Saya kira
bila nenek sudah mula duduk bersila begitu, pasti dia mahu mengajukan beberapa
pertanyaan untuk datuk. Dan pertanyaan yang dikemukakan itu bergantung pada
rasa hatinya, kalau hati sedang marah, pasti pertanyaan yang keluar menyakitkan
hati. Kalau hati sudah sejuk, pertanyaan yang terhambur pasti menggembirakan
hati datuk.
Masa terus
berlalu, nenek masih membisu. Perbuatan itu menimbulkan keresahan dalam diri
saya. Walaupun demikian, saya masih dapat mendengar deru angi di luar yang
beransur perlahan.
Tetapi
suara salakan anjing terus mendayu-dayu. Burung tukang, tidak sekerap tadi
berbunyi. Cuma yang rancak berbunyi ialah suara cengkerik.
“Dari mana
awak nak bertolak?” Nada pertanyaan nenek lembut . Wajah datuk nampak aman dan
saya tersenyum.
“Dari
Pulau Pinang?” Sambung nenek lagi.
Datuk
gelengkan kepala.
“Dari
Lumut?”
Datuk
gelengkan kepala.
“Dari
Melaka?”
Macam tadi
juga datuk tetap gelengkan kepala.
“Habis
dari mana awak nak bertolak?” Suara nenek meninggi, dia mula naik darah.
“Dari
Teluk Senangin,” jawap datuk.
“Haa..,”
nenek terkejut, mulutnya terlopong, “awak buat kerja gila, awak naik perahu
menyeberang ke Sumatera. Awak nak tempah maut di Selat Melaka,” sambung nenek
lagi matanya tidak berganjak menatap batang hidung datuk.
“Begini,”
ujar datuk dalam usahanya meredakan rasa bimbang di hati nenek, “ aku hanya
naik perahu ke tengah laut saja, dari situ aku naik tongkang yang bawa
barang-barang dari Lumut ke belawan, dari situ menyusur pantai menuju ke Jambi,
kemudian masuk Kuala Sungai Batang Hari,” jelas datuk kepada nenek yang nampak
resah semacam saja.
Dari
gerak-geri dan air mukanya, saya dapat menduga bahawa nenek kurang puas hati
dengan penjelasan datuk. Macam ada sesuatu yang ingin diketahuinya, tetapi
nenek takut mengajukan pertanyaan kepada datuk.
“Hum, awak
kurang puas hati?” Datuk merenung hidung nenek. Tidak ada jawapan yang datuk
terima dari nenek. Sebagai suami yang sudah berpuluh tahun mendampingi isteri,
datuk dapat membaca perasaan hati nenek melalui gerak-gerinya.
“Tak usah
bimbang, aku dah aturkan perjalanan dengan sebaik mungkin,” saya lihat datuk
bersuara penuh ketenangan. Memang datuk bersuara mahu menyingkirkan rasa sangsi
yang bermain di hati nenek. Tidak ada sepatah kata yang nenek luahkan, dia
terus membisu. Nampaknya nenek lebih senang mendengar dari meluahkan pendapat
atau pertanyaan.
“Tongkang
yang aku naik tu, tongkang pedagang Acheh. Aku kenal dengan nakhodanya. Sudah
lama perkara ini aku aturkan lebih dari setahun,” tambah datuk. Nenek anggukkan
kepala tanpa memberi sebarang komen.
“Sampan
nak membawa ke tengah laut tu, milik anak saudara nakhoda itu, dia tahu di mana
tongkang ayah saudaranya boleh berlabuh, semuanya sudah aku susun. Kamu tak
usahlah bimbang,” datuk bersuara lagi.
Nenek menarik nafas lemah. Mata datuk ditatapnya.
“Kalau
sudah begitu, eloklah. Saya bukan apa-apa, saya Cuma bimbangkan keselamatan
diri awak,” nenek meluahkan perasaannya.
“Sayang
juga awak kepada saya,” datuk bergurau. Nenek menghadiahkan senyum sinis kepada
datuk. Saya lihat datuk terus tersengih panjang.
“Selain
dari menengok kampung halaman, bertemu dengan sahabat handai, kemana lagi awak
nak pergi ?” Barulah nenek memperlihatkan keriangan di wajahnya. Datuk
membetulkan duduk dan silanya supaya kemas dan selesa.
“Aku nak
ke Kampar, Indragiri, Langkat, Serdang, Acheh dan ………. Datuk berhenti bercakap
dan terus kerutkan kening, macam ada sesuatuyang diingatinya. Apakah yang
dingat dan difikirkan oleh datuk untuk diluahkan kepada saya dan nenek?
“Aku ada
beberapa tempat lain lagi,” datuk menyambung kata yang terhenti, “ semua tempat
dan daerah yang budaya adatnya serta percakapannya serupa dengan kita disini,
ke situlah aku nak pergi.”
“Itulah
sebabnya awak kata, awak nak pergi lama,” tingkah nenek bersahaja. Datuk tidak
berkata apa-apa, dia hanya sekadar menggoyangkan kepala saja.
BUKA
Nenek
bangun dan melangkah ke jendela. Daun jendela dibuka, dia merenung malam yang
hitam. Deru angin masih terdengar agak lemah. Nenek rapatkan daun jendela
kembali. Dia memusing badannya lalu merenung kearah datuk.
“Pintu
dapur yang terkopak bila nak betulkan?”
“Siang
esok saja”
“Jadi
sepanjang malam ni, pintu tu terdedah.
Nanti masuk pencuri susah kita, ada k ain sehelai dua habis kena kebas.”
“Usah
bimbanglah, tahu lah aku membuatnya,” jawapan datuk itu membuat nenek angkat
kaki lalu menuju ke bilik tidor. Barangkali nenek yang sudah lanjut usia sudah mengantuk dan kepenatan.
“Ikut aku
Tamar.”
Datuk
bangun lalumelangkah ke ruang dapur. Tanpa banyak soal saya ikut saja
langkahnya hingga sampai ke depan pintu dapur yang terkopak. Datuk ambil daun
pintu yang terpisah dengan jenang.
“Tuk nak
penukul dan paku, nanti saya cari tuk”
“Tak
payah, kamu angkat papan pintu, seginya kamu rapatkan ke jenang.”
Saya patuh
dengan perintahnya, sambil mengangkat papan pintu, saya mula berfikir, besar
kemungkinan datuk menyuruh saya memegang papan pintu hingga terbit matahari
itulah sebabnya, dia tidak mahu mencari paku dan penukul. Tidak habis-habis
datuk mahu mendera saya.
Bucu papan
pintu saya lekatkan ke jenang. Hampir sepuluh minit saya memegangnya, datuk
tidak pula menyuruh bergerak dari situ, dia sekadar merenung ke arah saya
dengan renungan yang tajam sekali.
“Tuk suruh
saya buat macam ini sampai pagi.”
“Eh, aku
ak cakap apa-apa, kenapa kamu pandai-pandai buat andaian yang bukan-bukan. Apa
kamu tak boleh dengar cakap aku, herdik datuk.
“Maafkan
saya,” kata saya terketar-ketar.
Memang
tidak saya duga sama sekali bahawa pertanyaan itu boleh menimbulkan kemarahan
pada diri datuk. Saya jadi serba salah, perbuatan yang saya lakukan sebentar
tadi membuat datuk jadi perengus dan suka marah-marah.
Datk
melangkah kearah saya dengan teratur. Kedua belah tangannya memeluk tubuh. Bila
dia sudah hampir dengan saya, kedua belah tangannya diluruskan kebawah.
“Tentukan
kedudukan pintu dengan betul .”
Saya
segera melihat bucu pintu, samada selari dengan jenang pintu yang dibuat dari
kayu cengal merah.
“Dah betul
kedudukannya, Tamar?”
“Sudah
tuk.”
“Pegang
kuat-kuat, Hitungsampai sepuluh, kemudian tahan nafas. Apa yang aku buat jangan
kamu tegur. Kalau kamu ternampak apa yang ganjil jangan bersuara. Faham Tamar?”
“Faham
tuk.”
Selesai
saja saya memberi kata putus, saya lihat datuk menarik nafas sedalam-dalamnya,
kemudian dia mengepal penumbuk lalu bergerak perlahan dua tapak ke depan dan
berhenti. Dia melepas nafas dengan lemah. Kemudian datuk tarik nafas lagi,
bergerak setapak kedepan hingga jaraknya dengan papan pintu yang saya pegang,
tidak sampai se kaki.
Datuk
merenung tajam ke arah papan pintu. Pada saat itu saya terdengar bunyi deru
angin yang amat kuat macam ribut, papanpintu yang saya pegang bergerak-gerak
dengan kuatnya macam ditolak sesuatu dari luar. Tubuh saya terasa seperti
diangkat.
Dalam
saat-saat seperti itu, saya berhasrat mahu memberitahu datuk tentang masalah
yang saya hadapi. Tetapi, saya seperti kehilangan suara dan tenaga. Papan pintu
yang saya pegang terasa amat berat macam batu besar yang mahu menghempap tubuh
saya.
“Pegang
dan tahan pintu kuat-kuat,” pekik datuk dengan sekelip mata dia sudah terpacak
di sisi saya. Tubuh saya ditolaknya dengan sekuat tenaga hingga saya tersungkur
dilantai. Papan pintu yang saya pegang pun terlepas.
Datuk pun
mengganti tempat saya. Apa yang menakjubkan dan meghairankan saya, bila melihat
datuk menahan papan pintu yang selebar lebih dari tiga kaki dengan jari
kelingking kiri.
Dengan
jari kelingking tersebut dia menggerakkan dan merapatkanpapan pintu ke jenang. Datu
angkat tangan kanan yang sudah di genggam kejamnya lalu menumbuk bahagian
tengah papan pintu.
“Sudah
selesai, aku buat semuanya ni untuk menyenangkan hati nenek kamu,” kata datuk dan
saya lihat pintu dapur kembali dalam keadaan sediakala. Boleh dibuka dan
dikunci. Saya merasa takjub bagaimana ensel di bucu pintu boleh melekat
kejenang pintu tanpa paku dan skru.
“Sudah
selesai tuk,” saya minta kepastian.
“Dah
selesai pun.”
“Tak pakai
paku dan penukul?”
“Iya, kamu tengok sendiri.”
Saya
segera memeriksa ensel pintu, ternyata ensel tersebut sudah dipasang dengan
skru. Lagi sekali saya merasa takjub.
“jangan
tanya apa-apa,” tutur datuk bila melihat saya mahu mengajukan pertanyaan. Saya
segera angguk kepala. Datuk memimpin tangan saya menuju ke ruang tengah.
“Pergi
tidur, inagt lusa kita nak berjalan, itu pun kalau diizinkan Allah, kita ada
masa dua hari untuk membuat persiapan. Kamu jangan kemana-mana, tolong nenek
buat kerja untuk kita yang mahu ke tanah seberang,” tutur datuk sebelum dia
masuk ke bilik tidurnya. Baru dua langkah datuk melangkah, dia berpatah balik
ke arah saya. Perbuatannya itu memeranjatkan saya. Rasanya tak ada kesalahan
yang saya lakukan.
“Ingat
Tamar. ”
“Ingat apa
tuk ?”
“Jangan
beritahu sesiapa dengan apa yang kamu tengok tadi. Pada nenek kamu pun jangan
kamu ceritakan.”
“Saya
faham tuk.”
“Begitu
juga dengan hajat kita nak ke Jambi. Jangan kau hebahkan dengan orang lain.
“Saya
faham tu.”
Setelah
melihat biji mata dan wajah saya dan yakin saya akan mematuhi pesanannya,
barulah datuk masuk ke bilik. Sepuluh minit kemudian datuk keluar. Dia
mengambil wuduk, tidak lama berselang terdengar suara datuk membaca al- Quran.
Dengan
rasa letih dan mengantuk, saya rebahkan tubuh atas ranjang, sementara menanti
mata terpejam, saya segera pasang angan-angan, saya gambarkan betapa sukarnya
dan payahnya naik tongkang membelah ombak Selat Melaka. Dan akhirnya saya pun
terlena.
TINGGAL
Segala
barang-barang yangmahu dibawa sudah disediakan oleh nenek di muka pintu. Saya
duduk di kaki tangga melihat kelip-kelip yang terbang subuh.
Dab datuk
pun mengakhiri doa sembahyang subuhnya. Sebentar lagi, sebelum matahari terbit
saya dan datuk harus meninggalkan rumah, tidak boleh berpatah balik walaupun
ada barang yang tinggal.
Bagi
menjamin semuabarang-barang dibawa tidak tinggal, saya ditugaskan memeriksa dan
melihatnya,
Kata
datuk, berpatah balik setelah memulakan peralanan akan membawa padah buruk,
mungkin orang yang berjalan itu akan berhadapan dengan masalah besar dalam
perjalanan. Petua yang diwarisi dari nenek moyang itu tetap mahu dipelihara dan
dikekalkan oleh datuk.
“Sudah
cukup semuanya, Tamar?” Tanya datuk dari arah belakang. Saya segera menoleh
arahnya, datuk memakai kemeja hitam lengan panjang. Seluar kuning panjang,
bersongkok hitam serta betali pinggang lebar hitam, macam tali pinggang anggota
polis sebelum merdeka.
“Semuanya
sudah siap tuk.”
“Sudah
kamu periksa, apa yang aku suruh sediakan?”
“Sudah
tuk.”
“Tak ada
yang tinggal, Tamar?”
“Tak ada tuk,”
tutur saya dengan penuh yakin.
“kau bawa
beg kecil, beg besar biar aku yang bawa,” kata datuk sambil menyelitkan lawi
ayam ke celah tali pinggang besarnya.
Di
bahagian dalam tali pinggang sengaja dibuat tempat kas untuk senjata kecil
seperti lawi ayam, gerambit, keris kecil dan sebagainya. Hari itu, disamping
lawi ayam, datuk juga menyelitkan keris kecil.
Dilihat
sepintas lalu dari luar, keadaan tali pinggang itu kelihatan macam biasa saja.
Dihujung tali pinggang terdapat tembaga kuning yang disatukan dengan kulit tali
pinggang yang lebarnya sama dengan ukuran tali pinggang dan panjangnya
kira-kira dua inci.
Datuk
pernah menggunakan tembaga di hujung tali pinggang sebagai senjata untuk
mempertahankan dirinya diserang orang jahat. Datuk sendiri yang menceritakan
perkara itu kepada saya. Kesimpulannya, tali pinggang itu, bukan sekadar tali
pinggang tetapi ada tujuan yang lain biladi pakai.
“Eloklak
kita mulakan perjalanan.”
Datuk
segera mengambil capal kulit lalu disarungkan ke kaki. Tanpa mengeluarkan
arahan selanjutnya datuk melangkah ke pintu. Berdiri si situ dengan tangan kiri
memegang jenang pintu dan tangan kanan terletak di pinggang.
Perbuatan
datuk berdiri di muka pintu menghalang perjalanan saya. Kalau saya bersuara
mungkin datuk marah atau menengking saya.
Saya
mengambil keputusan tunggu dan lihat. Sekiranya datuk berubah tempat, barulah
saya keluar dari rumah. Seluruh pancaindera, saya tumpukan ke tubuh datuk yang
tercegat di ambang pintu.
Tiba-tiba
saya lihat, sepasang tangan datuk memeluk tubuh dan sepasang matanya tidak
berkedip melihat ke arah halaman rumah. Macam ada sesuatu dilihatnya di situ.
Lebih kurang lima minit lamanya, datuk terpaku begitu.
Datuk
menarik nafas dalam-dalam seraya menjatuhkan sepasang taangannya, lurus kebawah
tetapi, jari telunjuk, jari manis dan jari hantu tangan kanan dibengkokkannya,
sementara jari telunjuk dan ibu jari diluruskan.
Datuk
mengerakkan tubuhnya membelakangi ambang pintu untuk menatap wajah saya.
Matanya nampak bercahaya.
“Sudah
selesai Tamar.”
“Sudah
tuk.”
“Kalau
begitu sekarang kita mulakan perjalanan.”
Datuk
mendekati saya lalumembongkok mengambil beg besar dekat tiang besar. Datuk
galas beg besar ke bahu.
Dengan
serta merta saya bangun dan mencapai beg kecil yang isinya entah apa, terus
saya sangkutkan ke bahu. Neneklah yang mengisikan barang-barang ke dalam beg
kecil itu.
Waktu saya
mahu memulakan langkah, nenek segera mendekati saya. Nenek paut bahu kiri saya
dari belakang. Datuk hanya melihat saja apa yang nenek lakukan terhadap saya.
“Jaga beg
itu baik-baik, Tamar,”
“Kenapa
nek?”
“Dalam beg
tu ada bekalan makanan untuk kamu dengan datuk, ada rendang ayam dan daging,
Cuma elakkan diri kamu berdua dari makan di sebarang tempat, kuih-kuih kering
juga ada aku bekalkan.”
“Oh, begitu,”
kata saya.
“Jangan
makan merata-rata Tamar,” nenek mengingatkan saya untuk kedua kalinya. Saya
segeran anggukkan kepala.
“Saya
kira, apa yang nenek turutkan itu sampai juga ke telinga datuk. Tetapi, dia
buat tak kisah saja dan berdiri tenang di ambang tangga. Kemudian datuk
merenung wajah nenek, penuh sayu, penuh
penghargaan.
“Kami
pergi, doakan kesejahteraan untuk kami,” kata datuk. Dengan lembut nenek
anggukkan kepala sambil sepasang anak matanya menyorot langkah datuk memijak
tangga menuju ke halaman rumah. Dan langkah kami untuk merantau pun bermula.
BERDIRI
Sebaik
saja dekat pohon rambutan, saya menoleh ke arah rumah untuk melihat nenek.
Apakah dia masih berdiri di pintu atau sudah beredar di situ.
“Kalau
sudah melangkah, pantang menoleh ke rumah,” datuk segera menegur perbuatan
saya.
“Maafkan
saya tuk.”
“Lain kali
ingat, kalau sudah bulat tekad untuk berjalan, jangan niat apa-apa, jangan
toleh kiri kanan, jangan renung depan belakang. Tumpukan hati pada perjalanan.
Biar selamat, terhindar dari malapetaka dan perbuatan jahat dari makhluk lain.”
“Begitu ke
tuk?”
“Iyalah,
sekarang kamu dah faham, apa sebabnya aku larang kamu menoleh ke rumah tu.”
“Iya, saya
faham tuk.”
“Bagus,
lekatkan di hati dan di kepala pesanan aku ini.”
“Iya tuk.”
“Bagus.”
Terlalu
cepat datuk melangkah melanggar rerumput danpepohon renek hingga hujung
seluarnya jadi lembab dan basah diresapi air embun. Agar tidak ketinggalan jauh
oleh datuk, saya terpaksa berlari dalam dingin pagi yang menyengat itu.
Datuk
tidak peduli, samada saya tersepak tunggul atau terjerlus dalam lubang. Dia
terus melangkah tanpa mahu mengambil tahu apa yang berlaku sekitarnya.
Pada hemat
saya, dalamperjalanan kali ini datuk memperlihatkan tanda-tanda ganjil dan luar
biasa. Sebelumnya, datuk tidak pernah bersikap demikian. Ciri-ciri yang
diperlihatkan oleh datuk secara tidak langsung menimbulkan tanda-tanya dalam
diri saya.
Kicau
burung mula kedengaran di reranting pohon. Cukup rancak dan bersahut-
sahutan. Sesekali terdengar kokok ayam
jantan yang terlewat berkokok. Kabus nipis mula bangun di celah-celah pepohon
kecil. Beruk dan monyet mula bergerak di dahan pokok dengan rasa malas untuk
mencari rezeki.
Dan
sepanjang perjalanan itu, saya dan datuk tidak berkata apa-apa pun. Mungkin
kerana mau sampai ke Teluk Senangin, datuk terpaksa menggunakan jalan pintas
membelah paya kecil yang penuh dengan pokok-pokok rumbia dan bemban. Betapa
seksanya terpaksa meranduk air paya yang dalamnya separas buku lali. Serangan
nyamuk dan pacat bagaikan tidak mahu bertimbang rasa.
Waktu
matahari mula memancarkan senyumannya di bibir langit, saya dan datuk sudahpun
ada di gigi pantai Teluk Senangin. Alun ombak yang lembut nampak sekata memburu
pantai, pancaran matahari yang mula mengembang terus menampar ke permukaan
ombak lalu memancarkan cahaya yang sungguh cantik dan indah, sementara warna
langit di hujung nampak merah keemasan. Saya jadi terpesona dengan keindahan
itu.
“Mana dia
orang yang tuk katakan tu, tak nampak pun dia datang. Hari dah beransur cerah,”
itu pertanyaan pembuka mulut dari saya untuk datuk. Saya lihat datuk menarik
nafas dalam-dalam sambil mengigit bibir. Matanya tajam merenung ke arah laut
lepas.
“Mana dia
tuk?”
“Kita
tunggu dia.”
“Sampai
dia datang tu. ”
“Iyalah,”
suara datuk meninggi. Saya tersentak dan tidak jadi untuk mengemukakan
pertanyaan selanjutnya.
Datuk
menguis-nguis pasir pantai dengan hujung capalnya. Dan saya terus memeluk tubuh
sambil menghadapkan wajah ke tengah laut. Kerana tidak sanggup menahan rasa dingin
akibat hembusan angin laut, saya segera bergerak ke arah selatan dan berhenti
dekat selonggok kulit nipah yang sudah kering.
Tidak jauh
dari longgokan sabut nipah itu terdampar batang buruk yang dihantar oleh ombak
ke pantai.
Bahagian
pangkal dan hujung batang buruk sudah reput tetapi, bahagian tengahnya masih
utuh. Dibahagian yang masih utuh itulah menjadi sasaran meletakkan punggong.
Bagi
menghilangkan rasa lenguh di sendi, sepasang kaki saya luruskan sambil mata
merenung ke beberapa ekor burung yang sedang berada di dahan yang menjulur
kearah saya. Beburung itu terus berkicau.
NIKMAT
Sedang
saya asyik menikmati kicau burung serta bunyi deru ombak. Tiba-tiba saya terasa
ada benda lembut jatuh betul-betul di bahagian ubun-ubun kepala.
Benda
lembut itu mengelongsor perlahan-lahan ke bahagian bahu. Buat beberapa saat
tidak ada pergerakan dari benda lembut tersebut, bila saya memusingkan leher ke
kanan dan ke kiri, benda lembut tersebut turut bergerak keras lalu membelit
batangleher saya.
Apakah
benda yang membelit leher saya ini. Barangkali ular sawa? Mana mungkin ada ular
sawa waktu pagi begini, timbul pertanyaan dalam hati saya. Puas saya menoleh ke
kiri dan ke kanan, tidak ada sesuatu yang saya nampak di bahu atau di badan
saya. Anehnya! Leher saya tetap dirasakan ada sesuatu yang menjerut.
Saya
semakin terasa sukar bernafas. Manakala kulit pipi saya terasa seperti dijilat
dengan lidah yang bercabang. Kulit pipi yang dijilat itu terasa amat gatal dan
pedih. Saya juga tercium bau hanyir.
Paling
mencemaskan, bila benda lembut dan lembik itu terus membelit seluruh badan.
No comments:
Post a Comment