Buat
beberapa detik terasa cemas. Kuku di hujung di kelingking terus digigit.
Bermacam-macam perkara buruk bermain di kepala. Semuanya berkisar tentang hal
diri. Apakah kami boleh melepaskan diri dari dikuasai lelaki berdarah dahi.
Apakah selepas ini masih ada perkelahian yang tidak diminta ?
“ Perkara itu berlaku waktu malam ?”
Saya kira, si pemandu sengaja mengemukakan
pertanyaan demikian untuk memancing rahsia. Lelaki berdarah dahi masuk
perangkap. Pertanyaan itu membuat dia termenung seketika. Macam ada sesuatu
yang difikirkannya.
“Iya, betul,” jawab lelaki berdarah
dahi.
“Perkara itu terjadi di depan mata
kamu ?”
Iya, “ lelaki berdarah dahi
anggukkan kepala.
Si pemandu menarik nafas
dalam-dalam. Kemudian berdehem beberapa kali sambil menjeling ke arah saya.
Semasa mengalihkan pandangan merenung ke arah kawasan yang ditumbuhi pepohon
renek, renungan kami bertembung. Tanpa disengajakan, masing-masing melepaskan
senyum yang dibalut keraguan terhadap lelaki berdarah dahi.
“Kamu kagum dengan kebolehan
mereka?”
“Iya,” angguk lelaki berdarah dahi.
“Seterusnya, kamu berjinak-jinak
dengan mereka untuk menuntut ilmu harimau jadi-jadian,” si pemandu terus
bertanya.
“Betul,” lelaki berdarah dahi
mengaku macam orang bodoh.
“Kamu tahu, orang itu boleh menjadi
harimau pada waktu malam, waktu siang ilmu itu tidak menjadi.”
“Tak tahu,” berkali-kali lelaki
berdarah dahi gelengkan kepala.
Dia macam terkejut.
“Orang tu tak beritahu kamu?”
Lelaki berdarah dahi gelengkan
kepala.
“Ertinya, kamu belajar ilmu setengah
tiang, si pemandu terus memperkecilkan lelaki berdarah dahi. Saya ketawa dan
sikap saya itu memang tidak disenangi oleh lelaki berdarah dahi. Rasa marah dan
geram dilahirkannya dengan satu jelingan yang tajam.
JELING
Menyedari
kesalahan itu, saya segera menundukkan kepala. Merenung rerumput di kaki. Tidak
berani menentang sinar matanya yang tajam penuh dengan api kemarahan.
Dengan ekor mata saya menjeling ke
arah lelaki berdarah dahi. Dia masih marah. Jalan tengah segera diambil.
Wajahnya saya tatap bersama senyum persahabatan dan kemaafan. Niat baik
dipersendakan. Sungguh menyakitkan hati. Dia menjuihkan bibir ke arah saya.
“Eh.” Si pemandu memetik jarinya ke
arah lelaki berdarah dahi. Satu perbuatan yang memang tidak disenangi. Nasib
baik lelaki berdarah dahi tidak menunjukkan tindak balas agresif. Kalau tidak,
perkelahian yang padam akan kembali menyala.
“ Kau nak cakap apa ?” Tiba-tiba
saja lelaki berdarah dahi menyergah si pemandu.
“Kamu tahu, ilmu dua lelaki yang
boleh menjadi harimau itu tak mampan buat Tuan Syed. Dia boleh mengatasi
kebolehan mereka,” kata si pemandu.
Saya tidak tahu, apakah cakap itu benar
atau sekadar memperdayakan lelaki berdarah dahi tadi. Tetapi apa yang pasti,
setelah mendengar si pemandu, lelaki berdarah dahi terus kerutkan dahi.
LANGIT
Dua
tiga kali dia renung ke dada langit, melihat gumpalan awan yang bergerak
perlahan ke arah laut. Sesekali merapatkan sepasang kelopak matanya dari
dimasuki debu yang dibawa angin petang yang bertiup agak kencang.
“Kamu jangan cuba mempermainkan
aku,” secara mendadak lelaki berdarah dahi bersuara separuh menjerit. Mungkin
dia berbuat demikian kerana mahu menutup kelemahan dirinya.
“Terpulanglah pada kamu, sama ada
mahu percaya atau tidak,” satu jawapan tegas. Lelaki berdarah dahi menggosok
pangkal hidungnya dua tiga kali. Kemudian dia menggelengkan kepala. “Mustahil
Tuan Syed mempunyai ilmu setinggi itu.”
“Terpulang,” balas si pemandu.
Saya semakin bertambah bingung
menghadapi suasana yang dikira serba
tidak kena. Kenapa mesti banyak bercakap daripada bertindak, fikir saya dalam
hati.
Muka si pemandu saya renung. Mata
pun saya kenyitkan. Maksudnya saya mahu dia bertindak lebih pantas
menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Si pemandu mengerti keinginan saya.
“Tamar, kamu sayang datuk kamu?”
muncul pertanyaan dari si pemandu yang nampaknya resah.
“Kamu jangan bergurau,”
“Aku tak bergurau, kalau kamu sayang
ikut aku. Jangan banyak berdalih, mari kita bantu dia bersama Tuan Syed, “ Si
pemandu minta sebuah kepastian.
Saya tiada pilihan lain, mesti patuh
dengan ajakkannya. Saya kira lelaki berdarah dahi juga tidak dapat menolak. Dia
terpaksa menolong si pemandu yang satu merga dengannya. Malah kawan seperguruan
semasa menuntut di Kasiran Sumatera Utara satu ketika dulu.
“Apa yang ditunggu lagi Tamar,
mari.”
“Ayuh, saya menjawab.
Dan kami pun melangkah serentak
dengan pantas sekali.
“Aku ikut sama,” jerit lelaki
berdarah dahi.
Dia yang ketinggalan beberapa
langkah di belakang mempercepatkan langkahnya hingga menyamai langkah di
pemandu dan saya. Tetapi, apa yang dirasakan sungguh ganjil. Macam ada sesuatu
yang tidak betul.
Si pemandu yang menjadi kepala jalan
seperti kehilangan arah. Rasanya, sudah jauh benar berjalan hingga seluruh
tubuh berpeluh. Tetapi, bila menoleh ke belakang batu besar masih dekat dengan
kami.
PELUH
Dalam
erti kata lain, langkah kami tidak ke mana-mana. Masih berlegar-legar sekitar
batu besar. Pada hal kami bertiga terasa amat penat sekali. Peluh yang keluar,
usah dikira, kalau dikumpulkan hampir setengah baldi.
“Kita berhenti, aku penat,” dalam
keadaan tercungap-cungap saya memberitahu si pemandu. Keluhan itu disokong oleh
lelaki berdarah dahi.
Dan si pemandu terus simpati,
langkah perjalanan segera dimatikan. Kami bertiga tersadai dan terbaring atas
rumput di kawasan lapang merehatkan diri dari kepenatan.
“Tamar,”
“Iya, kenapa?”
Dalam kepenatan yang belum berakhir
itu, maka si pemandu saya renung. Dia nampak keletihan sekali. Nafasnya
tercungap-cungap. Sedangkan lelaki berdarah dahi dengan tenang mendepangkan
sepasang tangannya atas rumput.
“Aku rasa kita diperdayakan orang
Tamar.”
“Boleh jadi,” balas saya.
Si pemandu terus mengesat peluh yang
mengalir di kiri kanan keningnya dengan telapak tangan. Buat seketika, tidak
ada komentar yang lahir dari mulut lelaki berdarah dahi.
Suasana hari terus beranjak ke petang. Dalam
tempoh beberapa jam lagi, matahari pasti
jatuh di kaki langit. Dan dewi senja mengambil alih tugas dari matahari. Kalau
suasana hari sudah didatang berbunga senja, segala-galanya akan menjadi sukar.
SUASANA
Usaha
mencari datuk dan Syed Hamid Al-Hadad akan menjadi bertambah sulit. Satu perbincangan kecil segera diadakan
antara saya dengan si pemandu. Lelaki berdarah dahi hanya mendengar saja.
Akhirnya, kami mengambil keputusan
untuk kembali semula ke arah batu besar, tempat di mana kami mula bertolak
tadi.
Sambil menyandarkan badan ke batu
besar, langit yang terbentang luas menjadi habuan mata. Keluang dan bangau
terbang tinggi bagaikan berlumba-lumba
di awan.
Suara agak liar jelas kedengaran.
Bunyi deru kenderaan yang lalu di jalanraya di balik terus menyumbat lubang
telinga.
“Bagaimana semuanya ini boleh
berlaku?” terhambur pertanyaan dari kelopak bibir. Muka si pemandu saya renung.
Dan si pemandu pula merenung muka lelaki berdarah dahi. Pokoknya, wajah kami
terus dibalut keresahan. Terus diselubungi kecemasan dan ketakutan.
“Kita disihir,” Terpancut kata dari
sepasang bibir tebal lelaki berdarah dahi.
“Kenapa kamu cakap macam tu? Soal si
pemandu sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Tiada daya
dia menyembunyikan rasa marah dan geram.
Tiada jawapan yang diberikan oleh
lelaki berdarah dahi. Si pemandu bergerak ke kanan dan ke kiri. Akhirnya
berhenti dan berdiri di sebelah kanan saya. Sepasang matanya kembali tertumpu
kulit muka lelaki berdarah dahi.
“Tentu ada sebab kamu cakap macam
itu. Kalau tak ada angin, mana mungkin pokok bergoyang. Cakap sekarang,” keras
benar tekanan nada suara si pemandu. Tiada reaksi dari lelaki berdarah dahi.
Hati si pemandu terus membara.
“Cakap, bedebah.”
Telapak tangan kanan pemandu yang
kasar dan lebar jatuh ke atas bahu kiri lelaki berdarah dahi. Cengkaman dari
lima jari yang panjang dengan otot-otot yang menonjol di belakang tangan
membuat lelaki berdarah dahi merendahkan tubuhnya menahan rasa sakit. Wajahnya
nampak berkerut.
“Cakap,” si pemandu terus mendesak.
Lelaki berdarah dahi tetap membatu.
Kemarahan terus membakar hati nurani
si pemandu. Cengkaman jari-jemarinya semakin kuat menekan tulang selangka. Makin
lama, makin rendah kedudukan lelaki berdarah dahi. Dengan sekali tolakan,
lelaki berdarah dahi. Dengan sekali tolakan, lelaki berdarah dahi terkejut dan
terpampan.
Saya memang merestui tindakan si
pemandu. Entah mengapa, saya seperti didorong sesuatu terus menerpa di sisi
lelaki berdarah dahi. Leher bajunya terus dicekak. Wajahnya pucat lesi.
“Jangan bunuh aku,” dia merayu.
Baju yang dicekak saya lepaskan
sambil kaki menyepak lemah ke punggungnya.
“Kamu mesti membantu kami,” si
pemandu terus mengherdiknya.
“Sebenarnya, aku tidak mampu
melawan, selain dari ilmu tikus putih, kamu juga mempelajari ilmu (silat) harimau melindungi anak, ilmu yang tidak ada
pada aku, “ lelaki berdarah dahi meluahkan sebuah pengakuan.
Si pemandu terus merenung ke arah
saya sambil mengangkat tangan kanan separas telinga kiri, memberi isyarat minta
bantuan.
“Kamu bercakap jujur dengan kami.
Bekerjasama dengan kami. Itu saja yang kami minta, “ kata-kata itu terhambur
dari mulut sebagai memenuhi isyarat dari si pemandu.
“Bantulah kami,” saya terus merayu
dan memujuk.
Tiada jawapan yang diberikan. Lelaki
berdarah dahi lebih menggigit ibu jari dari memberikan perhatian terhadap
kata-kata yang saya hamburkan.
PUJUK
Walau
apapun, saya memang mengharapkan pujukan itu akan berhasil. Kalau tidak
berhasil, saya dan si pemandu akan menghadapi jalan sukar. Mungkin nasib Syed
Hamid Al-Hadad dan datuk akan menjadi lebih teruk lagi.
“Saya bersetuju bekerjasama dengan
kamu berdua.”
Satu jawapan yang memang diharapkan.
Saya dengan pemandu berbalas senyum dan bertepuk bahu antara satu sama lain.
“Dengan ikhlas,” tanya saya.
“Sudah tentu,” sahut si pemandu.
Kami bertiga terus berjabat tangan.
Kemudian berpelukan penuh kemesraan sambil membulatkan azam untuk melawan
musuh.
“Ceritalah, apa yang kamu tahu,”
sengaja saya lembutkan tekanan nada suara. Penuh diplomasi.
“Semuanya sudah diatur. Sejak kami tahu
Syed Hamid Al-Hadad melalui jalan ini untuk ke Medan. Semua persiapan sudah
kami aturkan......” lelaki berdarah dahi berhenti bercakap.
Dengan penuh sopan dia mengajak saya
dan si pemandu duduk atas batang nibung yang sudah lama rebah. Sudah tentu
permintaannya tidak kami tolak begitu saja. Kami juga mengharapkan, semoga dia
tidak berdalih atau berhelah.
Semoga dia tidak akan mengambil
kesempatan dari kebaikan kami untuk memperlambatkan apa yang bakal kami
lakukan. Dengan berhelah atas berdalih boleh membuatkan kami terleka.
Dan masa akan terus berjalan menuju
ke senja, akhirnya menyambut malam. Bila hal ini terjadi, akan memberi
kesempatan kepada dua lelaki yang memburu Syed Hamid Al-Hadad menjadi harimau.
Andainya, dua lelaki itu boleh
menukarkan bentuk tubuhnya dari manusia menjadi harimau. Sudah pasti, Syed
Hamid, datuk, si pemandu dan saya tinggal nama saja.
“Cakaplah cepat, jangan
berbelit-belit dan bercerita tentang kisah lain,” dengan pantas saya memotong,
bila menyedari yang lelaki berdarah dahi memulakan cerita tentang keturunan
yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang sedang dihadapi.
Sialnya, lelaki berdarah dahi senyum
sinis. Hati saya terbakar dibuatnya.
“Masa semakin suntuk,” tekan saya
meninggi.
“Tahu,” jawabnya acuh tak acuh.dua
tiga kali, dia meraba dan menggosok-gosok hujung dagunya dengan kuku jari
kelingking.
Memang menyakitkan. Tindak-tanduknya
mengundang kemarahan saya dan si pemandu. Tetapi, kami berdua masih dapat
mengawal perasaan. Tidak ada gunanya berkeras boleh menimbulkan ketegangan.
Bila ini terjadi, tiada siapa yang untung dan orang yang paling rugi kami
berdua.
“Kalau terus begini, diri kita semua
yang celaka.” Ungkapan yang dihamburkan oleh si pemandu membuat saya menghela
nafas panjang. Tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku. Lelaki berdarah
dahi mendongakkan mukanya ke dada langit.
Barangkali dia melihat langit biru
dan awan gemawan yang putih berarak lembut. Mungkin juga mencari ilham untuk
membuat keputusan yang bakal diambil. Hembusan angin semakin rancak menyentuh
pepucuk daun sekitar.
“Ceritalah, apa yang kamu tahu.”
Sebuah rayuan bersama air muka minta dikasihani dari si pemandu.
Ternyata taktik ini berkesan.
RENUNG
Lelaki
berdarah dahi renung kiri, renung kanan. Kemudian dia mendongak wajah ke langit
macam tadi. Bagaikan ada sesuatu yang dicarinya. Dua langkah pula dia undur ke
belakang. Dengan cepat dia menukar tempat.
Berdiri di tengah-tengah, antara
saya dan si pemandu, saya kira ini satu perbuatan yang luar biasa. Dan saya
tersenyum, bila dia menjolok lubang hidungnya yang luas dengan jari telunjuk.
“Uhhu..........”
Tanpa memberi sebarang amaran,
lelaki berdarah dahi melepaskan dua penumbuk serentak, kiri dan kanan pada
perut kami. Hasilnya, saya dan si pemandu tersedak dan batuk panjang. Air liur
bersemburan dan mata terus berair. Perut terasa sakit (senak) yang amat sangat.
Tidak dapat menegakkan tubuh, terpaksa membongkok menahan sakit.
Di saat hati tertanya-tanya. Kenapa
perkara begini dilakukan, lelaki berdarah dahi terus mengeluarkan arahan yang
agak ganjil dan dan aneh bunyinya.
“Buka baju kamu berdua.”
Arahan itu segera dipatuhi.
“Sapukan ke muka kamu berdua, inilah
usaha terakhir kita,” tambah lelaki berdarah dahi. Seperti tadi, arahannya kami
patuhi tanpa memikirkan buruk baiknya.
Kami bagaikan dipukau. Mengikut apa
saja arahan darinya. Bila semua arahannya dipatuhi, pandangan saya jadi
samar-samar. Lubang hidung terus disumbat dengan bau cabai kering dan bawang
bakar. Lagi sekali kami berdua tersedak serentak.
Keadaan ini memang tidak disenangi,
ada keraguan dalam sanubari. Mungkin ini satu helah untuk memerangkap saya dan
si pemandu. Dan ini mungkin amaran secara halus, seolah-olah memberitahu, pintu
kematian sudah berada di depan kami.
Si pemandu menggigit bibir sambil
merenung ke langit. Matahari sudah condong benar. Sinarannya tidak segarang
tadi. Percayalah, dalam sedikit masa lagi, matahari pasti terbenam di kaki
langit. Senja pasti datang berlenggang. Ketika itu, semua usaha tidak bermakna
lagi.
“Ada tercium bau bawang dan cabai
kering terbakar.”
MENGGIGIT
Suara
dari lelaki berdarah dahi, membunuh kesangsian yang berbunga dalam dada. Si
pemandu saya lihat menggigit hujung jari sambil mengecilkan kelopak mata
kanannya. Pasti, dia masih ragu-ragu untuk menjawab pertanyaan yang diajukan
oleh lelaki berdarah dahi yang nampak masih berdiri dalam keadaan bersahaja.
“Ada.”
Saya mendahului si pemandu
memberikan jawapan.
“Ertinya, pantang dan petua berjaya
saya tawarkan,” lelaki berdarah dahi bersuara lantang. Ada tanda kepuasan
bermain dimukanya. Buat beberapa minit, dia berlari dan mengelilingi batu besar
berulang kali.
“Gila,” saya merungut.
“Kita tengok dulu,” balas si
pemandu.
Kalau tidak silap menurut hitungan
rambang, tujuh kali lelaki berdarah dahi mengelilingi batu besar. Dalam keadaan
yang amat penat dia melangkah longlai ke arah kami, sebaik sampai dia terus
rebah di bumi, kira-kira setengah kaki dari hujung jari kaki kami.
Berguling-guling sambil memeluk
sepasang lutut. Bunyi nafasnya cukup keras macam bunyi nafas kerbau yang sedang
marah.
Kalau pada mulanya, dia
menggulingkan tubuh di bumi dengan penuh tenaga dan cepat, begitu juga dengan
bunyi nafas. Tetapi, setelah sepuluh minit masa berlalu, gulingannya tidak
sehebat tadi. Begitu juga dengan bunyi nafasnya. Semakin lama, semakin lemah
dan akhirnya terus berhenti.
No comments:
Post a Comment