Kononnya
ada nelayan sungai yang memancing waktu
malam terserempak dengan jembalang sungai menjilat dalam tulang-tulang dan
memakan bunga yang terdapat dalam ancak di kawasan lubuk. Mereka melihat jembalang itu timbul di
permukaan sungai dengan badan sebersar kerbau, mempunya belalai macam gajah , kepalanya macam kepala sotong
dan bermata satu ang memancarkan cahaya macam bara api menerangi keseluruhan
bahagian lubuk. Sebahagian dari kulitnya mengerutu dan sebahagian lagi bersisik
tenggiling.
Dari
hujung belalai terkeluar lidah yang cukup panjang berwarna kehijau-hijauan.
Dari bawah lidahnya menitik air liur yang menyerupai buih sabun. Lidah yang
panjang itu terus menjilat-jilat tulang hinga nipis.
Masa jembalang
sungai itu menjilat tulang, udang dan ikan berlompatan bagaikan bermain-main di
sisinya yang jumlahnya cukup banyak. Semua ikan, udang dan ketam besar-besar
belaka. Buaya pun menimbulkan badan
seolah-olah menjaga keselamatan diri jembalang sungai. Air sungai segera
berombak dan melimpah ke atas tebing.
Bila semua
tulang dijilat, bunga dimakan, jembalang sungai terus mengibas-ngibas
belalainya ke tepi sungai. Pokok dan tumbuhan yang kena libasan belalainya
tunduk ke bumi. Sebelum menghilang diri dalam perut sungai si jembalang
berpusing-pusing di lubuk menghempas-hempaskan badan di permukaan sungai hingga
melahirkan gelombang yang besar mengkarakan kiri kanan tebing sungai.
“Begitulah
ceritanya, entahkan benar, entahkan tidak. Saya sendiri pun tak tahu. Saya juga
tidak berhajat untuk menyiasatnya. Buat apa cari penyakit,” kata Fuad Hassan
denga nada suara yang melucukan. Datuk dan saya tersenyum panjang.
“Sekarang,
semuanya sudah terang. Kamu sendiri dah dengar cerita dari Pak Cik Fuad. Lain
kali, kalau tengok benda-benda ganjil, janganlah gatal tangan pergi
mengusiknya,” ungkapan itu datuk tujukan kepada saya.
“Betul apa
yang datuk kamu cakapkan tu, tamar,” Fuad Hassan mencelah. Saya terdiam menelan
air liur.
LANCAR
Bot terus
membelah arus Sungai Batanghari tetapi, tidak selancar tadi. Barangkali, demi
keselamatan perahu-perahu kecil milik orang kampung yang berada di dada sungai
menyebabkan Nurul Hayat memperlahankan laju bot yang dikendalikannya.
Sampan
yang dinaiki oelh pemancing nampak terumbang-ambing di sungai, dilambung oleh
alun hasil dari gerakan bot yang kami naiki. Saya makin terhibur melihat pokok
kelapa dan pepohon bacang yang sedang berbunga di sepanjang perkampungan di
kiri kanan tebing.
“Pelik,”
kata saya.
“Apa yang
peliknya, Tamar?” Sahut Fuad Hassan yang mendengar keluhan saya.
“Siapalah
yang buat kerja syirik, jamu hantu jembalang, hanyut ancak di sungai,” saya
hadapkan pertanyaan itu kepada Fuad Hassan. Saya kira, dia wajar menjawapnya
kerana dia tahu selok-belok, perangai dan budi bicara, adat dan pantang larang
orang-orang yang mendiami perkampungan di sepanjang Sungai Batanghari.
Fuad
Hassan ketawa kecil, dia menepuk bahu saya beberapa kali. Datuk hanya melihat
saja gerak geri saya dan Fuad Hassan. Dengan tenang Fuad Hassan menarik dan
melepaskan nafas. Dia merenung kearah tebing sebelah kiri. Saya masih menanti
jawapan darinya.
“Hanyut
ancak atau sesajian di sungai, sudah menjadi kebiasaan kebanyakan penduduk di
sini, lebih-lebih lagi kalau terjadi
kemalangan di sungai, mati lemas, sampan karam, ditangkap buaya atau
kampungdilanda banjir. Penduduk yang terbabit terus mengadakan jamuan atau
sesajian,” begitu tenang Fuad Hassan memberi penjelasan. Di bawh hembusan angin
sungai, saya anggukkan kepala. Datk tidak memberikan sebarang komentar.
“Sepatutnya,
perkara semacam tu ak patut terjadi. Bertentangan dengan agama,” secara spontan
terpancut ungkapan itu dari kedua belah bibir saya. Fuad Hassan tersenyum, saya
tak tahu sama ada semua itu tanda
gembira atau senyum mengejek.
“Benar
cakap kamu, memang tidak patut perkara macam itu dilakukan. Semua orang tahu.
Cara itu salah tetapi, ada juga yang membuatnya. Ini menunjukkan yang mereka
kurang mendalam pada ajaran agama Islam, mereka lebih percaya pada kuasa gahib,
hantu syaitan dan ancak,” saya kira Fuad Hassan melahirkan pendapat yang cukup jujur dan ikhlas.
“Kita
harap lama-kelamaan perkara begini akan hilang. Diharapkan apa yang kita tengok
dan l ihat ini, adalah sisa sisanya yang akhirnya terus lenyap. Kita yang tahu
harus membetulkan langkah mereka yang silap,” sahut datuk. Fuad Hassan
mengangguk , setuju dengan pendapat yang datuk hamburkan.
“Tak
apalah, kita cuba menghapuskan kerja-kerja syaitan ni, kita datangkan tokoh
tokoh agama yang handal, luas pengetahuannya tentang kemajuan zaman moden,
boleh bercakap dalam dua tiga bahasa, orang-orang yang suka membuat kerja-kerja
begini biasanya orang yang pandai bercakap, jumlahnya tak sebanyak mana tetapi boleh mempengaruhi penduduk kampung di
pendalaman,” Fuad Hassan begitu ghairah apa yang tersirat dalam dirinya.
Datuk
tidak memberi komen sama ada menyokong atau membantah cadangan dari Fuad
Hassan. Datuk hanya tersenyum yang menyembunyikan seribu rahsia.
Secara
mengejut saja Fuad Hassan meninggalkan saya dan datuk di atas bot. Dia
menyelinap ke bahagian bawah. Lima minit kemudian dia muncul kembali di sisi
kami.
“Kemana
tadi?” Tanya datuk.
“Beritahu
anak saya supaya memperlahankan lagi laju bot dan cuba rapat ke tebing. Kota
menyusur tebing hingga sampai ke tempat yang kita hajat.”
“Begitu,
jauhkan lagi,” tanya saya.
“Tak jauh
l;agi, kau dudk diam-diam, jangan nakal-nakal,” Fuad Hassan merenung ke arah
saya dengankerlingan yang agak luar biasa.
Tiba-tiba saja saya merasakan gerak-geri yang
diperlihatkan oleh Fuad Hassan kurang menyenangkan. Terasa diri seperti
disindir dan dipermainkan. Bagi mengelakkan rasa marah berpanjangan dalam hati,
saya mengambil keptusan mahu menjauhkan diri dari datuk dan Fuad Hassan.
Belum pun
sempat rancangan itu dilaksanakan, Fuad Hassan dengan nada suara yang agak
tinggi memberitahu datuk yang dia mahu turun ke bahagian enjin bot.
“Kenapa?”
Soal datuk.
“Dah lama sangat
aku membiarkan si Nurul Hayat bawa bot, dia dah letih tu.”
“Kenapa
dah dekat nak sampai, baru kamusedar anak kamu letih. Kenapa tak bergilir-gilir
membawanya sejak tadi, bukannya bila dah nak sampai baru bertindak.”
“Aku
terlupa , dia pulak tak merungut. Kau tengok haluan bot dah tak tentu arah, dia
dah penat, boleh jadi dia dah mengantuk.”
“Kalau
begitu cepat bantu dia,” kata datuk.
“Fuad
Hassan bergegas ke bahagian bawah. Datuk pun mengekorinya dari belakang.
RIANG
Apa yang
terjadi membuat saya merasa riang. Pada hemat sya, bersendirian lebih aman dan
menyenangkan. Tanpa mahu membuang masa saya pun mengatur langkah untuk menuju
ke bahagian ekor bot.
Saya terus
duduk di situ melihat bebuih dan gelombang bagaikan hasil dari putaran kipas di
dalam air. Bebuih dan gelombang bagaikan muncul dari bawah lalu berputar di
bahagian ekor bot.
Keadaan
dan suasana yang saya nikmati itu memberikan kepuasan kepada diri saya. Kali
ini, saya berazam tidak akan menganggu sesuatu yang saya nampak ganjil atau
abeh di permukaan sungai. Sesungguhnya, saya tidak mahu psang bebuah dua kali.
Keasyikan
saya tergugat oleh bunyi derap tapak kaki. Saya pun menoleh ke belakang.
“Nurul
Hayat……”
Bisik
batin penuh debar. Dada terasa cemas dan nafas juga jadi sesak. Suara yang mahu
diluahkan bagaikan tersekat di kerongkong. Cuma sepasang anak mata saja yang
mampu merauti seluruh wajah Nurul Hayat yang tersenyum.
Nurul
Hayat terpacak di depan mata menatang dulang (dibuat dari kayu meranti bukit)
yang berisikan dua cawan kopi dan sepiring kuih, barangkali kuih jemput-jemput
kerana bentuknya kecil dan bulat.
Tanpa
mengucapkan sesuatu, Nurul Hayat meletakkan dulang kecil di depan saya. Dia
terus duduk. Darah gemuruh mulai menguasai saluran urat saraf seluruh badan.
Seoanjang yang saya ingat, inilah kali pertama saya duduk di sisi gadis.
Keadaan kami hampir berlaga kepala lutut.
Dua tiga
helai anak rambutnya yang terkeluar dari tepi kain tudung terbuai buai di main
angin, menambahkan seri kejelitaan Nurul Hayat. Begitulah menurut hemat saya.
Dalam usaha menghalau rasa gementar, saya mengigit bibir dan menggosok-gosok
pangkal hidung. Sesekali saya mengigit kuku di ibu jari. Saya jadi resah
semacam.
Tetapi
anehnya, dalam rasa gementar itu saya masih mampu menjeling ke arah kulit pipi
Nurul Hayat yang kemerah-merahan.
Bau
peluhnya amat menyenangkan, mungkin keran terdapat karangan bunga cempaka dan
tanjung tergantung di lehernya. Direnung sekali imbas memang tidak dapat
dikesan atau dilihat karangan bunga tersebut kerana ditutup oleh hujung kepala
(selindang) yang terdampar di bahagian hadapan bajunya. Tetapi, mata jahat saya
dapat menyorot kuntum-kuntum bunga yang dicucuk dengan benang daun nenas dan
dijadikan seperti kalung.
“Kenapa
kamu nakal sangat?”
Tiba-tiba
saja Nurul Hayat menghalakan wajah ke arah saya. Kami bertentang wajah,
bertentang mata, saya bertambah mengelabah, semuanya serba tidak kena. Sekejap
meraba pipi, sekejap garu pangkal telinga.
“Kenapa
resah gelisah saja, teringatkan kampung halaman,” datang pertanyaan dari Nurul
Hayat. Saya masih macam tadi, masih membisu. Cepat-cepat saya alihkan wajah ke
arah lain, saya tidak mahu merenung wajahnya, tidak mahu menentang anak matanya
yang saya kira mempunyai kuasa yang boleh membuat perasaan saya sedikit tidak
tentu arah, membuat jantung saya berdegup hebat.
“Kamu
tahu, syaitan dan iblis jika dipuja memang menjadi, kalau kitaminta bantuan
memang cepat dibantunya. Maklum sajalah, dia nak menarik hati kita supaya
percaya dengannya. Bila kita dah percaya dan keyakinan kita kepada Allah
bertambah goncang, kuasanya semakin kuat.” Nurul Hayat bagaikan memberi ceramah
kecil kepada saya. Dan sepasang matanya yang jernih merenung bebuih dan alun
air dibuntut bot yang bergerak.
“Apa yang
awak cakap ni?” Sengaja saya tinggikan nada suara untuk menutup rasa gementar
di hati.
“Tak usah
berdalih, saya tahu semuanya?”
“Tahu
apa?”
“Ayah saya
dan datuk awak dah ceritakan pada saya, lucu, saya ketawa dan simpati dengan
awak.”
“Haaaaaa…,”
mulut saya separuh ternganga. Nurul Hayat terus tersenyum.
Bot yang
dinaiki terus bergerak, air sungai terus menghanyutkan dedaun dan reranting kering
yang jatuh di permukaannya. Sekali sekala terlihat kilasan ikan di air yang
jernih.
“Minum,
kamu dahaga.”
Saya
segera menyambut cawan berisikan air kopi yang dihulurkan oleh Nurul Hayat
kepada saya. Air kopi segera say teguk. Terasa segar sekali.
“Kuihnya,
“ hulur Nurul Hayat.
Segera
saya sambut dan suapkan ke mulut, lalu saya telan.
“Sedap?”
Tanyanya.
“Saya
anggukkan kepala.
“Apa
rasanya?” Soalnya lagi.
“Macam
rasa ubi kentang goreng, tapi baunya macam bay bawang putih,” jawap saya.
“Kamu
Suka?”
Pertanyaan
terakhir yang diajukan itu membuat saya berada dalam serba salah. Apa yang
harus saya ucapkan. Apakah saya mesti mengatakan SUKA, pada hal memangsaya
tidak MENYUKAINYA. Wajarkah saya berpura-pura untuk menyenangkan hati seorang
gadis? Semuanya berlegar-legar dalam tempurung kepala.
Saya
berperang dengan perasaan saya sendiri. Kuih yang sudah hancur dikunyah terus
saya telan. Nurul Hayat masih merenung gelombang air di ekor bot. Barangkali
dia menanti jawapan dari saya. Air kopi saya teguk lagi tetapi, saya tidak
memberikan jawapan terhadap pertanyaan Nurul Hayat. Kalau saya terus terang.
Saya bimbang perasaannya tersinggung. Kalau saya berpura-pura, perasaan saya
pula yang terseksa.
BOHONG
Dalam
keadaaan fikiran dan perasaan yang kacau bilau itu, secara spontan saya
teringatkan kata-kata yang sering datuk ucapkankepada saya:
jangan membohongi diri sendiri untuk memberi
kepuasan pada orang lain. Perbuatan itu secara tidak langsung merendahkan
mertabat diri kamu sebagai seorang lelaki. Kamu harus jujur pada diri sendiri,
katakan sesuatu yang benar, cara itu tidak akan merugikan diri kamu dan orang
lain. Jujur dan ikhlas pada diri sendiri, adalah skap yang baik.
Kenapa
lambat sangat nak jawap, asyik menung aje. Nak jawap SUKA atau TAK SUKA pun nak
fikir-fikir panjang,” Nurul Hayat menyindir. Mungkin dia berbuat demikian kerana
bosan menanti jawapan dari saya.
“Tak suka,
tak sedap,” sahut saya keras.
“Memang
tak sedap. Mana ada ubat yang sedap,” balasnya selamba.
“Ubat?”
“Iya, kuih
ubat.”
Saya
kerutkan dahi, cawan di tangan saya letakkan atas dulang semula. Barangkali,
Nurul Hayat mahu mempermainkan saya. Kali ini rasa gemuruh dan gementar sudah
hilang. Saya jadi berani. Saya jegilkan sepasang biji mata ke arah Nurul Hayat.
“Kamu
mempermainkan aku?”
“Tidak,”
Nurul Hayat terus senyum.
“Aku tak
faham.”
“Apa yang
kamu rasa macam ubi tu, sebenarnya bawang putih ang digaulkan dengan tepun
beras huma. Kemudian digoreng,” dengan serius Nurl hayat memberikan penjelasan.
Melihatkan kepada gerak-geri dan gelagatnya membuatkan saya yakin dengan apa
yang diucapkannya.
“Apa
khasiatnya?”
Nurul
Hayat mengambil sebatang ranting kayu, sebesar jari kelingking yang panjangnya
tidak sampai sekaki, ranting kayu yang tersadai di bucu (entah dari mana
datangnya) segera dilemparkan ke dalam sungai. Ranting kering itu
terapung-apung dibawa ke hilir. Angin yang bertiup lemah menyentuh kulit muka
saya, terasa amat menyegarkan.
“Apa
khasiatnya,” ulang saya lagi. Macam tadi juga, Nurul Hayat tidak memberi
jawapan yang segera. Dua Cuma tersenyum, sikapnya itu membuat saya hati panas.
Dan saya mula ragu-ragu dengan kebenaran kata-kata yang dituturkannya berhubung
dengan kuih yang sudah masuk ke dalam perut.
“Apa
khasiatnya?” saya mengulanginya untuk kali yang ketiga.
“Begini,
tepung beras huma untuk mengenyangkan perut, menambahkan tenaga, menghilangkan
lenguh-lenguh semdi dan melambatkan rasa penat?
“Khasiat
bawang putih goreng pula, apa dia?”
“Khasiat
bawang putih goreng pula menghilangkan lemak, menghalau angin jahat dari dalam
tubuh kita, mencegah dari sakit pinggang, menguatkan urat saraf. Sebenarnya,
bawang putih kalau kita boleh makan denga tidak digoreng lagi bagus
khasiatnya.”
“Makan
bawang putih mentah boleh tapi, ramai yang tak tahan dengan baunya,” kata saya.
“Fasal tu
tadi digoreng. Menggoreng mesti pandai,
jangan sampai rentung, tak payah pakai minyak,” demikian Nurul Hayat memberikan
penjelasan.
“Bagus,”
kata saya sambil menegakkan ibu jari kanan ke arahnya. Nurul Hayat tersenyum.
Kemudin kami sama-sama menghirup kopi. Sama-sama mengunyah kuih yang tidak
dinyatakan namanya kepada saya oleh Nurul Hayat.
Laju bot
terasa makin perlahan dan makin hampir dengan tebing. Kami masih lagi duduk
berdekatan. Kalau tadi berlaga lutut, sekarang kami berlaga bahu, sudah saling
jeling menjeling. Hati kecil mula terpikat dengan Nurul Hayat.
“kamu
perempuan hebat, pandai bersilat dan tinggi ilmu agama,” saya mula memuji diri
Nurul hayat.
“Huuuuuuuhhhh….”
suara Nurul Hayat meninggi dan dia menjeling tajam sambil mempamerkan wajah
yang agak bengis. Saya terperanjat dengan tindak balasnya itu. Buat seketika
kami tidak berkata-kata.
“Jangan
puji aku, kalau kamu mahu aku duduk di sini,” bentak Nurul Hayat dengan
tiba-tiba. Dia terus bangun sambil kedua belah tangan mengenggam penumbuk.
Matanya merenung ke arah dada sungai. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan resah sekali.
“Maafkan
aku” kata saya tersangkut-sangkut. Nurul Hayat membuka genggam penumbuk tangan kanan. Nafas resahnya nampak berkurangan.
“Maafkan
aku, sebenarnya aku tak berniat nak menyinggung perasaan kamu,” rayu saya lagi.
Genggaman penumbuk di tangan kirinya
terbuka. Nurul Hayat terus duduk kembali di sisi saya. Aduh! Senangnya rasa
hati, perempuan yang keras hati dapat dilembut dengan rayuan. Saya senyum
megah.
No comments:
Post a Comment