Si dreber tumpukan perhatian
kepada tugas. Kereta terus meluncur laju membelah jalanraya. Macam tadi juga,
datuk dan Syed Hamid Al-Hadad masih rancak berbual.
Bila diamat-amati topik perbualan mereka
lebih banyak menekankan pada akidah, tarikat. Disamping itu, mereka juga
mencuit persoalan penyelewengan dalam akidah yang secara tidak disedari atau
disengajakan oleh orang-orang yang dalam dan tinggi pengetahuan agamanya.
“Zeeeekkkkk..........”
Empat tayar kereta terhenti berputar secara
mengejut. Semua yang ada kereta terangkat punggung dan tersengguk ke depan.
Kaki dreber melekat ke pedal berek. Kedudukan badan kereta berubah 45 darjah ke
bahu jalan.
“Maafkan saya Pak.”
Dreber menoleh ke belakang. Renung muka Syed
Hamid Al-Hadad dan datuk. Kedua-duanya kelihatan terpinga-pinga sambil
membetulkan duduk yang sudah berubah.
“Gajah melintas Pak, saya terpaksa berek.”
“Tak apa. Syukur pada Allah kita semua
selamat,” ucap Syed Al-Hadad.
Empat ekor gajah berdiri di depan kereta.
Salah seekor dari gajah itu, paling besar
dengan sepasang gading yang tajam. Panjangnya dianggarkan lebih dari tiga kaki.
Sambil bertempik gajah tersebut menjatuhkan belalainya atas bonet kereta. Semua
yang ada dalam kereta kecut perut.
“Tenang, jangan bising dan jangan bunyikan
hon kereta,” ujar datuk perlahan.
Arahannya segera dipatuhi. Kami saling
berpandangan penuh dengan kebimbangan. Dari atas bonet depan belalai gajah yang
lembut bergerak ke atas bumbung kereta. Bila kaki depannya digeselkan kebadan
kereta, seluruh kereta bergegar. Kami bergerak ke kiri dan ke kanan mengikuti
gerak kereta yang digesel kaki gajah.
Lebih dari lima belas minit kami mematikan
diri. Entah kenapa tidak ada sebuah kereta yang melintas ketka itu.
Mungkin para pemandu yang selalu menggunakan
jalan raya tersebut sudah tahu, ketika kami melalui jalan tersebut, adalah
ketika dan saat binatang liar melintasi jalan. Beralih tempat mencari rezeki di
seberang jalan. Mungkin apa yang berlaku itu adalah secara kebetulan.
Dalam saat yang serba mencemaskan itu, gajah
besar terus bertempik, dengan sekuat-kuatnya. Gajah-gajah yang lain segera
mendekatinya lalu mengelilingi kenderaan kami. Tidak ada apa yang dapat dilihat
kecuali kaki gajah yang hitam menutup pandangan. Kami pasrah kepada Allah.
Perlahan-lahan saya gerakkan kepala. Menoleh
ke arah datuk dan pandangan kami bersambung. Sepasang bibir terasa
bergerak-gerak lemah. Tetapi tidak ada sepatah kata terlontar dari mulut.
Dan datuk yang mengerti gelodak batin segera
meletakkan telapak tangan kiri ke atas bahu.
“TenangTamar.”
“Tapi saya takut.”
“Mohon pertolongan dari Allah dengan
ayat-ayat Quran yang aku bekalkan kepada kamu,” lembut nada suara datuk. Penuh
diplomasi membangunkan sebuah keyakinan diri dalam kalbu.
Saya menggangguk dan renungan kembali pada
posisi asal. Merenung cermin kereta dan kumpulan gajah liar yang masih belum
berganjak. Dari celah-celah kaki gajah, gumpalan awan putih yang bergerak di
dada langit, masih boleh dilihat.
KABUL
Doa kami berempat yang sengsara dalam perut
kereta diperkenankan oleh Allah. Gajah besar terus bertempik, seolah-olah
mengeluarkan sebuah arahan.
Beberapa detik berikutnya kumpulan gajah itu,
seekor demi seekor bergerak ke arah yang ditunjukkan oleh belalai gajah besar.
Saya dan pemandu menarik nafas kelegaan.
Pandangan tidak lagi dihalang oleh kaki dan badan kumpulan gajah liar. Gajah
besar membawa anak buahnya memasuki hutan di kaki sebuah bukit. Barangkali di
situ kaya dengan pokok bayas yang lembut umbutnya di sampingnya pisang hutan
yang tumbuh merata-rata.
“Allah hu Akbar,” balas datuk.
Saya dan pemandu berbalas senyum. Wajah yang
sebentar tadi cemas semacam, segera bertukar menjadi ceria. Penuh semangat dan
keyakinan yang cukup tinggi. Si pemandu besedia meneruskan tugas yang
terganggu.
“Bagaimana perasaan kamu? Sudah aman?” Syed
Hamid Al-Hadad menatap wajah pemandunya yang berdahi luas.
“Sudah aman Pak.”
“Kalau begitu, teruskan perjalanan. Kalau
lambat nanti kita senja di perjalanan. Lagi pun kawasan ini bukan kawasan aman.
Banyak orang jahat.”
“Maksud tuan Syed?” secara spontan datuk
bertanya.
“Kenderaan yang lalu di sini selalu dirompak.
Kadang-kadang dibunuh dan mayat dibuang dalam hutan untuk makanan binatang
buas.”
“Oh, begitu,” ada keresahan dihati datuk.
Sambil menarik nafas, kiri kanan jalan
direnungnya. Apa yang dilihatnya ialah pokok besar yang berdiri kukuh. Entah
mengapa secara tiba-tiba saya terasa seram.
“Kenapa masih belum bergerak?”
Syed Hamid Al-Hadad mencuit bahu pemandunya.
“Saya kira bapak ada urusan lagi.”
“Urusan apa? Tak ada urusan. Ayuh, sekarang
jalan.”
“Baik pak”
Kereta kembalii bergerak. Mula-mula
perlahan-lahan kemudian beransur laju dan terus laju. Meninggalkan pepokok,
bukit bukau di belakang. Suasana di jalanan terasa agak lengang, kenderaan
tidak serancak tadi. Samada yang ke Medan atau sebaliknya. Langit masih cerah.
Awan juga bergerak lemah. Tetapi matahari kian condong ke barat.
Pemandu di sebelah tetap hati-hati dan teliti
mengemudi kenderaan yang dikendalikan. Matanya tajam merenung dada jalan,
sesekali dia menoleh ke arah kiri dan kanan jalan.
Macam ada sesuatu yang diawasinya. Dua tiga
buah kenderaan berat memotong, tidak memberikan peluang kepada kenderaan kami
untuk menyelit di tengah.
Secara berbisisk, pemandu memberitahu
kenderaan berat yang membawa barangan dari kota raya Medan, akan bergerak secara
konvoi, tidak bersendirian. Tujuan untuk keselamatan pemandu dan barang yang
dibawa. Penjahat jalanan tidak akan merompak kenderaan barang yang bergerak
secara berkumpulan.
Atas alasan keselamatan, pemandu kenderaan
berat tidak mahu terpisah antara satu sama lain dalam jarak yang jauh. Mereka
juga tidak mahu di antara jarak tersebut ada kenderaan lain menyelit.
Kerana kenderaan ang menyelit di
tengah-tengah itu belum pasti penumpang atau pemandunya orang baik-baik. Siapa
tahu, kalau penjahat jalanan menyamar jadi orang baik-baik untuk merompak.
“Di jalanraya ini, macam-macam boleh jadi.
Orang yang nampak baik, raut muka macam orang berpelajaran , belum tentu baik.
Orang yang nampak kasar dan muka macam mahu makan orang, belum tentu jahat.
Pendek kata para pemandu di sini diselubungi misteri. Jadi, saya harus
berhati-hati dan beringat. Salah perhitungan celaka badan,” bisik si pemandu,
antara jelas dengan tidak.
OTAK
Sikap si pemandu memberitahu secara berbisik
menimbulkan berbagai-bagai persoalan dalam otak. Kenapa dia tidak mahu
menerangkan secara terbuka. Kenapa mesti bisik-bisik? Mungkin dia berbuat
demikian kerana tidak mahu perkara tersebut sampai ke pengetahuan Syed Hamid
Al-Hadad dan datuk.
Bila perkara yang tidak menyenangkan itu
diketahui oleh kedua-dua orang tua yang duduk di belakang, macam-macam masalah
boleh timbul. Setidak tidaknya perasaan mereka tidak akan aman. Sentiasa diburu
keresahan dan rasa takut.
Dan hati kecil saya membuat kesimpulan,
bahawa pemandu di sebelah saya ini termasuk istilah pemandu misteri yang
disebut pada saya sebentar tadi.
“Uhhh........”
Sebuah keluhan tanpa sebab terhambur dari
mulut. Ada jelingan tajam dari pemandu untuk saya. Serentak dengan jelingan
itu, ada sekilas senyum pendek beralun di kelopak bibirnya. Barangkali senyum
sindiran.
Dan boleh juga jadi senyum simpati.
Macam-macam andaian timbul akibat senyum. Tidak salah, kalau saya
mengkategorikan pemandu di kanan saya termasuk dalam golongan pemandu seribu
kemungkinan.
Sesungguhnya, bermula dari bisikan, telatah
dan senyum tang dipamirkan oleh si pemandu, menghimpunkan sejuta keresahan,
ketakutan dan kecemasan yang memanjang dalam rongga dada. Tetapi, mujurlah apa
yang memuak di rongga dada dapat dikawal dan ditenteramkan. Terutama bila
melihat si pemandu memaut stering kereta seerat mungkin. Kereta terus meluncur
laju.
Sinar matahari petang kian redup. Bila
kenderaan melalui jalan yang di kiri kanannya ditumbuhi pepohon besar dan
berdaun lebat, terasa agak gelap. Suasana begini tidak menganggu datuk dan Syed
Hamid Al-Hadad yang duduk tersandar di kusyen belakang dan berborak.
Sesekali terdengar suara mereka bercakap,
Biasanya, percakapan itu tidak berlangsung lama, hanya untuk beberapa minit
saja. Kemudian masing-masing membisu. Bercakap lagi untuk beberapa minit.
Membisu lagi, begitulah silih berganti.
Dan tekanan nada suara bila bercakap cukup
rendah sekali. Sukar untuk dikesan tentang perkara yang mereka perkatakan.
Sebuah lori datang meluru dari arah belakang
sambil membunyikan hon dengan kuat, minta laluan. Sungguh tidak sopan pemandu
lori itu. Sambil memotong dia terus menhimpit lorinya ke arah kereta yang kami
naik. Pemandu sebelah saya jadi kelam kabut dan terus menekan berek serta
memandu kereta ke tepi jalan.
“Sial.....’
Itu yang terkeluar dari mulut pemandu.
Mukanya merah menahan kemarahan. Lori yang memotong lesap dari pandangan. Syed
Hamid Al-Hadad dan datuk tidak memberi sebarang komen.
“Sial, dia memang manusia syaitan laknat,”
terhambur lagi ungkapan dari rahang mulut pemandu. Api kemarahannya masih belum
menurun.
“Jangan maki hamun orang macam itu. Itu bukan
amalan orang yang berhati mulia,” Datuk cuba memberikan ketenangan.
“Habis macam mana saya tak marah. Dia
menghimpit kereta kita. Dia mahu membunuh kita semua. Dia ingat dia seorang
saja mahu hidup,” ledakan kemarahan terus diluahkan oleh si pemandu.
‘Kita mengalah saja, beri laluan kepadanya.”
Syed Hamid Al-Hadad memberikan sebuah pandangan.
Si pemandu yang dadanya masih bersarang
dengan api kemarahan terdiam. Dua tiga kali dia menelan air liur sambil menggosok
pangkal hidungnya berkali-kali.
“Maafkan saya, memang saya tak boleh tahan
dengan perangai biadabnya,” si pemandu renung muka Syed Hamid Al-Hadad dan
batuk berkali-kali.
“Lupakan .”
Serentak datuk dan Syed Hamid Al-Hadad
bersuara. Si pemandu yang api kemarahannya beransur reda mengangguk. Dan enjin
kereta yang mati dihidupkan kembali.
TENANG
Dengan tenang setering kereta dipulas ke
kanan. Empat tayar kereta yang terbabas ke dalam rumput di gigi jalan berjaya
dinaikkan ke atas dada jalanraya.
Seterusnya kereta kembali bergerak lancar.
Tetapi, rasa kemarahan masih belum padam seratuds peratus dari dalam hati
pemandu di sebelah saya.
Buktinya, dapat dikesan dari mulutnya yang
kumat-kamit. Saya kira dia masih memaki hamun, menyumpah seranah pemandu lori
kecil yang tidak senonoh. Cuaca petang, kian redup. Matahari makin condong
kebarat. Pada hemat saya, tidak sampai dua jam lagi, matahari akan terbenam di
kaki langit. Perjalanan seterusnya di rasa cukup selesa.
“Pengalaman kereta dihimpit dan dilanggar
orang dari belakang, atau terbalik dalam gaung, memang sudah saya rasakan.
Tetapi, pengalaman....” Syed Hamid Al-Hadad yang memulakan percakapan dengan
datuk, tidak meneruskannya.
“Kenapa berheni,” datuk mendesak.
”Saya rasa kurang sopan, kalau saya
meneruskan.”
“Demi persahabatan ini, anda harus
meneruskan.”
Sepasang anak mata hitam datuk tertampar
kewajah Syed Hamid Al-Hadad mengangguk tanda setuju.
“Ini pengalaman pertama saya berdepan dengan
gangguan gajah liar di jalanraya. Semangat saya terasa melayang. Sebelum ini,
awak pernah mengalaminya?, “ jujur sekali Syed Hamid Al-Hadad memnyampaikan apa
yang ada di dalam hatinya.
Datuk tidak memberikan tindak balas yang
positif terhadap pertanyaan yang diajukan.
Memang ada rasa sedikit kehampaan di hati
Syed Hamid Al-Hadad. Dia tidak berputus asa dan terus mengajukan pertanyaan
yang sama.
“Pernah,:” balas datuk pendek.
“Mencemaskan?”
“Kali pertama memang mencemaskan. Bila masuk
kali kedua dan ketiga, kurang sikit rasa takutnya.”
“Bagaimana kalau perkara macam ini berlaku
masa depan.”
“Saya berharap dan berdoa kepada Allah,
janganlah perkara itu berlaku lagi,” tegas datuk.
“Saya pun harap begitu,” kata Syed Hamid Al-
Hadad. Kedua-duanya ketawa kecil penuh dengan kemesraan dan kekeluargaan.
Saya dan pemandu yang mendengar dialog antara
Syed Hamid Al-Hadad dengan datuk turut tersenyum.
Memang melucukan . Sepatutnya mereka bercakap
atau berbual hal-hal yang lebih besar dari itu. Agaknya perkara itu sengaja
dilakukan sebagai sebuah pelarian untuk menhilangkan rasa bosan atau takut
tentang sesuatu yang bakal berlaku. Dan cara kebetulan pula, kotaraya Medan
masih jauh lagi.
“Ada motor mengekori kita dari belakang,”
kata pemandu sambil merenung cermin kecil di depannya. Saya anggukkan kepala
dan menganggap kehadiran sebuah motosikal yang dinaiki dua insan memakai jaket
hitam adalah perkara biasa.
Makin lama, motosikal itu makin dekat dengan
kereta yang kami naiki. Malah jaraknya tidak sampai 50 meter. Tidak dapat
dipastikan darimana motosikal yang ditunggang oleh dua insan itu mengekori
kereta kami. Saya yakin, motosikal itu muncul setelah kenderaan kami melepasi
selekoh tajam.
Kehadiran motosikal dengan dua insan berjaket
hitam itu turut disedari oleh Syed Hamid Al-Hadad dan datuk. Kedua-dua orang
tua tersebut bagaikan tidak kisah. Meskipun sekali sekala Syed Hamid Al-Hadad
menoleh ke belakang.
KEJUT
“Tamar,” mengejut saja pemandu bersuara.
“Kenapa?.”
“Motosikal misteri dan orangnya dah hilang.”
“Kau jangan bergurau.”
“Aku tak bergurau, kau tengok ikut cermin
tepi.”
Syur pemandu segera saya patuhi. Memang, dia
tidak bergurau.
Motosikal yang ditunggangi oleh dua insan
berjaket hitam hilang entah kemana. Dan ini mengukuhkan lagi andaian saya
bahawa mereka tidak mengekori kenderaan yang kami naiki.
“Kemana mereka menghilang,” pemandu bertanya.
“Pulang ke rumah, hari dah nak malam,” jawap
saya bergurau, pemandu tersenyum. Minyak kereta terus ditekan, walaupun ketika
itu, kereta sedangmenuruni kawasan berbukit.
“Kurangkan laju, kamu memandu menuruni bukit
dan di depan ada dua selekoh merbahaya,’ tegur Syed Hamid Al-Hadad.
Dengan serta merta jarum meter menurun dari
120km sejam kepada 70km sejam. Saya menegakkan ibu jari kanan. Pemandu yang
mengerti dengan maksud saya tersenyum.
“Kau nakal,” katanya sambil menolak tangan
saya, Dalam kesuraman sinar matahari petang, sayup-sayup terlihat orang berdiri
di tepi jalan sambil mengangkat tangan menahan kenderaan yang lalu. Makin lama,
makin jelas bentuk tubuh orang yang berdiri itu. Seorang lelaki separuh baya
memakai kemeja lengan panjang berjalur hitam putih. Seluarnya berwarna kelabu
taik anjing.
“Berhenti dan bantu dia.” Arahan dari Syed
Hamo\id Al-Hadad kepada pemandunya.
Entah kenapa hati saya berdebar. Datuk tidak
memberi sebarang komen. Air mukanya membayangkan rasa bimbang.
“Kita tak kenal dia,” kata pemandu.
“Itu bukan soal, dia manusia memerlukan
bantuan. Bantu dia.” Syed Hamid Al-Hadad terus berkeras. Pemandu anggukkan
kepala. Patuh pada perrintah majikan. Kira-kira dalam jarak tiga tiang telepon,
mahu sampai ke tempat orang yang berdiri di tepi jalan, si pemandu
memperlahankan kereta yang dipandunya.
“Hati-hati,” terdesak suara datuk dalam nada
resah
“Terima kasih atas ingatan saudara, saya
yakin dia orang yang memerlukan bantuan. Boleh jadi orang susah,” balas Syed
Hamid Al-Hadad. Saya mengigit bibir sementara pemandu menarik nafas
dalam-dalam. Tidak tahu apa yang difikirkannya.
Menyedari kereta yang kami naiki, semakin
lama semakin perlahan dan menghampirinya. Orang yang di tepi jalan kian kerap
menurun naikkan tangannya. Malah, dia bergerak ke tangah jalan sambil
menghalakan wajah dan dadanya ke arah kereta. Tidak takut dengan kemalangan
yangmenanti seandainya si pemandu bertukar fikiran dari menekan berek kepada
pedal minyak.
Orang ini ada muslihat tertentu, fikir saya
dalam hati, Barangkali pemandu juga berfikiran demikian. Itulah sebabnya, dia
agak keberatan mematuhi arahan Syed Hamid Al- Hadad tadi. Datuk juga tidak
berkecuali, buktinya dia turut mengingatkan pemilik kereta supaya berhati-hati.
Sebaik saja kereta berhenti dan enjin
dimatikan. Tergesa-gesa Syed Hamid Al-Hadad memuka pintu kereta dan terus
keluar.
Lelaki yang berdiri di tengah jalan segera
menerpa ke arahnya menghulurkan tangan untuk bersalaman. Di saat kedua-dua
telapak tangan untuk bersalaman, lelaki itu berpusing lalu menyambar
pergelangan Syed Hamid Al-Hadad.
Dengan sekelip mata, tangan Syed Hamid
Al-Hadad dikilasnya ke belakang. Serentak dengan itu satu tendangan padu
dilepaskan kerusuk Syed Hamid Al-Hadad. Lelaki berdarah Arab Melayu itu jatuh
tersungkur di bumi dan mengerang kesakitan.
Saya dan pemandu tergamam. Tidak tahu apa
yang harus dlakukan. Datuk juga demikian. Dia seperti tidak percaya dengan apa
yang berlaku di depan matanya.
No comments:
Post a Comment