Suatu petang dalam tahun 1960, datuk yang sudah menjangkau usia 57 tahun, membersihkan senapang kampung berlaras satu di anjung rumahnya. Dengan tenang dia berkata pada saya “Kamu usah jadi pemburu.” “Kenapa tok?” Dia tidak menjawab. Datuk terus menimang-nimang senapangnya. Kemudian datuk ambil golok perak. Dia mengasah golok di batu dekat kepala tangga. Dan saya masih menanti jawapan dari datuk. “Aku tak mahu cucu-cucu aku jadi pemburu,” tiba-tiba datuk bersuara. Dia duduk di anjung rumah kembali. Mendengar cakapnya itu saya buat keputusan tidak akan mengajukan sebarang pertannyaan padanya. Datuk mudah naik darah, kalau selalu ditanya atau disoal. Dia juga tidak suka orang membangkang cakapnya, terutamanya dari anak-anak cucunya sendiri.
Datuk
memang handal memburu. Tidak ramai orang kampung Mandi Upeh macam datuk. Cukup
asyik dengan kegemaran memburunya, hampir seluruh hutan Jajahan Dinding
dijelajahnya. Orang-orang kampung menganggap datuk bukan pemburu sebarangan.
Pemburu yang ada isi, kalau tidak masakan dia berani masuk ke dalam hutan yang
tidak pernah didatangi oleh manusia. Datuk tidak menembak sebarangan pada
binatang-binatang buruannya. Dia akan memilih tepat dikening diantara kedua-dua
kening binatang itu. Dan setiap kali datuk masuk ke hutan dia akan memulakan
langkah kaki kiri dahulu. Kedua belah tumitnya tidak memijak bumi, kecuali
sesudah lima tapak melangkah. Lepas itu datuk berhenti dia membaca sesuatu,
lalu mematah ranting kayu yang berada di bawah ketiak kanannya. Dilemparkannya
sebelah kiri.
Datuk
dapat senapang bukan kerana dia Home Guard atau A.P. Dia minta sendiri pada kerajaan
dengan alasan mahu menjaga tanahnya yang seluas lima belas ekar yang ditanam
dengan getah, durian dari serangan monyet dan babi hutan. Pemintaan datuk
dipenuhi oleh Inggeris, sesudah pegawai polis, tuan DO serta penghulu dan ketua
kampung memeriksa tanah datuk. Datuk beli senapang dari Taiping dalam tahun
1949. Sejak itulah datuk giat memburu dengan senapang. Sebelum itu datuk hanya
berburu dengan membuat jerat dan sebagainya. Banyak perkara-perkara aneh yang
datuk lalui sepanjang kariernya. Dan saya antara cucu yang selalu mendengar
cerita-cerita datuk itu, kerana saya selalu menolongnya mencangkul di kebun,
kadang-kadang menjadi temannya ke surau. Datuk terlalu sayangkan saya, kerana
saya adalah cucu lelakinya yang pertama dari anak sulungnya iaitu ibu saya.
Saya tahu apa kelemahan datuk dan kegemarannya. Dia pemurah dan suka mendengar
orang mengaji Quran, kebetulan pula saya cucunya yang agak terkenal membaca
al-Quran di kampung itu. Datuk tidak kedekut mengeluarkan wangnya untuk
memberikan pada orang mengaji tapi datuk tidak memberikannya sendiri melainkan
melalui saya.
Biasanya,
kalau datuk suruh beri sepuluh ringgit, saya hanya memberikan separuh saja,
yang separuh lagi masuk saku saya. Pernah datuk bercerita pada saya: Suatu
ketika datuk dan kawan-kawannya masuk hutan dekat dengan Gunung Tunggal di Kawasan Segari berhampiran
dengan Pantai
Remis. Kawasan itu tidak pernah dimasuki oleh manusia. Datuk dan
kawan-kawannya berjaya menembak beberapa ekor binatang. Kerana terlalu asyik
memburu, tanpa disedari datuk telah terpisah dengan seekor rusa besar. Datuk
mengikutnya dengan teliti. Datuk memintas rusa itu sebelah kiri dan mengambil
tempat di sebalik pokok besar. Datuk menghala muncung senapang pada kepala
rusa. Dia yakin sasarannya akan tepat pada tempat yang diingininya. Tetapi rusa
itu bagaikan mengerti dan mempunyai pengalaman. Dia mempermainkan datuk, macam
mempermainkan kucing. Rusa merendahkan badannya kemudian menyelinap di depan
datuk dan terus hilang.
Datuk
terkejut dan bercampur hairan, tapi datuk bukanlah manusia yang mudah putus
asa. Dia mencari kesan jejak rusa itu. Diperhatikannya ke arah mana tapak rusa
itu lari. Dia mencium daun-daun kering yang terdapat di situ. Akhirnya, datuk
merapatkan telinganya dengan bumi. Dia mengeluh, ternyata kesan rusa itu sukar
diperolehinya. Waktu datuk berpusing-pusing di situ, seekor rusa lain muncul di
depan datuk. Rusa itu jauh lebih besar dan tegap dari rusa yang pertama tadi.
Matanya berkilau-kilau bagaikan menentang mata datuk yang terbeliak kerana
terkejut. Datuk tidak melepaskan peluang dan terus melepaskan tembakan. Datuk
gembira, tembakannya tepat mengenai kening rusa itu. Dia mencabut golok perak
di tangan untuk menyembelih rusa. Golok ditayangkan di depan matanya. Datuk
membaca sesuatu dan menghentakkan ulu golok ke tanah.
Bila datuk
memulakan langkah. Rusa itu segera bangun. Di depan mata datuk sekarang wujud
dua ekor rusa. Serentak dengan itu dada datuk berdebar. Dia mula terasa ada
sesuatu yang kurang baik akan terjadi. Datuk terdengar kokok ayam hutan. Datuk
melepaskan tembakan. Kena pada salah seekor rusa itu di kening. Rusa itu rebah
dan bangun kembali menjadi tiga ekor. Datuk yakin ada sesuatu kejadian yang
lain di sebalik semuanya itu. Tapi, datuk bukannya manusia lemah semangat,
kalau tidak masakan dia berani meninggalkan kampung halamannya di Aceh,
berperahu ke Pengkalan
Bharu dan bermukim di kawasan Bruas. Datuk terus menembak
bertalu-talu. Rusa terus menjadi tiga,empat,lima,enam dan tujuh. Kokok ayam
hutan bertambah nyaring.
Daun-daun
hutang di keliling datuk bergerak-gerak bagaikan digoncang orang. Tanah yang
dipijaknya jadi bersih tanpa sehelai daun. Datuk menumbuk tanah dengan tangan
kiri. Dirasa daging pangkal lehernya bergerak-gerak. Datuk senyum. Dia tahu
perkara ini mesti dihadapi dengan cara lain. Dia teringat pesanan arwah
neneknya dari tanah seberang, kalau berburu binatang dan terasa daging pangkal leher
bergerak, alamatnya yang diburu bukan binatang lagi, tapi boleh jadi penunggu
hutan atau syaitan dan orang bunian. Datuk letakkan senapang atas tanah. Dia
duduk bertafakur mengumpulkan tenaga batin sambil membaca mentera yang
diamalkannya. Melalui pancaindera batin datuk, datuk dapat melihat dengan
jelas, bahawa rusa itu adalah jin penunggu hutan itu.
Muka datuk
jadi merah padam, merecik peluh, gigi dilagakannya rapat-rapat. Mata datuk
tidak berkelip. Dia melihat di depannya, terdiri lembaga berbadan besar,
matanya merah menyala, rambut panjang sampai ke tumit. Giginya besar, dua
giginya di sebelah kiri dan kanan terjulur keluar, macam gading gajah. Dia
diapit oleh enam jin yang sama hebat dengannya.
“Kurang
ajar, manusia laknat,” suara itu bergema, daun-daun hutan bergerak macam ditiup
angin.
Datuk diam
bertafakur.
“Kau tahu
kesalahan kau manusia ?” Tambah suara itu . Belakang datuk terus dibasahi
peluh. Datuk diam, dia sudah pun menutup lubang-lubang kelemahan tubuhnya
dengan ilmu batin yang dipusakainya dari arwah neneknya, hingga jin itu tidak
berpeluang menyatukan dirinya ke dalam tubuh datuk.
“Tidak,”
jawab datuk dengan berani.
“Kau masuk
ke dalam kawasan larangan ku.”
“Aku sudah
meminta kebenaran.”
“Aku tidak
membenarkan.” Jawab jin itu dengan keras. Dua batang giginya yang terjulur
bergerak-gerak.
“Kalau kau
tidak membenarkanya, kenapa kau tidak memberi isyarat, masa aku masuk tadi.”
Cukup tenang datuk menjawab. Dia sudah bersedia menghadapi
Semuanya.
“Kau
manusia biadap”, pekik jin itu, pepohon hutan nampak bergerak-gerak. Keyakinan datuk setiap makhluk di muka bumi
adalah milik Allah. Satu pertarungan batin pun bermula..
Terbaik saya peminat SBDJ dulu2 dalam majalah variasari
ReplyDeleteSalam alhamdulillah. Terima kasih atas perkongsian cerita SBDJ ni.. Mau ulang baca.
ReplyDelete