“Memang saya berminat ke sana,
beberapa nama yang disebut memang saya kenal,” datuk bersuara. Semua yang ada
dalam bilik besar termenung sebentar.
“Jadi bagaimana sekarang.”
Pak Habib minta keputusan pasti dari datuk.
Ternyata datuk tidak dapat memberikan jawapan muktamad. Jamaluddin cuba
memecahkan masalah tersebut.
“Begini, saya ada berjanji
dengannya,” Jamaluddin menudingkan ibu jarinya ke arah datuk.
“Saya nak bawa dia ke Tanah
Abang, saya nak temukan dia dengan para waris jagoan Tanah Abang, terutama
keturunan si Pitung,” sambung Jamaluddin. Pak Habib agak terkejut dengan
penjelasan tersebut.
“Kalau begitu, sahabat ikut
rancangan Jamaluddin dulu,” Pak Habib menyokong.
“Tapi.”
“Rancangan saya tu boleh
ditangguh ke lain waktu. Lagipun Jamaluddin memang orang Betawi, tentu dia
lebih tahu dari saya,” Pak Habib memberi alasan. Datuk tidak berdaya menolak dan akur
dengan apa yang Pak Habib ucapkan.
“Badan kamu sihat,” usik Jamaluddin.
Datuk tersengih,
tanpa bersuara.
“Menyusuri waris pahlawan bangsa dua
serupa memang jadi kesukaan kawan saya ini.” Pak Habib terus menepuk bahu datuk
berkali-kali. Saya dan Tajudin hanya melihat apa saja yang terjadi didepan
mata.
Agak terkejut juga, bila Pak
Habib memutuskan, Tajudin tidak perlu ikut kami. Bagi datuk dan Jamaluddin
tanpa kehadiran Tajudin tidak memberi sebarang kesan. Tetapi, bagi saya tanpa
kehadiran Tajudin memang merugikan, saya akan jadi kera sumbang diantara datuk
dan Jamaluddin.
“Sebelum ke mana-mana, bawa orang
Semenanjung ni ke Masjid Al-Makmur, biar dia sembahyang sunat disitu. Kemudian
baru kamu temukan dengan keturunan pahlawan Tanah Abang,” Pak Habib memberi
pesan sebelum datuk dan Jamaluddin memulakan langkah.
“Tak cakap pun niat saya memang begitu,”
kata Jamaluddin dengan iringan ketawa kecil.
“Bila selesai semuanya, hantar ke
rumah ini balik, banyak ilmu yang mahu saya tuntut darinya,” Pak Habib
mengingatkan Jamaluddin. Datuk hanya menggeleng-gelengkan kepala.
“Kami pergi dulu sahabat,” datuk bersuara.
“Selamat jalan sahabat,
semoga Allah memberkati perjalanan kamu.” Pak Habib menadahkan kedua belah
tangannya.
MASJID
Jamaluddin membawa kami
memasuki Jalan KH Mas Mansyur yang jaraknya lebih kurang 100 meter dari Pasar
Tanah Abang, ternampak sebuah masjid lama.
“Inilah Masjid Al-Makmur
yang saya katakan itu,” beritahu Jamaluddin pada datuk. Dengan tenang datuk
masuk dalam masjid melakukan solat Suant Masjid.
“Masjid ini boleh mengisi sekitar
tiga ribu jemaah, salah satu masjid tertua di Jakarta,” Jamaluddin terus
memberi penerangan.
Didepan masjid, Jamaluddin terus
bercerita, pada mulanya masjid tersebut hanya sebuah surau yang sangat
sederhana. Berukuran 12 x 8 meter. Pada tahun 1790 dijadikan masjid.
“Saudara tahu bagaimana kawasan ini
dinamakan Tanah Abang,” biji mata Jamaluddin menatap batang hidung datuk yang
menggelengkan kepala. Tanda tak tahu.
“Begini, nama ini berasal dari
tentera Mataram menyerang Betawi.”
“Masa bila tu?” datuk ingin tahu.
“Menurut ceritanya pada
tahun 1628, mereka bukan saja menyerang dari laut diutara tapi juga menyerang
dari arah selatan. Pada masa itu kawasan tersebut (Tanah Abang) merupakan tanah berbukit dan dikelilingi kawasan berpaya
yang airnya datang dari Sungai Krukut. Kawasan berpaya ini dimanfaatkan oleh
askar Mataram sebagai pengkalan untuk menyerang Belanda.
“Kerana tanahnya berwarna
merah (abang ertinya merah dalam bahasa
Jawa) maka mereka menamakan tempat itu sebagai Tanah Abang, nama itu kekal
sampai sekarang.” Jamaluddin menerangkan secara terperinci pada datuk. Mulut
saya terlopong mendengar kisah itu.
“Ditempat saya ada juga
tempat nama Tanah Abang.”
“Apakah kisahnya sama
dengan apa yang saya ceritakan ini,” Jamaluddin tatap wajah datuk.
Dan secara spontan saya
teringatkan sebuah tempat didaerah Perak Tengah yang namanya sama dengan Tanah
Abang, Jakarta. Kononnya, nama Tanah Abang di Perak muncul akibat salah faham
dua saudara berhubung dengan sebidang tanah. Mereka bertikam hingga si abang
menemui ajal ditangan adiknya.
Bila menyebut tentang susur
galur kesultanan diPerak nama tersebut baru disebut orang kerana salah seorang
Sultan telah dimakamkan disitu, dikenali dengan sebutan Al-Marhum Tanah Abang.
Rupanya, perkara yang bermain dalam kepala saya itulah yang disebut oleh datuk
didepan Jamaluddin.
SERUPA
“Nama serupa, suasananya
berbeza. Tanah Abang disini tempat orang buang wang dan kutip wang. Tanah Abang
ditempat saudara ada makam sejarah. Pokoknya, kita sama-sama ada Tanah Abang,”
kata Jamaluddin dalam nada berjenaka.
“Soalnya sama-sama ada
Tanah Abang,” sahut datuk.
“Kita serumpun yang sama,
tapi tak serupa,” Jamaluddin meningkah. Mereka berbalas senyum.
Kami terus melangkah
meninggalkan kawasan masjid dalam cuaca panas. Tubuh mula mengeluarkan
peluh-peluh halus. Bunyi deru kenderaan terus mengasak lubang telinga,
sedangkan kenderaan terus bersimpang siur sesuka hati. Kumpulan manusia yang
menyeberang jalan bergerak sesuka hati. Keadaan begini membuat saya jadi tidak
selesa, terasa macam mahu pening.
Kerana asyik melihat
karenah orang ramai dan melihat bangunan tua, saya terpisah agak jauh dengan
datuk dan Jamaluddin. Bagi mengimbangi keadaan saya terpaksa melangkah panjang
dan berlari anak. Perbuatan itu mendatangkan rasa penat, nafas jadi sesak
tercungap-cungap. Badan bermandikan peluh.
“Ke mana kamu nak bawa aku,
Jamal?”
“Meninjau kawasan Tanah Abang yang
luasnya sekitar 2.6 hektar dengan bangunan bertingkat. Dulu, kawasan ini kaya
dengan pendekar dan para jaguh yang sukar dikalahkan, merekalah galang ganti Tanah
Abang, mereka dihormati kerana tinggi ilmu agamanya, handal digelanggang,”
sempat juga Jamal memberi ceramah pendek.
“Barangkali disitu boleh jumpa dengan keturunan si Pitung.”
“Dengan izin Allah, saya
cuba berusaha supaya saudara boleh berjumpa dengan pahlawan Betawi. Tanah Abang
ni kawasan orang Betawi,” dicelah-celah arus manusia yang berpusu-pusu
Jamaluddin terus memberikan penerangan. Beberapa orang yang dikenali Jamaluddin
terus memberi salam. Berhenti sebentar, lalu bertanya khabar.
Dalam kesempatan itu,
Jamaluddin memperkenalkan datuk pada kawan-kawannya dengan menyebut bahawa
datuk seorang yang handal dalam ilmu mempertahankan diri. Akibat dari
perkenalan itu, beberapa orang kawan Jamaluddin menatap tubuh datuk dari atas
ke bawah, dari bawah ke atas beberapa kali. Perbuatan itu membuat datuk resah
dan tidak tentu arah.
“Kawan kamu dari Tanah
Melayu,” secara mendadak seorang lelaki yang usianya hampir sebaya dengan datuk
muncul dari sebelah kanan saya. Jamaluddin jadi panik, kerana dia belum
memperkenalkan datuk pada orang tersebut.
“Salam perkenalan.”
Orang yang sebaya datuk hulurkan
tangan.
“Selamat berkenalan,” sahut datuk.
Mereka bergoncang tangan, bertentang
anak mata dan berlaga senyum. Ada debaran kecil dalam hati, wajah datuk yang
tadi dibalut keriangan berubah seakan-akan terkejut.
DUGA
Saya menduga ada kejadian yang tidak
dapat dikesan dengan mata kasar. Lelaki sebaya datuk berkulit cerah dengan
misai kontot, tidak mahu melepaskan jari jemari datuk yang digenggamnya. Dengan lembut datuk cuba melepaskan tetapi, genggaman semakin erat, jeri
jemari terasa sakit.
Pada suatu saat saya lihat
datuk bagaikan gagal menahan kesabaran. Lelaki berkulit putih seperti mahu
memperlihatkan kekuatannya. Seperti mahu menguji datuk. Jamaluddin yang
menyedari apa yang berlaku berlegar-legar disisi datuk dan lelaki berkulit
putih. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya.
“Masalah besar,” keluh
Jamaluddin semasa melintas didepan saya. Dia benar-benar cemas. Anak matanya
tidak terlepas dari merenung ke arah lelaki berkulit putih dan datuk.
“Bersabar,” kata
saya.
Jamaluddin renung muka saya
seketika. Beberapa orang yang lalu disisinya tidak dipedulikan.
“Alhamdulillah…”
Jamaluddin bersuara.
Lelaki berkulit putih,
bermisai kontot terus memeluk dan mendakap datuk. Jamaluddin menarik nafas
lega.
“Orang ni memang hebat, sabar dan
tahan diuji.”
Lelaaki berkulit putih menyapu peluh yang muncul didahi luasnya.
Jamaluddin tersengih. Datuk hanya membatu.
“Dia bukan sebarang orang,” sambung
lelaki berkulit putih. “Kali pertama aku renung mukanya, aku sudah menduga
dadanya tidak kosong, kerana itu aku uji. Aku nak sukat sejauh mana ilmunya.”
“Kamu salah orang dan salah
tempat menguji,” Jamalauddin memberikan komentar. Lelaki berkulit putih
pamerkan giginya yang kelihatan agak kekuningan.
“Menguji itu memang kerja
aku, lebih-lebih lagi kalau orang itu mahu masuk ke kawasan Tanah Abang,
sekarang dia lulus ujian, bawa dia ke mana-mana,” lelaki berkulit putih
hulurkan tangan minta maaf pada datuk. Dengan senang hati datuk menerimanya.
Lelaki berkulit putih
meninggalkan kami. Dalam sekelip mata dia terus hilang dalam lautan manusia
yang berpusu-pusu.
“Maafkan saya dengan
peristiwa tadi, tak sangka boleh jadi macam itu,” Jamaluddin melahirkan rasa
kesal. Dia seperti hilang semangat untuk membawa saya dan datuk menemui orang
yang ada pertalian darah dengan si Pitung.
“Itu perkara biasa.”
“Tapi memalukan saya.”
“Agaknya dia memang ditugaskan untuk
menguji orang yang dicurigai.”
Pertanyaan itu membuat Jamaluddin
termenung sebentar.
“Itu pun saya tak pasti. Sebenarnya, saya
memang tak pernah kenal dengan dia. Hari ini baru saya melihatnya, sebelum ini
saya tak pernah dengan kejadian macam ini, patutnya awak ajar dia tadi.”
“Itu bukan cara saya.”
“Pelik saya memikirkannya.”
“Tak apalah, dia memang manusia
misteri,” kata datuk lalu disambut oleh Jamaluddin dengan ketawa kecil.
No comments:
Post a Comment