintahnya saya patuhi.
“Sekarang
kamu ikut aku.”
“Baik,’
sahut saya.
Denganlangkah
yang teratur, saya mengekorinya hingga sampai ke sebuah kamar yang diterangi
dengan beberapa buah pelita minyak tanah.
No comments:
Post a Comment