Mat
Prai berhenti melangkah secara mengejut. Dia menoleh ke arah datuk dan saya
dengan wajah yang pucat. Dia kelihatan berada di dalam keadaan serba salah. Mat
Prai seperti enggan meneruskan langkah, dia seperti mahu berpatah balik ke
pondok durian. Badannya terus menggeletar seperti orang kena histeria.
"Kenapa
Mat Prai," datuk segera menggoncangkan tubuhnya.
"Saya
dah langgar pantang Ayah Alang."
"Nama
orang itu tidak boleh disebut atau diberitahu pada orang, siapa yang langgar
pantangnya boleh kena penyakit gila babi, ramai orang yang menyebut namanya
pada orang lain jatuh sakit.," sebaik sahaja selesai Mat Prai bercakap dia
terus rebah atas rumput. Paling mengejutkan, bila Mat Prai terus baring atas
rumput.
Dalam
keadaan serba salah saya dongakkan muka ke langit melihat matahari yang
memancar terang sedangkan awan putih bergerak tenang di dada langit. Angin
bertiup menggugurkan dedaun kering. Datuk terus berusaha memberikan keyakinan
pada Mat Prai bahawa apa yang dipercayainya itu adalah karut. Tetapi, Mat Prai
tidak mudah mahu menerima apa yang datuk katakan itu.
"Aku
nak tanya kamu satu perkara dalam dunia ini, baik di langit mahupun di bumi
siapa yang berkuasa dan siapa pula yang menghidupkan dan mematikan
manusia," datuk bertanya dengan lembut pada Mat Prai setelah semua
usahanya yang dikemukakan pada Mat Prai sebentar ditolak mentah.
"Tentulah
Allah yang maha besar," jawab Mat Prai penuh keyakinan. Dia terus duduk
matanya menentang biji mata datuk.
"Kamu
sudah tahu jawapannya, kalau sudah tahu kenapa kamu mesti takut dengannya.
Percayalah dia tidak ada kuasa," datuk memberikan semangat.
"Tapi,
ramai percaya dengannya," Mat Prai kelihatan maish ragu-ragu. Datuk terus
gelengkan kepala sambil menarik nafas dalam-dalam. Memang terlalu sukar
untuknya memberikan semangat baru pada Mat Prai.
"Sekarang
kamu sebut namanya berkali-kali, kamu maki dia. Aku nak tengok pantang
larangnya berkesan atau tidak," datuk mendesak Mat Prai. Cepat-cepat Mat
Prai gelengkan kepala, mukanya bertambah pucat. Dan datuk terpaksa bertindak
lebih tegas supaya Mat Prai mematuhi arahannya. Kali ini datuk tidak mahu
meentang biji mata Mat Prai.
"Kamu
nak ikut cakap aku atau aku tinggalkan kamu di sini. Biar aku balik ke kampung.
"Jangan,
kerja Ayah Alang belum selesai lagi."
"Kalau
kamu mahu aku selesaikan, dengar cakap aku."
"Baiklah
Ayah Alang," ujar Mat Prai dan terus menyebut nama Suhaimi Keraba serta
memaki hamunnya dengan semahu hati.
"Berhenti
Mat, berhenti."
Mat
Prai pun berhenti memaki hamun Suhaimi Keraba. Saya yang sudah tidak sanggup
berdiri segera mencari tempat duduk. Sasaran saya ialah batang buruk yang
melintang di tepi denai.
"Sekarang
kamu duduk diam," itu arahan datuk kepada Mat Prai. " Kita tunggu
sampai sepuluh minit, kalau benar-benar orang yang pantang namanya disebut itu
berkuasa, dan boleh mendatangkan bala kepada kamu, tentu kamu mengalami
sesuatu," sambung datuk sambil mengeluarkan jam saku dari bajunya.
"Nah
kau tengok masanya," datuk menyerahkan jam saku kepada saya, "sampai
sepuluh minit beritahu aku." Saya segera patuh pada perintahnya itu.
CUKUP
Sepuluh
minit sudah berlalu, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi pada diri
Mat Prai. Saya pulangkan jam saku kepada datuk. Sebelum jam itu disumbatkan ke
dalam poket. datuk melihatnya sejenak untuk memastikan sama ada kiraan sya
tepat atau sebaliknya.
"Bagaimana
Mat Prai? Kau tentu setuju kalau aku katakan yang orang itu tidak ada
kuasa," bisik datuk ke telinga Mat Prai tetapi dengan lemah dia
menggelengkan kepala.
"Kenapa
Mat?"
"Sebabnya
tak jadi kerana Ayah Alang ada pelindung diri, ada pemakai dan petua, sebab
itulah sumpahnya tak menjadi."
Datuk
tunduk merenung bumi. Mat Prai segera berdiri. Panas terasa kian keras. Kulit
dahi dan muka saya terasa pedih.
"Kau
selalu memikirkan perkara yang buruk-buruk. Engkau tahu kuasa Allah tetapi,
engkau tidak yakin pada-Nya inilah yang merosakkan diri kamu sendiri, kamu kata
aku ada ilmu pedinding, sebenarnya perkara yang kau sebutkan itu memang tidak
ada pada aku. Apa yang aku lakukan ialah minta perlindungan dari Allah,"
datuk mula memberikan pendapatnya, dia tidak peduli sama ada pendapat itu dapat
diterima oleh Mat Prai atau sebaliknya. Pokoknya, dia harus menyedarkan diri
Mat Prai yang terlalu percayakan pada hal yang karut-marut.
"Bagi
aku dia tidak ada kuasa, dia orang gila," cetus datuk.
"Baik
Ayah Alang minta maaf padanya, kalau tidak susah diri Ayah Alang."
"Tak
payah, dia bukan ada kuasa yang berkuasa ialah Allah, pergi jahanam dengannya.
Teruskan
perjalanan, aku nak sampai ke rumah kamu cepat," tanpa rasa bimbang atau
takut-takut datuk terus bersuara. Mat Prai jadi termanggu-manggu dan
serba-salah.
"Jalan
cepat. Tak usah fikirkan tentang manusia gila yang tidak bermoral itu,"
datuk tolak belakang Mat Prai. Antara mahu dengan tidak Mat Prai terpaksa
meneruskan perjalanan. Kami terus melalui beberapa buah dusun durian milik
orang lain. Perjalanan selanjutnya tidak ada perbualan. Antara kami bertiga,
tiada seorang pun yang berminat mahu bertanyakan itu dan ini. Masing-masing
melayani khayalan diri sendiri.
"Aduh!"
Datuk
yang berada depan saya terus membongkokkan badan. Kedua belah tangannya menekan
pangkal belikat sebelah kiri. Mat Prai segera memangku tubuh datuk agar jangan
tersembam ke bumi. Saya memicit belakang datuk.
"Kenapa
tuk?"
"Ada
orang baling benda tajam ke arah aku," jelas datuk.
Saya
segera renung kiri kanan. Anak mata saya tertumpu ke arah bambu runcing
sepanjang dua kaki di hujung kaki kanan datuk. Buluh itu sudah patah dua dan
bahagian yang ditajamkan sudah hancur.
"Carikan
aku Daun Dukung Anak," ujar datuk pada saya. Tanpa membuang masa saya
segera mencarinya. Dengan izin Allah Daun Dukung Anak yang melata di bumi itu
saya temui dekat pangkal pokok durian mati pucuk.
"Sapukan
di tempat yang terkena buluh tu untuk membunuh bisanya," datuk keluarkan
arahan. Saya segera selak baju datuk. Memang ada garisan memanjang yang
melukakan kulit tubuh datuk. Darah mula keluar dari kult yang terkoyak itu.
"Aku
dapat menepisnya, kalau tidak buluh itu tembus ke rusuk kiri," terang
datuk sambil menyuruh saya menghancurkan Daun Dukung Anak dengan telapak
tangan. Atas arahannya juga daun yang sudah hancur itu saya tampalkan ke tempat
yang tergaris sesudah membaca tujuh kali al-Fatihah serta sekali selawat.
Lebih
dari sepuluh minit perjalanan kami berhenti. Bila datuk sudah pulih, kami
meneruskan perjalanan pulang. tetapi baru enam langkah Suhaimi Keraba muncul di
depan kami dengan beberapa batang buluh runcing di tangan kiri.
"Jangan
di lawan"
Itu
perintah datuk untuk saya dan Mat Prai. Peluh yang menguasai setiap sendi
membuatkan saya resah. Mat Prai melihat matahari yang terpacak di atas kepala.
"Tengah
rembang, kata orang tua-tua alamat tak baik," bisik Mat Prai ke telinga
saya.
"Entah,"
jawab saya.
"Diam
jangan banyak cakap, kalau perbuatannya boleh mengancam nyawa kita, cepat-cepat
kita lari," datang lagi arahan dari datuk. Saya dan Mat Prai anggukkan
kepala. Datuk juga menyuruh kami berdiri sebaris menentang wajah Suhaimi
Keraba.
"Kamu
yang jadi kepala samseng memaki hamun aku. Tak sedar diri masuk kampung orang
nak berlagak ayam jaguh," kata-kata itu ditujukan oleh Suhaimi Keraba ke
arah datuk.
"Kamu
jadi baruanya," jari telunjuknya mengarah ke wajah Mat Prai. Suhaimi
Keraba terus berlegar-legar di depan kami. Sesekali dia mencabut keris
panjangnya. Dua tiga kali diacukannya ke arah saya.
"Aku
yang merejamkan buluh tajam kepada kamu, aku sakit hati kerana kamu mencaci dan
memperkecilkan aku, apa yang kamu katakan pada aku semuanya dapat aku
dengar," Suhaimi Keraba mula memperlihatkan taringnya. Dan Mat Prai terus
merenung ke arah datuk, seolah-olah engatakan yang cakapnya sebentar tadi adalah
benar.
Melihat
kami semuanya membisu dan tidak kisah membuatkan Suhaimi Keraba naik angin. Dia
mula memaki hamun datuk dan menyifatkan datuk dari keturunan orang yang tidak
bertamadun. Datuk tetap membisu. Setelah menggunakan pelbagai cara tetapi datuk
tetap bersikap dingin. Tidak mahu memulakan pergaduhan. dia mula menyerang
datuk dengan buluh runcing. Dia merejam sepuluh batang buluh runcing ke arah
kami. Satu kebolehan yang di luar kemampuan manusia biasa. Saya kira ada tenaga
lain yang membantu Suhaimi Keraba. Bagi menyelamatkan diri, saya dan Mat Prai
terpaksa berlindung di balik pokok durian.
Datuk
tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Tegak di situ sambil berpeluk
tubuhnya. Kedua belah matanya dirapatkan cuma kelopak bibirnya sahaja bergerak
seperti menyebut sesuatu.
Lebih
dari empat batang buluh runcing direjamkan oleh Suhaimi Keraba kepada datuk.
Tidak satupun yang mengenai tubuh datuk. Semuanya menyimpang ke arah lain. Ada
yang melekat pada pokok pisang hutan, terbenam ke bumi dan sebagainya. Suhaimi
Keraba berhenti dari melakukan sesuatu pada datuk. Dia termenung sejenak. Datuk
tetap berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh. Suhaimi Keraba terus memintas arah
belakang datuk sambil membalingkan buluh runcing secara curi. Tetapi, sebelum
hujung buluh runcing menjamah kulit, terlebih dulu untuk menyambarnya. Buluh
runcing itu segera dibenamkan oleh datuk ke bumi. serentak dengan itu Suhaimi
Keraba menjerit. Kedua belah tangan tergapai-gapai seolah minta tolong. Suhaimi
Keraba jatuh ke bumi.
Perlahan-lahan
datuk membuka kelopak mata sambil menjatuhkan sepasang tangan yang memeluk
tubuhnya. Datuk merenung ke arah Suhaimi Keraba yang tertiarap ke bumi.
Berhempas pulas berusaha untuk bangun berdiri.
"Bangunlah,
sahabatku," kata datuk.
Suhaimi
Keraba merenung marah ke arah datuk. Dalam rasa cemas dan takut itu dia berjaya
melepaskan diri.
"Kekuatan
sahabat tidak sejauh mana. Tidak dapat melawan kekuasaan Allah yang mencipta
diri saudara dan saya, yang memberikan nyawa pada kita," ujar datuk lagi.
"Hisss..."
desis Suhaimi Keraba.
"Saudara
sudah sesat, kerana sesat itulah hidup saudara dikuasai nafsu syaitan."
"Sudahlah."
Balas Suhaimi Keraba.
Terima
kasih, saya tidak berniat mahu bermusuh dengan saudara, saya mahu
bersahabat," datuk hulurkan tangan ke arah Suhaimi Keraba.
"Kamu
bukan orangnya," Suhaimi Keraba menolak.
"Saudara,
kita mahu bersahabat."
"Tidak
ada masa untuk bersalam dan bersahabat dengan orang yang tidak berilmu,"
Suhaimi Keraba mula mencemek.
Saya
dan Mat Prai keluar dari tempat persembunyian.Kami segera mendekati datuk yang
kelihatan begitu tenang menghadapi cemuhan yang dilemparkan oleh Suhaimi Keraba
terhadap dirinya.
"Saya
tahu sejauh mana ilmu yang ada dalam dada saudara," kata datuk dalam nada
suara yang lembut dan mengharapkan akan terjalin tali persahabatan antaranya
dengan Suhaimi Keraba. Ternyata Suhaimi Keraba tidak mempedulikan harapan dan
cita-cita datuk. Dia terus melangkah kami dengan wajah seribu dendam. Kami
meneruskan perjalanan pulang. Sampai di rumah Mat Prai disambut oleh isterinya
dengan pelbagai pertanyaan. Kenapa kami lambat sampai. Mat Prai memberi jawapan
yang kami singgah ke rumah beberapa orang kenalan. Ternyata alasan itu dapat
diterima oleh isteri Mat Prai.
Makan
nasi durian memang menyelerakan. Itu pengalaman yang menyeronokkan ketika makan
nasi durian waktu tengah hari di rumah Mat Prai. Tetapi apa yang kurang
menyeronokkan ialah sikap datuk yang sering mengingatkan agar saya agar makan 'secukup
kenyang!' satu ingatan yang boleh mematikan selera makan saya.
Tetapi
saya masih beruntung Mat Prai memberika kerjasama yang baik. Bila dia melihat
pinggan yang kosong. Secara sembunyi-sembunyi dia menaruh nasi durian ke dalam
pinggan saya dan datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Tengah hari itu, saya makan
betul-betul. Lepas makan saya tersandar di dinding dan datuk cuma terdaya
menjeling marah ke arah saya.
KECIL
Pada
petang itu, saya diajak oleh Mat Prai berjalan-jalan sekitar pekan kongsi yang
kecil. Saya ditunjukkan kawasan pasar tempat orang menjual buah dan jeruk buah
pala. Saya juga dibawa ke kawasan hutan kecil yang menurutnya tempat pelanduk
berehat. Tempat tersebut, bertahun-tahun kemudiannya tekah dijadikan ladang
ternakan buaya ( kini khabarnya ladang buaya itu sudah diberhentikan atas
arahan pihak berkuasa demi keselamatan orang ramai)
Lebih
kurang pukul empat dua puluh lima minit petang, saya dan Mat Prai kembali ke
rumah. Kami dapati datuk tiada di rumah. Kata isteri Mat Prai, tidak lama
setelah kami meningalkan rumah, datuk terus menuju ke arah masjid. Saya dan Mat
Prai terus ke masjid. Cakap isterinya memang benar. Datuk duduk tertonggok di
tengah ruang masjid membaca al Quran.
Oleh
kerana waktu Asar sudah hampir tiba, kami terus mengambil air sembahyang dan
melakukan sunat tahyatul masjid. Sepuluh minit kemudian waktu Asar pun sampai
bilal terus memukul beduk dan seterusnya melaungkan azan. Dalam kesempatan itu
juga Mat Prai memperkenalkan datuk dengan iman masjid tersebut.
Setelah
menunaikan sembahyang Asar datuk terus berborak dengan imam yang usianya lima
atau sepuluh tahun lebih tua dari datuk. Dari Imam tersebut datuk memperolehi
cerita yang terperinci tentang dir Suhaimi Keraba serta kejadian aneh yang
berlaku di dusun durian beberapa orang penduduk.
"Setahu
saya kejadian itu sudah berkurangan, kalau adapun terjadi kerana pemilik dusun
durian tidak mahu mematuhi nasihat kami."
"Apa
nasihatnya Pak Imam?" Tanya datuk.
"Perbuatan
tu, perbuatan syaitan kita lawan ikut suruhan Allah," Pak Imam bersuara
lemah. "Dari dulu lagi kalau ada kejadian macam tu, kami baca yasin tujuh
malam di dusun orang malang, kemudian kami ingatkan pemilik dusun supaya
membayar fitrah kalau memperolehi pendapat lebih, itu saja syaratnya,"
sambung Pak Imam.
"Hasilnya
bagaimana Pak Imam?" Tanya datuk.
"Dengan
izin Allah berjaya. Melainkan orang tak mahu ikut nasihat, tidak mahu
sembahyang, tidak mahu berpuasa dan mengambil hak orang sebagai milik sendiri.
"Pak
Imam tahu durian di dusunnya, dikacau makhluk ganjil," datuk terus menepuk
bahu Mat Prai yang berada disisinya. Pak Imam renung muka Mat Prai.
"Dia
ni cuma datang dan balik ke kampung bila dekat musim durian, jadi dia tidak
tahu apa yang berlaku, selain dari dusun ini, ada seorang dua yang dusun mereka
kena kacau," ujar Pak Imam dengan wajah yang selamba. saya menoleh ke arah
Mat Prai. Dia tersenyum tersipu-sipu, cuba menyembunyikan rasa malunya. Rahsia
dirinya telah terbongkar.
"Dulu
dia bawa bomoh siam nak halau hantu di dusunnya. Hasilnya tak ada apa-apa. Saya
hairan kenapa Si Mat ni tak mahu mengadu pada saya, tak mahu berbincang dengan
orang-orang kampung, pada hal saya kenal dirinya dari datuk neneknya lagi. Dia
orang sini," Pak Imam meluahkan suara hatinya. Mat Prai tunduk tidak
berkata apa-apa pun.
MESRA
Sebelum
berpisah datuk bersalaman dengan Pak Imam dengan penuh mesra. Datuk sempat
memujuk Pak Imam supaya turut sama pergi ke dudun durian Mat Prai. Pada mulanya
Pak Imam itu menolak permintaan datuk. Setelah didesak barulah Pak Imam itu
mahu ikut serta ke pondok Mat Prai. Malam itu, setelah selesai menunaikan
sembahyang Isyak di masjid, saya dan datuk serta Pak Imam terus menuju ke
pondok durian Mat Prai. Mat Prai pergi lebih awal dari kami.
Perjalanan
kami lancar tidak mengalami sebarang gangguan yang aneh. Sampai di pondok, Mat
Prai menyambut kami dengan hidangan air kopi panas. Dua pemuda dari Pulau
Betung yang menunggu dusun durian pada sebelah siang segera pulang. Kali ini
datuk melakukan sesuatu di luar dugaan saya. Mat Prai dan saya disuruh duduk di
luar kira-kira dua puluh kaki jaraknya dari pondok asal. Di situ datuk dirikan
empat batang tiang dan atapnya dibuat dari daun-daun hutan yang lebar. Tidak
sampai dua jam datuk berusaha mendirikan pondok yang bentuknya macam pondok
mainan kanak-kanak. Kami disuruh duduk di situ. Manakal datuk dan Pak imam
duduk di pondok besar. Mereka terus membaca Quran.
Saya
tidak mahu berada jauh dari Mat Prai. Ke mana sahaja Mat Prai bergerak di situ
saya berada. Kami mendengar bunyi buah durian jatuh tetapi, saya atau Mat Prai
tidak berhasrat mahu mengutipnya.
"Ular,"
jerit saya.
Biji
mata Mat Prai terbeliak melihat seekor ular hitam sebesar lengan budak berusia
lapan tahun. Panjangnya kira-kira dua kaki. Ular itu terus menuju ke arah
pelita minyak tanah. Mat Prai ambil kayu memukul ular itu, kena tepat pada
bahagian belakangnya.
Ular
itu panggungkan kepala lalu mematuk pelita minyak tanah. Kami berada dalam
kegelapan. Saya raba sana, raba sini, cari kotak mancis. Barang yang saya cari
ditemui. Sumbu pelita menguasai ruang pondok, jelas kelihatan ular hitam
menyusup di bawah dedaun kering dan terus ghaib entah ke mana. Tempat ular itu
hilang segera diganti oleh seekor kura-kura yang warna kulitnya kuning
keemasan.
Biasanya
kura-kura bila terdengar suara atau melihat orang akan menyorokkan kepalanya.
tetapi kura-kura yang datang mendadak di pondok kami terus menjulurkan
kepalanya sambil memakan dedaun kering. Mata kura-kura aneh itu nampak
tersembul dan mengeluarkan cahaya hijau.
"Kenapa
semuanya mesti terjadi masa datuk kamu tak ada bersama kita, kubunuh kura-kura
laknat ni," Mat Prai mula marah dan terus mahu memukul belakang kura-kura
dengan kayu yang digunakan untuk memukul ular.
"Jangan."
"Kenapa
Tamar?"
"Biarlah
dia pergi sendiri."
"Hum..."
Mat Prai mengeluh lalu menghempaskan kayu di tangan dengan sekuat hati.
Saya
hanya diam sahaja. Kura-kura yang menjulurkan kepalanya masuk ke dalam
badannya.
No comments:
Post a Comment