BARANGKALI cara terbaik yang wajar saya lakukan ialah,
keluar dari ruang rumah yang melemaskan itu. Tinggallah Andi Kamarool yang
tidur mati. Tetapi cara itu bukanlah perbuatan yang terpuji. Hanya orang yang
mementingkan diri sendiri saja yang sanggup melakukan perkara tersebut. Adat
berkawan sudah senang sama- sama dilalui dan dirasai.
Persoalan itu, mungkin cara mendadak dalam kepala. Agak
sukar untuk membuat keputusan. Setelah difikirkan dengan semasak- masaknya,
saya memutuskan tidak akan meninggalkan Andi Kamarool sendirian. Biarpun apapun
yang akan berlaku, saya tetap bertahan di ruang tamu. Tidak akan lari ke
mana-mana, tetap bersama-sama Andi Kamarool.
Saya renung lelangit ruang tamu semuanya nampak macam
biasa. Saya toleh ke arah dupa, asap kemenyan tetap mengepul. Dengan hati- hati
tubuh Andi Kamarool saya goncang. Dia tidak juga membuka mata, malah makin lena
tidurnya. Saya dekatkan bibir ke telinganya.
"Andi bangun ," bisik saja.
"Hummm...," terdengar suara dengan mata
terpejam. Gegendang telinga saya menangkap, suara orang sedang bercakap dalam
bahasa yang sukar dimengertikan. Tidak dapat dipastikan dari arah mana suara
itu datang. Dan suara itu hilang begitu saja.
HATI
SUPAYA hati jadi tenang dan aman, saya pun membaca surah-
surah Quran mana yang teringat oleh saya ketika itu. Pada peringkat awalnya,
saya tidak dapat membaca dengan baik. Ada saja benda- benda pelik yang berlari
di lantai. Semuanya saya tentang dan semakin hebat saya membaca, makin hebat
pula kejadian- kejadian luar biasa yang saya alami.
"Ya Allah, beri aku kekuatan," pohon saya dalam
hati.
Andi Kamarool yang terbujur terus bangun, berjalan ke
setiap sudut ruang dengan mata tertutup. Bersilat dan menari. Semua yang
terjadi membuat saya lemas dan cemas. Lebih dari sepuluh minit Andi Kamarool
melakukan perkara tersebut. Ayat- ayat Al- Quran yang saya baca mula jadi
lintang pukang. Tidak tentu arah.
"Bummmmmm.......Ahhhh..."
Saya lihat Andi jatuh di lantai. Bergolek macam gasing
dan berhenti sebaik saja tubuhnya terkandas di tepi dinding. Aneh sungguh, dia
tidak juga terjaga atau membuka mata. Tidurnya bertambah lena dengan dengkur
yang memang. Saya mengigit bibir sambil merenung ke arah dupa yang baranya
sedang marak.
Secara mengejut, bara dalam dupa terus menyala. Apinya
menjulang mencecah langit rumah. Beberapa ekor cicak yang terkena bahang panas,
jatuh terkapar di lantai.
Belumpun sempat saya memadamkannya, api yang menjulang
segera mengecil dan akhirnya hilang. Tetapi, ketul-ketul bara dalam dupa terus
merah menyala serta mengeluarkan bunga api kecil, berterbangan berlegar-legar
dalam ruang. Macam ada kuasa tertentu yang meniup atau menghembusnya.
ASAP
SEMUA kejadian aneh yang tidak masuk akal itu, berlangsung
kira- kira setengah jam lebih. Mungkin kerana dimasuki asap kemenyan atau
memang sudah kepenatan menyebahkan mata saya berair.
Dua tiga kali saya menguap, badan terasa amat letih.
Akhirnya, saya rasa mengantuk sekali. Saya sedar, kalau saya terlena atau
tertidur dengan sendirinya saya tidak dapat membaca ayat- ayat Quran.
Akibatnya, mungkin saya berdepan atau mengalami perkara-
perkara yang lebih dahsyat lagi. Kerana itu. saya harus berjuang agar tidak
terlelap walaupun sesaat. Sepasang biji mata saya jengkilkan. tangan terus
mencampakkan butir- butir kemenyan ke perut dupa menambahkan lagi keadaan
pengap di dalam ruang oleh asap kemenyan. Saya renung ke arah Andi Kamarool.
dia tetap seperti tadi, tidur mati dengan dengkur yang keras.
"Andi.....," pekik saya dengan harapan Andi
akan terjaga. Harapan saya tidak berhasil. Andi Kamarool terus berdengkur.
"Huuuhhhhh......."
Ada suara dari arah belakang. Saya segera menoleh. tidak
ada apa yang saya lihat kecuali asap kemenyan. Sayup-sayup terdengar kokok ayam
bersahut-sahutan. Badan saya mula mengigil kesejukkan. Saya terus hempas pulas
menahan kelopak mata dari bercantum. Lima enam kali saya tersengguk- sengguk.
Dalam batas sempadan antara terjaga dan menjelang tidur,
saya ada rasa seekor binatang yang mendekati. Dalam keadaan yang samar itu.
saya dapat mengenali binatang yang mendekati saya itu ialah seekor naga (yang
selalu dimainkan oleh kaum Cina dimusim perayaan tahun baru mereka). Mata naga
memancar cahaya merah, biru dan warna kuning keemasan.
Kerana kehadirannya memperlihatkan sikap untuk bersahabat
membuat saya tidak takut dan cemas kepadanya. Tanpa berfikir panjang saya terus
berdiri di depannya. Kerana si naga menjunjung emas berlian dan intan permata
di sisi geliganya, kepingin saya memiliki barang-barang berharga itu.
"Boleh aku minta emas berlian milik kamu," kata
saya.
Dengan serta merta si naga mendengus kemarahan dan
menghembuskan nafas kepada saya. Badan saya melayang dan terus terdampar ke
dinding, seluruh kulit badan terasa panas bagaikan terbakar.
Memang tidak di duga, kata-kata yang dihamburkan beberapa
saat tadi boleh menyebabkan si naga naik darah dan terus mengamuk. Saya
ketakutan dan berlari ke setiap sudut ruang. Si naga terus memburu sambil
mulutnya mengeluarkan bebola api ke arah saya. Seluruh badan menjadi lemah.
tidak bermaya mahu melangkah. Dan akhirnya saya terjaga dengan dada yang
berdebar, tercunggap-cunggap cemas sekujur tubuh di basahi peluh.
"Kenapa Tamar? Muka kamu pucat badan kamu
berpeluh".
Pertanyaan Andi Kamarool tidak dapat saya jawab. Mukanya,
saya renung. Hidungnya kembang-kempis menyedut udara dalam ruang. Matanya mula
berair akibat dimasuki asap kemenyan. Seluruh sudut ruang jadi sasaran biji
mata Andi Kamarool.
'Kamu bakar kemenyan, Tamar?"
"Iya," saya mengangguk.
"Patutlah satu ruang tamu bau kemenyan, pening
kepala aku dibuatnya.
Kamu sengaja mencari penyakit Tamar",
"Aku tak sengaja Andi".
"Tak sengaja atau memang disengajakan untuk mencari
sesuatu," tokok Andi Kamarool dengan wajah serius. Saya terus membisu.
"Jangan fikir apa- apa lagi, pergi mandi. Subuh dan
masuk, kita sembahyang bersama. Sebelum masuk bilik air, buka semua jendela.
Biar bau asap kemenyan hilang," Andi Kamarool menambah.
Gesaannya saya patuhi. Bila daun tingkap terbuka, bau
kemenyan beransur kurang. Udara pagi, mula berlegar-legar dalam ruang. Kicau
burung mula kedegaran. Di kaki langit fajar mula bangkit. Dengan langkah yang
lemah saya menuju ke bilik air.
HIDANGAN
SETELAH selesai menunaikan fardu subuh, kami dapati
hidangan untuk sarapan sudah tersedia.
"Cuma ini saja yang ada, kuih jemput pelapik perut
dan kopi panas," Mia yang berdiri diambang pintu bersuara. Terkejut juga
saya, bagaimana Mia boleh masuk sedangkan pintu berkunci.
Tetapi, bila memikirkan rumah miliknya, pasti dia ada kunci
pendua.
"Bila keluar nanti, pintu jangan dikunci. Kalau
dikunci susah pula Kak Sun nak mencuci rumah. Ada bekal untuk kamu berdua di
situ," jari telunjuk Mia menunding ke arah sumpit mengkuang yang tersandar
di dinding.
"Apa bekalnya?" Tanya saya.
"Nasi lemak sambal tumis ikan bilis, sebaik-baiknya
, kamu berdua jangan makan di kedai, aku ucapkan selamat jalan".
"Mia....," suara Andi Kamarool terus mati. Dia
tergamam. Melihat Mia melangkah keluar. Wajah Andi Kamarool nampak sedih
sekali.
"Barangkali dia sedih, tidak sampai hati nak
bercakap dan melihat wajah kamu," saya menenangkan perasaannya.
"Barangkali ," keluh Andi Kamarool penuh
kelesuan.
Ketika kami berada di gigi jalan menanti kenderaan untuk
ke Sungai Penuh. Haji Simpul datang menemui kami. Setelah berjabat tangan. Haji
Simpul menghadiahkan senyum mesra untuk kami.
"Apa yang kamu buat malam tadi Tamar?"
Itu yang ditanyakan oleh Haji Simpul kepada saya. Sukar
untuk menjawabnya. Haji Simpul terus menentang anak mata saya Renungannya
membuat dada berdebar dan ada resah semacam.
"Berterus- terang saja dengan aku, Tamar," Hai
Simpul terus mendesak. bila melihat saya enggan membuka mulut.
Kerana tidak mahu menghampakan harapannya, saya ceritakan
apa yang telah saya alami malam tadi. Selesai saja saya bercerita Haji Simpul
dan Andi Kamarool gelengkan kepala. Dan dalam suasana dingin pagi, Haji Simpul
dan Andi Kamarool menyesali perbuatan saya. Menurut mereka, perbuatan tersebut
boleh mengundang kecelakaan pada diri.
Sesungguhnya, saya menyesali dengan apa yang saya
lakukan. Hati kecil saya berjanji tidak akan mahu mencuba atau berusaha menemui
hantu atau apa saja yang ada hubungan dengan makluk ghaib Saya tak sanggup
menerima atau menanggung risiko.
Ada pelbagai risiko yang menanti. Takdirnya, saya jatuh
gila terpaksa mencari orang yang lebih handal untuk mengubatinya. Andainya,
tidak ada orang yang mampu mengubatinya, meranalah saya sepanjang hidup. Saya
terus jadi gila sampai mati. Mengenangkan itu saya termenung panjang dan
bersyukur kerana saya tidak mengalami apa- apa.
MEMBISU
"LAIN kali, jangan buat perkara macam itu,"
tutur Haji Simpul sambil membetulkan hujung serbannya yang menutup hidung
akibat ditiup bayu pagi yang agak kencang. Saya terus membisu. Tidak wajar
untuk saya memberikan sebarang komen. Mungkin kerana kesejukan, Andi Kamarool
terus memeluk tubuh.
“Aku tahu, apa mulanya kamu memang tidak sengaja. Tetapi,
dari tidak sengaja. Tetapi. dari tidak sengaja itu mendorong kamu untuk mencuba
meminta sesuatu, betul tak cakap aku Tamar?" Haji Simpul merenung biji
mata saya. "Betul tuan haji".
"Kamu minta harta kerana kamu mahu kaya?" Saya
mengangguk. Senyum Haji Simpul kian lebar. Saya semakin sedar, apa yang saya
lakukan malam tadi, memang kerja yang sia-sia.
"Perbuatan yang membuang masa, nasib baik kamu tidak
ditimpa celaka," kali ini suaranya agak meninggi. Bunyi deru injin
kederaan yang melintas di depan membuat perasaan kami kurang aman. Nasib baik
tidak banyak kenderaan yang lalu lalang. Rasa dingin terus menguasai diri saya.
"Kamu mesti ingat Tamar, Allah telah menciptakan
manusia sebagai makhluk yang sempurna dan mulia. Kepada Allahlah manusia mohon
restu dan pertolongan, bukannya kepada makhluk atau roh yang tidak tentu asal
usulnya," bisik Haji Simpul ke telinga.
"Saya faham tuan haji".
“Kalau dah faham, jangan buat lagi".
"Saya berjanji," itu ikrar saya di depan Haji
Simpul dan Andi Kamarool turut mendengar ikrar tersebut.
TAHAN
TETAPI, berusaha melepaskan manusia dari jadi hamba jin,
hamba syaitan adalah kerja yang murni. Kerana itulah aku bersedia membantu kamu
berdua, tujuan kamu untuk menyelamatkan Mia dan Harison," Kali ini
sepasang biji mata Andi Kamarool tertumbuk ke paras Andi Kamarool.
Kami melihat sebuah lori kecil datang dari arah depan.
Haji Simpul segera ke tengah jalanraya lalu menahan lori kecil yang sarat
membawa sayur- sayuran. Dengan serta- merta lori itu berhenti.
"Ada apa halnya ayah cik ?"
Pemandu lori kecil menjulurkan kepala. Injin segera
dimatikan. Tiada jawapan dari Haji Simpul untuk pemandu lori kecil berkepala
merah. Haji Simpul segera menghampiri si pemandu. Mereka bercakap, bagaikan
orang berbisik. Saya kurang senang dengan cara yang dilakukan oleh Haji Simpul
macam ada sesuatu yang mahu disembunyikan daripada kami berdua.
Dengan langkah yang lemah. Haji Simpul menjarakkan diri
dari si pemandu dan lori. Dia segera mendekati kami.
"Drebar lori itu. anak saudara aku. Dia setuju bawa
kamu berdua ke Sungai Penuh," semacam ada nada bangga terlontar dari
kelopak bibir Haji Simpul. Dia segera mengambil beg pakaian kami lalu belakang
lori.
Tanpa mahu berfikir panjang, saya terus meluru ke
bahagian belakang lori. Andi Kamarool juga turut berbuat demikian. Kami
sama-sama memanjat lori dan segera duduk di celah bakul sayur, beberapa hari
kelopak kobis yang gugur segera jatuh atas riba saya. Bau dari bakul sayur yang
kurang menyenangkan itu membuat kami terbatuk. Andi Kamarool seperti merunggut,
mungkin dia merasa tidak selesa duduk berhimpit dengan bakul sayur.
"Tamar, Kamarool bukan di belakang, duduk di depan
dekat drebar," suara Haji Simpul meninggi. Kami segera turun dari belakang
lori dan melangkah lemah menuju ke bahagian depan. Sebaik saja kami sampai dekat
pintu lori, pemandunya melompat turun lalu menghulurkan tangan Kami sambut
salam perkenalan dan pcrsahabatan penuh mesra.
"Duduk di belakang tak selesa, nanti seluruh badan
bau sayur. Duduk di depan dekat saya," turut si pemandu dengan mesra.
Harga senyumannya murah sekali. Haji Simpul yang berdiri dalam jarak sepuluh
kaki dari kami tersenyum bangga.
"Ayahcik belum perkenalkan, siapa mereka kepada
saya," pemandu lori merenung tepat ke wajah Haji Simpul.
"Oh ya, aku terlupa".
Dengan serta merta Haji Simpul kerutkan kening . Kemudian
dia menerpa ke arah saya dan Andi Kamarool dan kami segera dipeluknya.
Ketawanya tidak putus.
"Ini, yang di sebelah kiri aku, namanya Tamar.
Disebelah kanan aku namanya Andi Kamarool," tutur Haji Simpul. Ketawa yang
terputus disambungnya kembali. Telapak tangannya terus menepuk- nepuk bahu
kami.
"Ada kaitan keluarga dengan kita?" Soal pemandu
lori.
"Ada".
"Dari sebelah mana? Barangkali dari sebelah isteri
ayahcik. agaknya," si pemandu kian ghairah bertanya.
"Dari aku tak ada. Dari sebelah bini aku pun tak
ada".
"Habis dari keluarga nama ayahcik?"
"Keluarga dan saudara sesama Islam," balas Haji
Simpul. Si pemandu anggukkan kepala.
"Mereka dari mana, ayahcik?"
"Tamar dari tanah semenanjung, Andi dari Kalimantan,
mereka ke mari kerana nak cari pengalaman baru di rumah batu dan ladang
misteri".
"Kalau begitu, mereka berdua memang hebat orangnya
ayahcik".
"Aku tak berani nak kata apa- apa, kamu tanyalah
mereka," ujar Haji Simpul. Si pemandu ketawa kecil. Saya dan Andi Kamarool
saling berpandangan.
Ungkapan-ungkapan yang terhambur dari bibir Haji Simpul
tidak saya senangi. Ada unsur menyindir dan mengejek. Sebenarnya, dia tidak
perlu menyebut yang kami, mahu cari pengalaman di rumah batu da di ladang Mia.
Saya kira kata-kata itu terlalu peribadi. Apakan daya, kami tidak mempunyai
kuasa untuk menutup mulutnya.
"Sekarang kamu berdua boleh pergi".
Haji Simpul segera menjatuhkan tangan sebelah kiri dan
kanan yang memeluk pinggang saya dan Andi Kamarool.
"Aku ucapkan Selamat Jalan," tambahnya lagi.
"Mari ikut, saya terlupa pula nak cakap, nama saya
Abu Zaharin, panggil saya Abu, sudahlah," si pemandu yang bertubuh kecil,
sulah dahinya luas tetapi, rambutnya tidak lebat. Agak jarang di bahagian
tengah kepala, menarik tangan kami ke tempat duduk. Saya dan Andi Kamarool
mengikut saja, macam kerbau dicucuk hidung.
Injin lori kecil segera dihidupkan.
"Kami pergi dulu, tuan haji," saya dan Andi
Kamarool bersuara serentak.
"Semoga Allah memberkati peralanan kamu bertiga,
jauh dari bahaya dan petaka," Haji Simpul menadah kedua belah tangannya
kelangit.
"Pergi dulu ayahcik".
Haji Simpul anggukkan kepala.
JAMU
Lori kecil, kepala merah pun bergerak perlahan-lahan.
Saya lihat Haji Simpul melambai-lambaikan tangannya ke arah kami. Makin lama
makin laju lori bergerak meninggalkan Haji Simpul dan kawasan ladang milik Mia.
Sudah dua puluh minit perjalanan, kami bertiga tidak
bercakap sepatah apapun. Masing-masing dengan hal sendiri. Abu Zaharin begitu
tenang memaut dan memulas setering kereta. Sesekali dia bersiul kecil membawa
lagu padang pasir. Mata saya terus dijamu dengan pepohon yang menghijau di kiri
kanan jalanraya.
Dan matahari pun mula memancarkan ke arah pepohon di kaki
dan puncak gunung. Bila sinarnya tertampar di permukaan air sungai yang
mengalir lembut akan memantulkan cahaya yang kilau-kemilau. Suasana begini,
membuat saya terasa segar, tidak jemu dan sekaligus merasa kagum dengan ciptaan
Allah Yang Maha Besar.
No comments:
Post a Comment