Datuk dan Haji Salim
terus merenung ke tanah perkuburan yang dipenuhi dengan pokok-pokok kecil. Batu
nisan yang dibuat dari batu gunung tidak berapa jelas kelihatan, kecuali sebuah
kubur yang terletak di kawasan tanah yang agak tinggi. Batu nisannya kelihatan
menonjol. Bentuknya juga tidak sama dengan batu nisan yang lain.
Ukuran tingginya
separas pinggang. Batunya bulat macam batu sempadan letaknya agak condong ke
arah barat daya. Penuh dengan lumut yang menghijau.
“Mustahil, ada orang
sesat di sini. Tak ada sebab kenapa orang perempuan tua tu membawa anaknya ke
sini dan sesat. Dia cari apa di sini,” kata datuk pada Haji Salim yang macam
rusa masuk kampung. Renung sana, renung sini di kawasan perkuburan lama.
“Kita dipermainkan
orang sahabat,” tambah datuk lagi.
“Tak apa, mari kita
cari sambil membersihkan kubur lama, mana tahu anak perempuannya ada di sini,
mungkin tertidur kerana keletihan.”
“Kalau dah begitu
kata sahabat, kita menurut saja,” jawab datuk penuh rasa keyakinan.
Datuk dan Haji Salim
mula menebang pokok-pokok yang sebesar ibu jari kaki orang dewasa di tanah
kubur. Hari mula beransur gelap. Dalam jangkaan saya, sudah pukul enam setengah
lebih. Saya sudah tidak sanggup lagi menampar nyamuk di pipi dan paha. Jejari
terasa lenguh menggaru bekas gigitan nyamuk.
“Tuk.”
Datuk dan Haji Salim
berhenti menebas dan menebang. Mereka merenung ke arah saya.
“Kenapa Tamar?” tanya
Haji Salim.
“Saya nampak macam
ada orang dekat kubur yang hujung sana.”
“Mana kau tahu?” soal
datuk.
“Saya terdengar bunyi
suara orang batuk, pokok-pokok kecil di situ bergerak-gerak.” Jelas saya.
Datuk dan Haji Salim
berpandangan. Beberapa ekor tupai jantan berlompatan di dahan jejawi. Burung
gagak berlegar-legar di atas kepala sambil berbunyi.
Suara cengkerik dan
katak mula menyanyi kerana hari kian bertambah gelap. Angin yang bertiup lemah
membuat badan terasa seram sejuk.
“Kita ke situ
sahabat,” ajak datuk.
“Jum, barangkali
orang betul,” Haji Salim setuju dengan cadangan datuk. Kami pun bergerak ke
arah kubur yang terpisah dengan kubur yang lain itu.
Lebih kurang lima
belas kaki mahu sampai ke kubur tersebut, datuk dan Haji Salim berhenti
melangkah.
Memang ada manusia di
situ, memakai kain tudung putih tunduk menghadapi tanah kubur. Jejari tangannya
mencabut rerumput dan mematahkan anak-anak pokok kecil di situ.
“Assalamualaikum,”
kata datuk. Tidak ada jawapan yang diterima.
“Buat apa tu,” kata
Haji Salim.
“Bersihkan kubur,”
terdengar jawapan yang parau.
Angin bertiup
menggugurkan dedaun dan ranting mati. Suasana terasa seram, lebih-lebih lagi
bila terdengar monyet sayup-sayup bersama suara gagak dan burung kuang.
“Mengapa cuci kubur
dah dekat nak malam?” soal datuk lagi.
“Waktu lain tak ada
masa,” datuk menerima jawapan.
Masa datuk dan Haji
Salim bersoal-jawab dengan orang yang tidak dikenali itu, hati saya terus
berdebar-debar.
“Nak makan marilah,”
tiba-tiba orang yang tidak dikenali itu mempelawa.
Datuk dan Haji Salim
berpandangan. Ada keraguan yang menguasai hati datuk dan Haji Salim. Mana ada
orang Islam yang makan di kubur waktu senja begini, fikir saya.
Datuk dan Haji Salim
terus mendekati orang yang tidak dikenali itu. Saya memang tidak mahu terpisah
jauh dari mereka. Kalau mereka melangkah ke kiri, saya ke kiri. Kalau ke kanan,
saya ke kanan.
Dalam suasana yang
berunsur gelap di kawasan perkuburan lama itu. Kami melihat perempuan yang
bertudung lingkup, berkain batik jawa dan memakai baju kebaya, membongkok
badan, mulutnya bertemu dengan tanah kubur. Keadaannya tidak ubah macam kucing
sedang makan sesuatu.
“Kenapa duduk macam
itu,” tegur datuk.
Perempuan itu segera
bangun berdiri. Potongan badannya memang menarik. Macam badan Latifah Omar.
(masa itu bintang filem Latifah Omar memang terkenal). Mukanya masih ditutup
dengan kain selendang. Cuma bahagian matanya sahaja jelas kelihatan.
Alisnya hitam
berkilat dan tebal. Sinar matanya amat tajam memanah pada kami. Dalam saat-saat
begitu saya teringat Saadiah cucu Haji Salim yang saya gilai secara diam-diam.
“Awak ni siapa
sebenarnya?” tanya Haji Salim.
“Tak kenal, saya yang
jumpa awak tadi, saya jumpa budak ni,” perempuan itu tersenyum pada saya. Darah
saya mula berderau. Saya renung muka datuk berkali-kali.
“Yang jumpa saya tu
perempuan tua, awak muda,” sanggah saya.
“Memanglah tadi saya
tua, bila dah makan di kubur saya jadi muda,” balasnya.
Datuk singgung
pangkal belikat Haji Salim dengan siku. Haji Salim faham dengan alamat yang
datuk lakukan itu. Perempuan muda itu menjatuhkan kain yang menutup sebahagian
dari mukanya.
Bila kain itu jatuh
atas dada. Muka datuk dan Haji Salim berkerut, muka saya jadi pucat lesi. Wajah
perempuan itu amat menakutkan. Tidak ada daging pipi, tidak ada biji mata. Cuma
yang ada tulang-tulang dagu, pipi dan tempurung kepala.
Bila ia mengangkat
kain tudung untuk menutup wajah hodohnya kembali, saya lihat jejari tangannya
tidak berdaging. Tulang jejarinya keras, bergerak macam kaki ketam.
Aneh, bila wajahnya
ditutup, kening lebatnya kelihatan semacam ada. Perempuan itu meluruskan kedua
belah tangannya ke atas. Serentak dengan itu kami terdengar orang ketawa yang
datangnya dari arah pokok-pokok besar di situ.
Monyet-monyet liar
dan tupai berlompatan di dahan melarikan dirinya, seperti berada dalam suasana
ketakutan yang amat sangat. Gema ketawa itu memanjang dan berlanjutan, akhirnya
kedengaran sayup-sayup dan terus menghilang.
“Kita balik saja,
sahabat,” ulang datuk lagi. Haji Salim segera meraba jari-jari di tangan. Ia
renung kiri kanan, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dihadapinya.
“Kita lihat kubur
tempat perempuan tu duduk,” datuk memenuhi permintaan Haji Salim.
Tidak ada sesuatu
yang aneh di situ. Tanah kubur itu bersih, terdapat beberapa keping daun keladi
besar yang terlentang.
“Syaitan,” keluh
datuk.
Haji Salim anggukkan
kepala. Kami pun memulakan langkah untuk pulang. Bila berada di luar kawasan
kubur lama itu, keadaan hari tidaklah berada gelap sangat seperti yang dialami
ketika berada di kawasan kubur.
Bila kami mula
meredah hutan senduduk dan lalang, kami terdengar suara budak menangis. Datuk
dan Haji Salim buat tidak kisah dengan semuanya itu. Tetap meneruskan perjalanan
dengan tenang.
Sebenarnya selain
dari terdengar bunyi suara budak menangis, kami juga seringkali diganggu oleh
lintasan bayangan hitam yang membuat langkah kami mati.
“Jangan bimbang
sahabat, jalan terus,” datuk mengingatkan Haji Salim, setiap kali bayangan
hitam itu menjelma.
Haji Salim yang jujur
dan bersedia menolong orang, meluahkan rasa kesalnya kerana mendengar kata-kata
perempuan tua yang aneh itu.
Senja mula tiba. Kami
masih lagi berada dalam kawasan pokok senduduk dan lalang. Beberapa ular liar
yang melintas, melarikan diri bila terdengar bunyi tapak kaki kami. Akhirnya,
kami sampai di bibir jalan yang jadi penghubung antara rumah datuk dengan Haji
Salim.
Kami berhenti
sebentar di situ. Haji Salim mengeliat beberapa kali untuk menghilangkan rasa
lenguh yang menyerang pinggangnya. Datuk pula membelek-belek kaki seluarnya
yang koyak akibat tersangkut tunggul.
“Pelik sungguh, apa
yang kita alami,” kata Haji Salim.
“Ya, saya merasakan
begitu juga,” balas datuk yang usianya tidak jauh bezanya dengan Haji Salim.
Mereka terus termenung. Tanpa diduga datuk menepuk bahu Haji Salim.
“Awak ingat tak,
kira-kira sepuluh tahun yang lalu, keadaan yang sama seperti ini pernah
terjadi,” kata-kata datuk itu membuat Haji Salim terus duduk di tanah. Kedua
belah tangannya memicit kepala. Ia tersenyum.
“Ingat, kita
mendengar bunyi suara orang menjerit dan menyanyi serta bergendang dari kubur
lama waktu malam, tak ada pula orang perempuan macam hari ini,” Haji Salim mula
mengingati apa yang telah berlaku.
“Sahabat ingat
puncanya?” Soal datuk.
“Ingat. Ada persatuan
sejarah dari luar mengatakan kubur lama tu, kubur pahlawan Melayu. Mereka terus
melakukan tahlil di situ.”
“Kita dan sahabat
melarang mereka melakukan perkara itu, kerana kita belum tahu sama ada orang
yang mati itu beragama Islam, tapi mereka teruskan juga.”
“Akibatnya, penduduk
kampung ini tak aman tidur, setiap malam mendengar orang menjerit dan menyanyi.
Sejak kampung ini dibuka kubur tu memang dah ada,” Haji Salim berhenti
bercakap. Ia senyum ke arah datuk.
Datuk mengeliat. Haji
Salim segera bangun, merenung ke arah rumahnya dalam samar-samar senja yang
mula menguasai seluruh kawasan kampung.
Kerana Haji Salim
minta datuk singgah di rumahnya sebentar, untuk melihat keris yang baru selesai
dibuatnya. Datuk dan saya terpaksa pergi ke rumahnya dulu. Haji Salim segera
memegang bahu kanan datuk.
“Saya fikir, kubur
lama tu dikacau orang. Ada tanda-tanda kubur itu didatangi orang dalam waktu
yang tertentu. Hati saya kuat mengatakan begitu,” beritahu Haji Salim pada
datuk.
Saya lihat datuk
termenung sejenak. Dalam keadaan yang tenang itu, tanpa diduga beberapa helai
daun keladi besar terdampar atas bangsal. Tidak tahu siapa yang meletakkannya.
Hal itu tidak disedari oleh Haji Salim. Tetapi, mata datuk tajam itu dapat
melihatnya. Tanpa memberitahu Haji Salim, datuk terus mengambil daun keladi
itu. Dilipat dua lalu dimasukkan ke dalam saku seluarnya.
“Daun keladi, di mana
awak dapat?” soal Haji Salim.
“Atas pelantar
sahabat, saya minta sahabat jangan tanya lagi hal itu,” balas datuk. Haji Salim
anggukkan kepala.
Memang pada mulanya
tergambar rasa cemas pada diri Haji Salim. Tetapi bila datuk mengatakan daun
keladi yang datang cara tiba-tiba itu, tidak mendatangkan sebarang kesan, Haji
Salim mula rasa lega.
“Kubur lama itu
didatangi orang, tandanya daun keladi. Biasanya daun keladi digunakan untuk
menuntut ilmu yang salah atau menjalankan ajaran yang tak betul,” Haji Salim
terus menguatkan pendapatnya itu.
“Saya tahu, petua itu
sama dengan petua saya. Kita harus mencegah perbuatan ini,” balas datuk.
Di luar dugaan saya
sama sekali. Bila datuk dan Haji Salim membuat keputusan yang amat mengejut dan
menyeramkan. Mereka mahu pergi ke kawasan tanah perkuburan lama itu, waktu
tengah malam Jumaat minggu yang akan datang.
“Masanya sahabat,”
datuk minta kepastian.
“Pukul satu malam,
setuju.”
“Setuju, sebelum itu
kita harus berdoa dulu pada Allah.”
“Sama-sama kita
buat,” balas datuk.
Saya dan datuk terus
meninggalkan bangsal Haji Salim menuju ke rumah. Sampai di kaki tangga, hari
sudah gelap betul. Dan suara azan mula terdengar. Datuk terus mandi dan
mengambil air sembahyang. Saya juga melakukan seperti apa yang datuk lakukan.
Lepas sembahyang
Maghrib, datuk memanggil saya ke sisinya. Ia memeriksa kaki saya. Kata datuk,
kaki saya akan sembuh. Sebabnya masa berjalan siang tadi, saya tidak menghadapi
sebarang kesulitan. Ini bererti uratnya masih elok.
Isi yang mengecil
(kisit) itu akan berisi kembali. Apa yang perlu dilakukan, mematuhi petua yang
telah disebut oleh datuk pada nenek.
“Tamar.”
“Ya tuk.”
“Aku ada tugas besar
yang mencabar.”
“Apa dia tuk?”
“Pertama, menentang
musuh yang marahkan aku kerana menolong Sariyah. Kedua, berhadapan dengan
masalah yang aku hadapi bersama Haji Salim siang tadi.”
“Tuk perlukan
pertolongan saya?”
“Kau tak boleh
menolong. Apa yang aku mahu kau dampingi Haji Salim sepanjang minggu ini jangan
kacau aku. Aku mahu membuat persediaan.”
Saya menarik nafas
panjang. Perintah yang baru dikeluarkan oleh datuk mesti dipatuhi. Saya mula
renung muka datuk. Perlahan-lahan datuk menepuk bahu saya.
“Tamar, ikut Haji
Salim, galilah ilmu darinya. Kemudian kau ikut aku bersamanya ke tanah kubur.
Haji Salim tu baik orangnya, tinggi pengetahuan agamanya, kau harus belajar
darinya.”
“Baik tuk.”
Datuk senang hati
dengan pengakuan yang saya berikan padanya. Kemudian, datuk menyuruh nenek
masak nasi serta menyediakan hidangan yang sedap untuk saya dan dirinya. Saya
senyum melihat telatah datuk. Dalam ia serius itu, ada lucunya. Itulah datuk
saya yang aneh buat orang lain. Tetapi amat istimewa buat diri saya.
LEMBAP
Suasana pagi itu
terasa lembap sekali. Matahari terasa segan untuk menebarkan sinarnya ke bumi.
Semua lopak dan parit dipenuhi air, tanah bertukar menjadi becak. Hujung daun
terus menetaskan baki air hujan yang masih tinggal.
“Lebat hujan malam
tadi, dari Maghrib hingga Subuh,” cetus datuk sambil melihat air menitik
satu-satu dari hujung atap. Saya anggukkan kepala. Datuk terus menyandang
senapang kampung berlaras dua ke bahu.
“Aku mahu ke hutan
menembak ayam,” datuk melangkah ke ambang pintu.
Saya turut dari
belakang. Sampai di anak tangga terakhir, datuk mengenakan sepasang sepatu
getah warna kuning ke kakinya.
“Kau pergilah ke
rumah Haji Salim, tengok dia buat keris. Carilah pengetahuan darinya,” datuk
terus melangkah dalam suasana pagi yang lembap.
Saya masih duduk di
mata anak tangga terakhir. Ada sesuatu yang saya fikirkan.
Sudah lama benar
datuk ke hutan tanpa membawa senapang kampung berlaras dua. Ia merasa lebih
aman membawa golok atau parang panjang untuk melihat jerat yang dipasang. Cara
mendadak sahaja, kebiasaan yang diamalkannya ditinggalkan pada hari ini.
Saya tidak kuasa mahu
memikirkan tentang datuk. Ia lebih dewasa dan banyak pengalaman dari saya. Ia
tahu apa yang patut dibuatnya. Saya merenung ke hujung jalan. Bayang datuk
sudah tidak kelihatan lagi. Ia sudah membeluk ke kanan. Mengayuh basikal tuanya
di permukaan jalan raya.
Sebelum sampai
kawasan hutan yang mahu dimasuki, datuk terpaksa tunggang basikal sejauh dua
batu. Saya kira tubuhnya yang sihat itu akan dipecahi peluh-peluh halus. Datuk
tidak akan meredah hutan dengan basikal, ia akan meninggalkan basikalnya di
bawah pokok pauh di bibir jalan raya.
Cuaca pagi yang
lembap itu, membuat saya malas bergerak ke mana-mana. Rasanya dalam suasana
begitu, cukup seronok baring di katil sambil membaca.
Saya sedar, apa yang
saya impikan itu tidak akan terlaksana. Pantang bagi nenek, kalau melihat
cucunya membuang masa di atas katil. Kata nenek, orang lelaki yang selalu
baring di katil waktu pagi hingga tengah hari akan jadi malas. Pintu rezeki
ditutup oleh tuhan dan ia akan mati kelaparan.
Kata-kata nenek itu
cukup berkesan dalam diri saya. Sesungguhnya saya tidak mahu menjadi lelaki
pemalas. Apatah lagi mati kelaparan. Saya bangun dan terus masuk ke rumah.
Kenakan baju kemeja biru berlengan pendek ke tubuh. Sarungkan seluar panjang
putih, berkaki besar ke badan. Sikat rambut dengan rapi, kenakan minyak attar
ke badan.
“Mahu ke mana Tamar,”
nenek merenung tubuh saya dari atas ke bawah, dari bawah ke atas. Bijinya
matanya bagaikan berputar-putar.
“Ke rumah Haji Salim
nek.”
“Bergaya benar
nampaknya kau hari ni, Tamar.”
“Sekali-sekala nek.”
“Hum…,” keluh nenek
bersama senyum tawar pagi yang lembap.
Sejak akhir-akhir
ini, nenek mengikuti dengan teliti perubahan yang terjadi pada diri saya. Nenek
bagaikan tahu, bahawa cucu lelakinya sudah masuk alam remaja, tidak suka pakai
seluar pendek dengan rambut yang kusut-masai.
Nenek juga sedar,
bila saya bersikat di cermin, pasti memakan masa berjam-jam. Bukan apa-apa,
saya cuma meniru jambul P.Ramlee. Kadang-kadang mencontengkan arang di bibir,
meniru misai P.Ramlee, ada kalanya, memakai baju yang berkotak-kotak macam
P.Ramlee, dalam filem Sedarah.
Semuanya saya lakukan
waktu datuk tidak ada di rumah. Kalau datuk ada, ia selalu melarang perbuatan
saya itu. Datuk tidak suka saya meniru. Apa yang datuk mahu ialah, membuat
sesuatu mengikut kemahuan sendiri tanpa terpengaruh dengan orang lain.
“Tamar, Tamar,”
terdengar suara di halaman rumah.
“Suara siapa tu nek.”
“Kalau tak silap aku,
suara Haji Salim,” saya dan nenek menerpa ke muka pintu. Haji Salim tercegat di
kaki tangga.
“Ada apa haji?”
“Aku nak ajak Tamar
pergi ke Kampung Haji Ariff di Temoh.”
“Apa halnya?”
“Aku nak mengambil
biji benih durian dari sepupu aku.”
“Pergi dengan bas
atau teksi?”
“Dengan motosikal.”
“Boleh, apa salahnya.
Tak minta pun tak apa, asalkan Tamar keluar dengan haji. Dengan orang lain
terasa juga bimbang di hati.”
Saya gembira
mendengar kata-kata dari nenek. Saya terus masuk ke bilik. Sikat rambut dan
membentuk jambul P.Ramlee di kepala.
Ternyata, jambul ala
P.Ramlee yang saya usahakan itu habis runduk ditampar angin motor. Tidak saya
duga sama sekali, bahawa Haji Salim memang kaki pecut, bagaikan mahu pecah
bunyi enjin honda 50cc yang dipandunya dengan laju. Ekor serbannya
melayang-layang macam ekor wau yang berbentuk ikan bawal.
Dari kampung hingga
ke bandar Ipoh, cuaca sepanjang perjalanan redup sahaja. Bila masuk ke kawasan
pekan Kampar, matahari bersinar dengan teriknya. Pangkal ketiak dan paha saya
terasa bergetah.
TEMOH
Saya dan Haji Salim
sampai di pekan Temoh. Kami singgah di warung menjual kopi. Dua cawan kopi
diminta dari tuan punya warung. Satu untuk saya dan lagi satu untuk Haji Salim.
“Kita jalan-jalan
dulu tamar, lepas tu baru pergi ke Kampung Haji Ariff.”
“Saya mengikut aje.”
“Bagus,” Haji Salim
menepuk bahu kanan saya berkali-kali.
Sinar matahari pukul
sebelas pagi, terasa amat perit menggigit kulit tengkuk dan muka saya.
Kami terus melangkah
di bibir jalan menuju ke arah pekan Tapah. Telinga saya terdengar-dengar
sayup-sayup bunyi gendang orang jual ubat.
“Orang Cina jual
ubat,” kata saya.
“Singsih jual ubat,”
tingkah Haji Salim.
“Kita tengok Pak
Aji.”
“Boleh, mari.”
Saya dan Haji Salim
mempercepatkan langkah, menuju ke arah manusia yang sedang berlonggok
mengerumuni penjual ubat tersebut. Saya tidak faham dengan apa yang dikatakan
oleh penjual ubat, kerana ia bercakap dalam bahasa Cina. Setiap kali cakapnya
berakhir, gendang akan dipalu. Bunyinya cukup membingitkan gegendang telinga.
Setiap orang yang
lalu di situ, tidak kira orang Melayu, Cina atau India akan berhenti dan terus
menghurung penjual ubat tersebut. Meskipun mereka tidak tahu berbahasa Cina,
cara dan gerak-geri yang dilakukan oleh penjual ubat itu membuat mereka faham
tentang khasiat-khasiat ubat yang dijual.
Kerana orang terlalu
ramai mengerumuni penjual ubat, membuat saya tidak dapat melihat wajah penjual
ubat itu. Setelah mencelah sana, mencelah sini. Saya berjaya sampai ke garisan
sempadan penjual ubat itu.
Saya terus duduk
mencangkung di situ. Penjual ubat itu berbadan besar dan tegap, macam seorang
ahli gusti. Daging di tubuhnya kelihatan berketul-ketul. Ia memakai seluar
hitam dengan tali pinggang besar berwarna merah. Kaki seluarnya yang kecil
dimasukkan ke dalam kasut hitam yang tinggi separas lutut. Dua orang kawannya
juga berbadan tegap. Kawannya yang memukul gendang berwajah bengis, perutnya
boroi dengan pusat yang berbuku.
Manakala yag memegang
tombak, membalut tubuhnya dengan baju dan seluar hitam yang dibuat dari kain
sutera. Di samping tombak yang bermata seperti beliung itu, ia juga memegang
parang bermata lebar. Semuanya berkilat tajam.
Di depan penjual ubat
itu berlonggok-longgok akar ubat dan batang-batang kayu kecil. Tidak jauh dari
longgokan batang kayu dan akar, tersusun botol-botol yang berisi pil, terdapat
juga kepala ular dan kulit ular yang sudah dikeringkan.
“Ini singsih bukan
sini punya, dia Taiwan mari,” seorang lelaki Cina memeberitahu kawannya yang
berbangsa Melayu. Orang Melayu itu anggukkan kepala sambil tersenyum.
“Dia banyak kuat punya
orang,” tambah lelaki Cina itu lagi.
“Rugilah, dia tak
tahu cakap Malaysia.”
“Lu betul.”
Dua orang kawan baik
itu ketawa.
Penjual ubat
merasakan dirinya diketawakan. Dengan mata yang garang ia merenung lelaki
Melayu dan Cina itu. Wajah kedua-duanya kelihatan pucat. Lepas itu mereka tidak
berani bercakap.
Penjual ubat itu
terus berdiri di tengah gelanggang sambil menumbuk ke kiri dan ke kanan. Bila
ia berhenti daripada melakukan pergerakan itu, gendang pun dipalu dengan sekuat
hati. Bagaikan mahu pecah gegendang telinga dibuatnya.
Kawannya yang
memegang tombak pula bercakap. Selesai ia bercakap gendang pun dipalu. Penjual
ubat membuka langkah Kuntau melompat ke atas ke kiri dan ke kanan, daging
badannya nampak berulas-ulas, macam ulas durian tembaga yang bagu dikopek.
Penjual ubat berhenti
dari langkah kuntau. Ia meletakkan tangan kanannya di atas tunggul kayu yang
memang disediakan di situ. Kawannya yang memegang tombak, melepaskan tombak di
tangannya, lalu mengambil parang bermata lebar.
No comments:
Post a Comment