Dan dalam sekelip mata juga, rangka tersebut
kembali kepada keadaan asal. Kemudian bertukar semula menjadi rangka. Bertukar
balik menjadi tubuh manusia. Begitulah seterusnya, sering bertukar ganti rupa
dan bentuk.
Semasa proses penukaran itu suasana dalam
ruang bilik diterangi dengan kilauan cahaya merah dan hijau, gerakan cahaya itu tidak ubah macam pancaran kilat.
Bila terpancar warna hijau, tubuh wanita
hodoh menjadi rangka, tengkorak kepalanya putih berkilat, lubang mata dan
hidungnya terpelahang. Bila bergerak seluruh sendinya berbunyi macam bunyi
tayar lori melanggar batu kerikil dijalan baru.
Bila pancaran hijau bertukar merah, rangka
wanita bertukar menjadi tubuh manusia yang cukup sempurna. Pancaran warna yang
sering bertukar menyebabkan pandangan menjadi silau. Mata menjadi pedih dan
perit.
Seiring dengan pancaran warna itu, terdengar
suara lelaki mengerang, merintih menahan rasa sakit yang amat sangat serta
diselang seli dengan suara perempuan ketawa dan mengilai panjang.
Apa yang terdaya kami lakukan adalah pasrah
pada keadaan. Bersedia menghadapi apa saja yang datang. Jauh di sudut hati,
masih berbunga harapan yang datuk tidak akan berdiam diri, jika terjadi sesuatu
yang tidak diingini.
Ali Usman kelihatan tidak tenang sekali.
Wanita hodoh terus mengusap-usap kepala bayi yang dipangkunya, Suara lelaki
merintih dan perempuan mengilai terus bergema.
“Kita hadapi apa saja yang terjadi,” dalam
keadaan yang tidak menentu itu, datuk masih sempat melafazkan pesanan.
“Saya faham dan bersedia,” balas Ali Usman.
Dan saya hanya angguk kepala.
Tiba-tiba secara mengejut, pancaran cahaya
hijau merah berhenti. Sekujur tubuh wanita berwajah hodoh kembali dalam bentuk
asal, tidak lagi bertukar menjadi rangka. Suara lelaki merintih dan perempuan
mengilai turut lesap. Keadaan kembali tenang.
“Kenapa senyap dan sunyi,” bergema persoalan
dalam kalbu, bila berdepan dengan situasi yang saya kira cukup ganjil sekali.
Rasa sepi menguasai sekitar.
Ruang bilik yang tadi riuh rendah dengan
berbagai-bagai bunyi, bertukar rentak terasa sunyi dan kosong. Gegendang
telinga bagaikan hilang kuasa untuk menangkap sebarang kesan bunyi yang terjadi
dalam bilik. Rasa cemas dan takut bersarang di dada.
Kami saling berpandangan dan mengharapkan
salah seorang daripada kami dapat memberikan idea utuk memecahkan kebuntuan
yang sedang dialami. Wanita berwajah hodoh tahu masalah yang sedang kami
hadapi, Dia tersenyum dan akhirnya ketawa. Dia melafazkan sesuatu ke arah kami.
Sayang, apa yang dituturkan tidak mampu
ditangkap oleh anak telinga kami. Wanita berwajah hodoh makin menjadi-jadi, dia
menari-nari sambil mengoyang-goyangkan punggungnya.
“Allah hu Akbar.”
Datuk bertempik sambil tangan kirinya memukul
lantai bilik. Serentak dengan itu gegendang telinga kami berfungsi kembali,
semuanya dapat didengar dengan jelas dan terang. Rasa sepi yang menguasai segera berakhir. Bunyi bising dan
hinggar binggar datang kembali.
SENYUM
Muka Ali Usman segera saya lihat. Ada senyum
berlari di kelopak bibir. Datuk juga saya renung, orang tua itu masih
membongkok, telapak tangannya kelihatan melekat di lantai seperti kena gam.
Datuk kerah seluruh tenaganya untuk
memisahkan telapak tangannya yang melekat. Urat leher dan di lengannya nampak
timbul.
“Dia mula memperdayakan aku ,” cetus datuk
dengan muka berkerut.
“Itu satu permulaan,” wanita berwajah hodoh
menyindir.
“Aku tahu, jangan fikir aku mahu menyerah
begitu saja,” keras nada suara datuk.
Benih-benih peluh mula meruap di dahi dan
pangkal leher. Tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyerah. Segala kekuatan
tenaga dan ilmu mula dimanfaatkan.
“Allah hu Akbar,”
Suara kemenangan menguasai seluruh ruang
bilik. Telapak tangan yang melekat di lantai terpisah. Datuk berdiri gagah dan
wanita berwajah hodoh tercengang, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Mengapa aku harus menjadi mangsa kamu,” satu
pertanyaan yang garang dari datuk.
“Tanpa kamu, semua angkara ini tidak
terjadi.”
“Aku sekadar menolong.”
“Pembohong, kamu mahu menjahanamkan apa yang
ada pada aku.”
“Biar aku jelaskan.”
“Diam.......” jerit wanita berwajah hodoh.
Datuk terdiam tetapi, sepasang bola matanya
tidak bergerak dari menatap seluruh
tubuh wanita tersebut. Datuk tahu, kalau renungannya dialihkan ke arah lain dia
akan menerima akibat buruk. Jeritan yang bergema sebentar tadi bertujuan untuk
mengalihkan perhatian datuk. Secara lojiknya, tidak ada sebab wanita tersebut
mesti menjerit kerana datuk bercakap dalam nada suara yang lembut, penuh
persahabatan.
“Kamu orang tua sial.”
Jari telunjuk wanita hodoh menuding ke arah
batang hidung datuk. Darah saya tersirap kerana datuk tidak bertindak balas.
Masih tenang, seolah-olah kata-kata itu tidak memberikan sebarang kesan pada
dirinya.
“Bummmmmmm.....”
Satu ledakan kecil terjadi di depan wanita
berwajah hodoh. Seluruh ruang bilik mula dikuasai bau hangit dan hapak. Kepulan
asap kecil dan nipis muncul di kiri kanan wanita tersebut.
Asap nipis sedikit demi sedikit bertukar
warna menjadi hitam tebal hingga tubuh wanita yang memangku bayi hilang dari
penglihatan kami.
“Kita keluar dari rumah neraka ni,” satu usul
dari Ali Usman.
“Ayuh,” sahut saya.
Tidak ada sebarang bantahan dari datuk.
Serentak kami memusingkan tubuh menghala ke pintu untuk keluar. Sebelum langkah
sulung dimulakan, terdengar bunyi deru angin yang cukup kuat. Badan terasa
bergegar, dan terangkat secara perlahan-lahan.
TERHEMPAS
Sebelum pun sempat kami mengatur strategi,
tubuh kami berpusing-pusing dalam ruang bilik yang hangit dan hapak. Akhirnya
terhempas ke dinding dengan kuat, seluruh sendi bagaikan mahu tercabut rasanya.
Sakitnya tidak boleh di ceritakan. Lebih dari lima minit kami terkapar di situ.
“Hei kamu semua, mahu ke mana?”
Wanita berwajah hodoh tercegat di depan kami.
Bayi yang dipangku berubah tempat. Kini berada di atas bahu dengan kedua belah
kakinya terjuntai ke dada hampir mencecah hujung puting payu dara. Kedua dua
belah tangan bayi memeluk dahi ibunya.
“Bagaimana? Masih macam tadi juga?”
Ternyata pertanyaan itu ditujukan kepada Ali
Usman yang baru saja menyandar tubuh ke dinding. Datuk terus memicit hujung
sikunya. Bunyi deru angin sudah mati, digantikan dengan bunyi bising yang tidak
menentu.
“Bagaimana, masih mahu berkeras?.”
Suara wanita berwajah hodoh bertambah
lantang. Mungkin dia marah kerana pertanyaan tidak dijawab oleh Ali Usman.
Bunyi bising hilang secara mengejut. Datuk sudah pun berdiri, saya masih
terkial-kial berusaha untuk duduk macam Ali Usman.
“Tak dapat nak buat keputusan,” ulang wanita
berwajah hodoh.
Ali Usman terus membisu.
“Kamu menolak peluang yang baik ini?.”
“Iya, aku menolak,” tingkah Ali Usman penuh
yakin.
“Kamu mengkhianati perjanjian yang dibuat
antara aku dan bapa saudara kamu.”
“Heii, aku tidak masuk campur dalam
perjanjian dengan syaitan, perkara itu memang aku tidak tahu. Macam mana, aku
kamu babitkan.”
“Kamu pengkhianat.”
Wanita berwajah hodoh tidak mampu mengawal
kemarahannya. Mukanya nampak merah. Dua tiga kali dia menghentakkan kaki
kirinya ke lantai bilik. Rumah terasa bergegar seketika.
Dalam keadaan yang begitu kritikal, Ali Usman
dapat berdiri lalu menghadapkan wajahnya ke muka wanita hodoh.
“Jangan tentang anak matanya Ali,” terpancut
kata dari kelopak bibir datuk, “ kekuatannya sekarang berkumpul di situ, dia
akan menggunakan segala kebolehannya menunduk kamu.”
“Hai orang tua, ini bukan urusan kamu,”
dengan segera wanita hodoh mengalihkan pandangannya ke arah datuk.
“Aku sekadar menolongnya, memenuhi
permintaannya,” balas datuk dalam nada suara yang lembut dan tenang.
HODOH
Saya lihat wanita hodoh menarik nafas
dalam-dalam. Bayi yang berada di tengkuk diturunkan lalu dipangku dan
dihayunkannya ke kiri dan ke kanan. Sepasang tangan dan kaki bayi
bergerak-gerak. Terdengar suara bayi merengek kegelian. Sebaik sahaja suara
rengekan itu berhenti, bayi dalam pangkuan segera didakap erat ke dada.
Kedua-dua belah pipi wanita hodoh nampak kembung, macam perut ikan buntal.
“Puuuhhhhh.....”
Saya melihat ke arah mulut wanita hodoh, baju
dan seluar datuk nampak bergerak, begitu juga rambutnya. Datuk terpaksa
membongkok melawan arus angin yang keluar dari mulut wanita hodoh, andainya
datuk berdiri tegak sudah tentu badannya bergerak dan terhumban ke dinding
seperti tadi. Sebelum kejadian pertama berulang untuk kali kedua, datuk sudah
pun mempersiapkan diri.
Wanita hodoh kelihatan panik, hembusan angin
dari mulut yang selama ini, mempunyai kekuatan ntuk menjatuhkan pokok dan
manusia, ternyata kali ini tidak berfungsi. Datuk masih bertahan dalam keadaan
yang cukup selesa. Wanita hodoh yang tak kenal erti putus asa terus berusaha.
Kali ini dia dibantu oleh bayi dalam pangkuannya. Tetapi, tidak mendatangkan
sebarang kesan pada datuk.
“Dia lelaki tua yang hebat.” Keluh wanita
hodoh.
Rasa kecewa dan hampa tergambar diwajahnya
kerana gagal menghempaskan tubuh datuk ke dinding melalui hembusan angin dari
mulut.
Bayi dalam pangkuan bersuara seperti katak
memanggil hujan Wanita hodoh tumpukan seluruh perhatian pada nada dan irama
bunyi suara tersebut. Dua tiga kali dia anggukkan kepala, menandakan faham dan
mengerti dengan erti bunyi tekanan nada suara si bayi dalam pangkuan.
“Itu satu arahan,” tutur datuk.
“Bukan urusan kamu,” balas wanita hodoh.
Datuk tersenyum sinis. Ali Usman mengigit
jari manis dan saya ingin mempastikan apakah kata-kata datuk itu tepat atau
sebaliknya.
Ramalan datuk menjadi kenyataan. Nada suara
si bayi yang menyerupai bunyi katak memanggil hujan adalah satu arahan.
Sebaik suara itu berhenti. Wanita hodoh
menundukkan kepalanya ke lantai, kemudian diangkat perlahan-lahan, hingga tegak
90 darjah, menentang anak mata hitam datuk.
Dengan pantas datuk membengkokkan kepala
lututnya yang sekali gus merendahkan tubuh hingga anak matanya berada di paras
dada wanita hodoh. Dalam erti kata lain, mata datuk tidak berlaga dengan anak
matanya.
Tindakan selanjutnya, wanita hodoh meluruskan
kedua-dua belah tangannya ke depan dan turut merendahkan tubuh seperti datuk
buat seketika.
Berdiri kembali dan kali ini bayi dalam
pangkuan menhulurkan sepasang tangannya ke arah wanita hodoh. Tanpa membuang
masa wanita hodoh mematahkan jari telunjuk kiri dan kanan bayi dengan tenang.
Setiap batang jari telunjuk yang dipatahkan itu dicabut, bayi dalam pangkuan
ketawa macam digelitik.
Kedua-dua jari telunjuk yang dicabut itu
diramas-ramas sehingga menjadi berkeping-keping. Kemudian diuli hingga bulat
sebesar buah guli kaca. Dan guli dari jari kelingking itu dibalingkan ke arah
datuk. Kerana datuk sentiasa bergerak dan pantas mengelak tidak ada satu pun
yang singgah di tubuh datuk.
Semuanya terhempas ke dinding bilik akhirnya
menghasilkan ledakan kecil-kecilan yang membingitkan anak telinga. Saya dan Ali
Usman menyaksikan semua kejadian aneh itu dengan penuh teliti di samping
berjaga-jaga. Bimbang kalau kami berdua akan menjadi mangsa emarahan wanita
hodoh.
“Huuuuhhhh,”
jerit wanita hodoh sambil menampar-nampar dada dan meramas-ramas kepala
bayi dalam dakapan. Dia bagaikan tahu, bahawa datuk bukanlah lawannya.
Dia perlu mengatur strategi lain hingga
kejayaan berada di pihaknya. Apa yang pasti si wanita hodoh memang tidak kenal
erti putus asa. Tidak kenal erti kekalahan. Apa yang dia tahu ialah kemenangan
harus berada di pihaknya.
JALAN
Satu-satunya jalan menuju kemenangan ialah
mempergunakan, kelemahan Ali Usman. Untuk kesekian kalinya anak matanya mencari
anak mata Ali Usman. Pesan datuk tidak dilupakan. Ali Usman segera berusaha
dengan sedaya yang boleh agar anak matanya tidak bertembung dengan anak mata
wanita hodoh.
Di saat Ali Usman dan wanita hodoh berlawan,
datuk mengambil peluang meluruskan tangan. Kemudian dengan tenang datuk berdiri
seperti biasa, mengeliat untuk menghlangkan lenguh-lenguh di sendi akibat
terlalu lama membongkok.
Di samping itu datuk membuka langkah
silat-silat yang agak ganjil. Dengan menggunakan kekuatan kedua-dua belah ibu
jari kakinya datuk mengatur langkah silat. Silat yang menggunakan ibu jari kaki
kiri dan kanan untuk mengawal pergerakan badan dan langkah silat, jarang
digunakan oleh datuk. Malah dia tidak pernah mengajar ilmu silat yang disebut
SILAT SABUI kepada saya.
Silat yang banyak menggunakan kekuatan ibu
jari kaki dan ibu jari tangan itu, lebih tertumpu pada kekuatan mental dan
gerak cepat bahagian lengan, betis kaki yang mengerakkan jari jemari kaki dan
tangan untuk mencakar bahagian dada, muka dan belakang lawan hingga terkoyak
dan sekali gus menarik dan tulang pihak lawan terkeluar dari bahagian tubuh.
Silat Sabui ini berlandaskan kerohanian yang
tidak lari dari hukum agama. Tetapi, kalau salah bawa boleh terpesong jauh dari
hukum-hukum agama malah boleh terkeluar dari akidah.
Itulah salah satu sebab datuk tidak mahu
menurunkan ilmu silat itu kepada anak muridnya kecuali hal-hal pengetahuan agama.
Tidak boleh diajarkan kepada sebarang orang.
Apa yang saya tahu cuma ada tiga orang sahaja
anak muridnya di Tanah Semenanjung, seorang di Benut- JOHOR dari suku Bugis,
seorang di kawasan Padang Terap-Kedah dari suku Acheh dan seorang lagi di
Kawasan Pulau Kerengge-Terengganu.
Anak murid di Benut lepasan Sekolah
Al-Junid-Singapura, seorang lagi AL-Mashoor, Pulau Pinang dan yang akhir tamat
pengajian dari Arab Saudi. Mereka adalah tokoh agama ulama tempatan dan tidak
ramai yang tahu tentang kebolehan ketiga-tiga insan tersebut.
Sebabnya, mereka ditegah memperlihatkan
kebolehan atau ketangkasan ilmu yang dimiliki pada khalayak ramai. Silat Sabui,
hanya boleh dimanfaatkan bila keadaan terdesak. Tetapi wajib digunakan demi
mempertahan agama dan maruah bangsa terutama bila diancam oleh puak bukan Islam
yang bertujuan mempersendakan agama Allah.
Andainya, anggota silat Sabui tidak
memanfaatkan ilmu yang ada untuk mempertahankan maruah dan kesucian agama
Islam, mereka dianggap dayus dan tidak keterlaluan boleh dicap sebagai
pengkhianat agama.
“Berhenti.”
Saya dan Ali Usman terkejut. Suara wanita
hodoh cukup kuat. Rupa-rupanya dia sedang menuangkan kemarahannya ke arah datuk
yang sedang menyusun tapak langkah silat sabui.
Matanya merah menyala, macam biji saga dan
dari kedua-dua belah bahunya keluar asap. Telinga kiri dan kanannya sekejap
mengembang, sekejap mengecut mengikut tarikan nafasnya.
“Kamu biadap, ambil ini.”
Wanita hodoh mencampakkan bayi dalam
pangkuannya yang sudah menjadi seketul bara ke arah datuk. Kerana sudah
menjangka apa yang akan berlaku, datuk sudah bersedia. Dengan meluruskan kedua
belah tangan dan mengembangkan telapak tangan dan jari jemari ke arah ketulan
bara besar yang menuju ke arahnya.
Tiba-tiba kelajuan ketulan bara terhenti di
tengah-tengah antara datuk dan wanita hodoh, berlegar-legar di situ sambil
mengeluarkan bunyi letupan kecil yang membentuk bunga api halus dan tajam.
Tiba-tiba wanita hodoh terjatuh di lantai dan ketulan bara yang berada di
awang-awangan kembali menjadi bayi lalu kembali ke pangkuan wanita hodoh.
“Hiss................” nyaring suara wanita
hodoh.
Dalam sekelip mata dia sudah berdiri, Semua
rambutnya menutup muka. Biji matanya tidak dapat dilihat kerana dilindungi
rambut yang hitam. Saya kira ini juga merupakan taktik.
Dengan berbuat demikian, kami bertiga
menyangka matanya di tutup rambut tidak dapat melihat kami, pada hal dari
celah-celah rambut hitam itu dia dapat melihat anak mata kami bertiga dengan
jelas.
JELAS
Dengan demikian dia dapat melakukan sesuatu atau melemahkan kami
melalui renungan matanya yang bertembung dengan mata kami.
Dan kali ini bayi dalam dakapan yang sejak
tadi diam, tiba-tiba menangis dengan semahu-mahunya. Ini juga merupakan satu
helah, bagi menarik perhatian saya, Ali Usman dan datuk. Bila kami terleka atau terlalai dia akan melakukan sesuatu
untuk membinasakan kami.
“Aaaaaa......”
Itu tanda isyarat dari datuk agar kami
berhati-hati dan berjaga-jaga. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan tipu helah
wanita hodoh itu. Kerana isyarat sudah diberikan, maka kami pun lebih bersedia.
Perhatian saya dan Ali Usman tertumpu ke arah
tubuh wanita hodoh yang menggerakkan tubuhya dari kiri ke kanan secara
perlahan-lahan. Bila bahagian dadanya berdepan dengan dada Ali Usman, gerakan
tubuhnya terus terhenti. Rambut hitam yang menutup muka sebelah kiri dikuaknya
lalu disangkutkan ke telinga. Dengan sebelah mata dia memandang ke arah Ali
Usman.
“Kau manusia pendusta, pengkhianat. Tidak
sebaik bapa saudara kamu. Kamu yang mungkir janji, tidak akan aku lepaskan
begitu saja,” satu amaran keras dari wanita hodoh untuk Ali Usman yang nampak
terkejut.
“Tapi..”
“Jangan bertapi lagi, kamu terimalah akibat
dari perbuatan kamu,” wanita hodoh memotong cakap Ali Usman dengan pantas
sekali.
Dan kali ini Ali Usman nampak cemas, entah
mengapa tiba-tiba badannya mengigil semacam, tidak boleh berdiri. Semua urat
urat sendinya bagakan terasa mahu bercerai.
No comments:
Post a Comment